Peguam SG Charles Yeo masih dalam tahanan di Britain atas isu pasport
Peguam Singapura Charles Yeo yang berdepan perbicaraan ekstradisi di Britain, masih dalam tahanan walaupun telah diberikan ikat jamin.
Charles Yeo di Mahkamah Negara pada 19 Januari 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
Yeo, 34 tahun, hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada Selasa (10 Dis), sedang peguamnya cuba mendapatkan pembebasannya dengan ikat jamin.
Pada bulan lalu, dia diberikan ikat jamin bersyarat oleh pihak mahkamah, dengan salah satu syarat utamanya adalah untuk menyerahkan pasportnya.
Namun, terdapat kesulitan dalam mengesahkan sama ada Pejabat Kerajaan Britain memegang pasportnya.
Peguam Yeo pada Selasa juga gagal menyerahkan bukti bahawa dia tidak lagi memiliki pasportnya, yang mereka mendakwa berada di Pejabat Kerajaan UK.
Peguam bela mencadangkan supaya Yeo mematuhi syarat ikat jamin lebih ketat daripada menyerahkan pengesahan tentang keberadaan pasportnya.
Ini termasuk membayar ikat jamin lebih tinggi yang kini ditetapkan pada £75,000 (S$128,520) atau memastikan Yeo melaporkan diri secara lebih kerap di balai polis.
Namun cadangan itu ditolak oleh pihak mahkamah.
Hakim menyatakan bukti tentang keberadaan pasportnya perlu dipenuhi.
Pada minggu lalu, peguam Yeo meminta Suruhanjaya Tinggi Singapura di London supaya membatalkan pasportnya.
Pada Selasa, peguam Yeo memberitahu mahkamah bahawa Suruhanjaya Tinggi Singapura memaklumkan kepada mereka bahawa permohonan sedemikian harus dilakukan secara fizikal - iaitu sesuatu yang Yeo tidak dapat lakukan apabila berada dalam tahanan.
Peguam-peguamnya berkata bahawa mereka akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan saman saksi.
Jika diluluskan, ini akan memaksa Pejabat Kerajaan Britain untuk memberi respons atau hadir di persidangan mahkamah untuk menjelaskan mengapa mereka gagal menyerahkan bukti pasportnya.
Perbicaraan ekstradisi Yeo ditetapkan pada Mei tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.