Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam SG Charles Yeo dibenar ikat jamin oleh mahkamah Britain; dikenakan perintah berkurung sebelum ekstradisi

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam SG Charles Yeo dibenar ikat jamin oleh mahkamah Britain; dikenakan perintah berkurung sebelum  ekstradisi

(Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 23 Nov 2024 10:40AM Dikemas Kini : 23 Nov 2024 01:18PM
SINGAPURA: Peguam yang melarikan diri dari Singapura, Charles Yeo telah diberikan ikat jamin bersyarat oleh sebuah mahkamah di Britain pada Jumaat (22 Nov) sementara dia menunggu perbicaraan ekstradisi.

Sebagai sebahagian daripada syarat tersebut, Yeo, 34 tahun, akan dikenakan perintah berkurung dan tidak boleh keluar dari hotelnya di bahagian tengah London antara tengah malam dan pukul 8.00 pagi setiap hari.

Menurut dokumen mahkamah, dia akan "dipantau secara elektronik" semasa menjalani perintah berkurung.

Di Britain, ini biasanya melibatkan pemakaian tag elektronik dan memasang alat pemantauan di tempat perintah berkurung dikuatkuasakan.

Tag itu memastikan individu tersebut berada di tempat perintah berkurung pada waktu yang ditetapkan. Ia akan menghantar amaran kepada pusat pemantauan jika perintah itu tidak dipatuhi.

Yeo juga perlu melaporkan diri di balai polis antara tengah hari dan pukul 2.00 petang setiap Isnin, Rabu dan Sabtu.

Ikat jamin ditetapkan pada £75,000 dan Pejabat Dalam Negeri perlu mengesahkan ia mempunyai pasport Yeo sebelum dia boleh dibebaskan dengan ikat jamin.

Menurut dokumen mahkamah, dia tidak boleh memasuki atau pergi ke mana-mana "hab perjalanan antarabangsa" dan tidak boleh memohon untuk dokumen perjalanan antarabangsa atau memiliki mana-mana dokumen sedemikian.

Ini bagi memastikan dia hadir pada perbicaraan mahkamah seterusnya pada Disember, tegas mahkamah.

Pejabat Peguam Negara (AGC) Singapura dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) memberitahu Mediacorp pada 13 Nov bahawa Singapura telah mengemukakan permintaan kepada Britain untuk meminta ekstradisi Yeo.

Ini adalah atas kesalahan bersubahat untuk menipu, di mana dana telah dikeluarkan kepada firma guamannya yang merupakan jumlah penyelesaian untuk tuntutan anak guamnya.

Menurut dokumen mahkamah Britain, ini dipercayai berlaku antara 29 Jul 2020 dan 30 Nov 2020.

Yeo diberkas oleh pihak berkuasa Britain pada 4 Nov.

Mantan Pengerusi Parti Reform, Yeo telah didakwa dengan enam tuduhan di Singapura pada Januari 2022:
  • Satu tuduhan mengeluarkan kata-kata dengan niat yang sengaja untuk melukai perasaan agama orang lain di bawah Kanun Keseksaan
     
  • Dua tuduhan cuba mengeluarkan kata-kata dengan niat yang sengaja untuk melukai perasaan agama orang lain di bawah Kanun Keseksaan
     
  • Tiga tuduhan berhubung komunikasi kesat, mengancam atau menghina pegawai awam di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan
Pada Ogos 2022, mahkamah daerah mengeluarkan waran tangkap terhadap Yeo selepas dia melanggar syarat perjalanan ke luar negara semasa diikat jamin.

Dia diberi kebenaran untuk pergi ke Vietnam atas urusan kerja, tetapi dia gagal pulang ke Singapura dan mendakwa dia sedang memohon "suaka politik" di Britain.

Kerajaan Britain menyatakan bahawa ia tidak mahu mengulas mengenai kes individu. Tidak jelas sama ada Yeo telah diberikan suaka politik.

Yeo juga memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia tidak berhasrat untuk pulang ke Singapura. Pada Mac 2023, waran tangkap telah dikeluarkan oleh mahkamah Singapura.

Menurut laman web Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain, Singapura adalah antara negara yang mempunyai perjanjian ekstradisi rasmi dengan Britain.

Singapura tersenarai dalam Kategori 2B – yang bermakna ia perlu mengemukakan bukti untuk menyokong permintaan ekstradisi.

Permintaan ekstradisi dari wilayah Kategori 2 memerlukan keputusan oleh Setiausaha Negara dan mahkamah Britain.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan