Peguam Negara Lucien Wong tidak terlibat dalam pendakwaan, semakan kes bekas amah pengerusi CAG: AGC
Pendakwaan awam berhubung kes bekas pembantu rumah pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong, "biasa dikendalikan" dan tidak melibatkan Peguam Negara mahupun Timbalan Peguam Negara, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Rabu (9 Sep).
(Gambar fail TODAY)
SINGAPURA: Pendakwaan awam berhubung kes bekas pembantu rumah pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong, "biasa dikendalikan" dan tidak melibatkan Peguam Negara mahupun Timbalan Peguam Negara, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Rabu (9 Sep).
AGC menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pertanyaan media tentang sama ada Peguam Negara Lucien Wong terlibat dalam kes tersebut, yang menarik perhatian ramai.
Kenyataan itu menambah bahawa Encik Wong mengundurkan diri daripada semakan kes tersebut seawal Sabtu lalu (5 Sep) "atas sebab peribadi", setelah penghakiman Mahkamah Tinggi diumumkan pada Jumaat (4 Sep).
Semakan semula kes dipimpin oleh Timbalan Peguam Negara Hri Kumar Nair, menurut AGC.
Bekas pembantu rumah Encik Liew, iaitu warga Indonesia Parti Liyani yang berusia 46 tahun, dibebaskan pada minggu lalu daripada empat tuduhan mencuri barang bernilai sekitar S$34,000 daripada Encik Liew sekeluarga. Beliau juga dibebaskan daripada satu tuduhan terakhir pada Selasa (8 Sep).
Dalam kenyataan media pada Ahad (6 Sep), AGC menyatakan ia sedang menyemak keputusan Mahkamah Tinggi berhubung rayuan Cik Parti bagi menilai tindakan lanjut, jika ada, harus diambil dalam kes ini.
Encik Wong duduk dalam Lembaga Pengarah CapitaLand sementara Encik Liew ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu.
Menurut AGC: "Kedua-dua AG Lucien Wong mahupun Timbalan Peguam Negara tidak terlibat dalam sebarang keputusan pendakwaan berhubung tuduhan yang dibuat dalam kes PP v Parti Liyani. Kes ini antara yang biasa dikendalikan oleh AGC yang tidak memerlukan pelibatan AG atau DAG."
Encik Wong mengundurkan diri daripada lembaga CapitaLand pada Januari 2006, menurut AGC sambil menambah: "AG Lucien Wong dan Encik Liew tidak mempunyai hubungan peribadi dan ini berterusan hingga hari ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.