Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam Muslim bergabung bentuk dana, khidmat guaman percuma bagi mangsa gangguan seksual, diskriminasi

Buat pertama kalinya lebih 20 peguam Melayu/Islam - peguam veteran dan peguam muda - bergabung untuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada mangsa-mangsa gangguan seksual, diskriminasi mahupun keganasan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Buat pertama kalinya lebih 20 peguam Melayu/Islam - peguam veteran dan peguam muda - bergabung untuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada mangsa-mangsa gangguan seksual, diskriminasi mahupun keganasan.

Selain itu, mereka juga akan menubuhkan sebuah dana dipanggil Defence Fund SG demi menyokong pelbagai kos guaman bagi mangsa sedemikian yang memerlukannya.

Idea penubuhan inisiatif dipanggil Defence Guild SG itu tercetus setelah tersebar skandal gangguan seksual terhadap 17 ustazah tempatan yang menjadi mangsa tinjauan lucah online baru-baru ini, serta timbul suara-suara mahukan keadilan bagi para mangsa.

Menurut salah seorang pelopor Defence Guild SG, peguam Zhulkarnain Abdul Rahim, mereka mengambil seminggu sahaja untuk menubuhkan gagasan tersebut dan ia mempunyai beberapa misi.

"Kumpulan ini tidak akan mengkhususkan atas kes-kes keganasan seksual atau gangguan sahaja tetapi diskriminasi juga," kata Encik Zhulkarnain.

"Diharapkan mudah-mudahan ia akan boleh membantu lebih ramai orang yang mungkin tidak tahu di mana mendapatkan bantuan ataupun tidak mendapatkan akses kepada peguam-peguam yang tersendiri."

Selain itu, Defence Guild SG juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat dan mangsa tentang pelbagai perlindungan yang ada di bawah naungan undang-undang.

Dengan adanya inisiatif tersebut, Encik Zhulkarnain berkata bahawa para peguam juga dapat memberikan panduan di mana para mangsa boleh membuat laporan polis atau tindakan untuk membanteras dan menghentikan gangguan yang mereka hadapi.

DANA PEMBELAAN SG DIBENTUK

Menurut Encik Zhulkarnain lagi, satu-satunya hambatan untuk para mangsa mendapatkan akses kepada keadilan adalah bayaran serta kos guaman dan pentadbiran.

Demi mewujudkan satu struktur bantuan dan pembiayaan bagi wanita-wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual misalnya, sebuah dana baru bakal ditubuhkan dan diharap dapat mengumpulkan S$50,000 sebagai permulaan.

Dana ini dipanggil Defence Fund SG atau Dana Pembelaan SG.

(Petikan skrin: Laman Defence Guild SG)

(Petikan skrin: Laman Defence Guild SG)

"Dana ini untuk memberikan dan menyenangkan mereka daripada beban untuk membayar laporan atau pelbagai pembayaran khidmat yang mereka perlukan untuk dapatkan keadilan bagi mereka sendiri," kata Encik Zhulkarnain berkata kepada BERITAmediacorp.

Beliau berharap bahawa dana tersebut akan ditadbir oleh badan-badan kebajikan yang boleh "membantu bukan sahaja wanita tetapi semua mangsa keganasan atau gangguan seksual atau kes-kes yang tercetus".

"Dengan dana ini, walaupun kecil, ia menyampaikan mesej, kami serius dalam menangani masalah ini," ujar beliau.

Ia juga sesuatu isyarat kepada para mangsa, menurut beliau, bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan guaman.

"Saya terfikir mungkin pada masa depan kita harus menangani kes-kes penindasan atau keganasan kepada kaum lelaki juga kerana dengan adanya keadilan yang saksama, saya terfikir masyarakat boleh melangkah ke hadapan dan membentuk perubahan positif untuk satu sama lain," kata beliau lagi.

MAHUKAN LEBIH RAMAI KARYAWAN IKUT SERTA

Encik Zhulkarnain yang juga Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang menambah bahawa pada masa depan, Defence Guild SG memerlukan "lebih ramai angkatan karyawan" untuk menyertainya.

Dalam hal itu, ia bermakna bukan sahaja peguam yang patut menyumbang kepada inisiatif tersebut, tetapi juga karyawan dalam bidang seperti kebajikan dan kedoktoran untuk membantu dalam kes-kes mahkamah yang kompleks yang memerlukan pengkhususan tertentu.

Yang pasti, gabungan para peguam ini juga akan bergerak dengan kerjasama gerakan M³.

BAGAIMANA BOLEH DAPATKAN BANTUAN?

Menurut Encik Zhulkarnain, orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan Defence Guild SG yang baru dimulakan hari ini (5 Jun) supaya menghubunginya menerusi wadah online: www.defenceguild.sg

Setelah mengisi permohonan dan keterangan menerusi laman tersebut, pihak para peguam itu akan menghubungi si pemohon bantuan.

"Ia akan diajukan kepada peguam yang boleh membantu mereka dari segi 'one-on-one' dan mereka boleh menanyakan secara khusus apa bantuan yang mereka akan dapat. Dari situ, kita boleh memberikan satu panduan di mana mereka boleh membuat laporan polis atau tindakan untuk membanteras dan menghentikan gangguan itu, Ini semua tertakluk kepada fakta tersebut," terang Encik Zhulkarnain.

Antara para peguam yang menyertai kumpulan Defence Guild SG itu termasuklah Abdul Rohim Sarip, Ahmad Nizam Abbas, Liyana Sinwan, Amalina Saparin, Syariqah Ahmad Fu'ad, Mohammed Shakirin, Mohamed Fazal dan Mumtaj Banu.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan