Skip to main content

Singapura

Peguam mengaku bersalah sebabkan kematian penunggang motosikal dalam kemalangan AYE

Seorang lelaki pada Isnin (11 Apr) mengaku menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam satu kemalangan melibatkan sekurang-kurangnya tujuh kenderaan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) pada 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam mengaku bersalah sebabkan kematian penunggang motosikal dalam kemalangan AYE

(Gambar: SGRoadBlocks/Traffic News Telegram)

SINGAPURA: Seorang lelaki pada Isnin (11 Apr) mengaku menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam satu kemalangan melibatkan sekurang-kurangnya tujuh kenderaan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) pada 2018.

Laurence Goh Eng Yau menggesel motosikal Encik Wong Yew Wai, sekaligus menyebabkan mangsa masuk ke laluan sebuah lori di lorong bersebelahan.

Encik Wong yang berusia 33 tahun pada ketika itu, dilanggar lori tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Goh, kini 57 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu dengan cuai. Dia akan kembali ke Mahkamah Negara untuk ditentukan hukuman pada hujung bulan ini.

Pihak pendakwa memohon bagi hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga minggu dan larangan memandu selama lima tahun bagi Goh.

Goh merupakan seorang peguam dan satu-satunya pemilik amalan undang-undang eponim miliknya, menurut carian di laman Kementerian Undang-Undang.

Dia dalam perjalanan ke Bukit Panjang dari pejabatnya apabila kemalangan itu berlaku dekat jalan susur keluar 7A AYE kira-kira pukul 5.20 petang pada 12 September 2018.

Dia sedang memandu di lorong pertama iaitu yang terletak di bahagian paling kanan AYE, menghala ke Tuas pada kelajuan sekitar 75 hingga 80 kilometer sejam, iaitu di bawah had kelajuan.

Memandangkan terdapat kesesakan lalu lintas pada ketika itu, dua kereta di hadapan Goh menekan brek lalu berhenti.

Namun, Goh tidak melihat keadaan lalu lintas di hadapan dengan betul dan gagal mengekalkan jarak yang selamat dengan kereta yang di hadapannya, menurut mahkamah.

Oleh yang demikian, dia terus bergerak ke hadapan sehingga dia tiba-tiba melihat bahawa kereta di hadapannya juga sudah berhenti bergerak.

Goh menekan brek namun oleh kerana keretanya terlalu dekat dengan bahagian belakang kenderaan di hadapannya, dia membelok ke kiri bagi mengelak berlaku pelanggaran.

Dia berbuat demikian tanpa melihat sama ada terdapat sebarang kenderaan yang berada di lorong kedua, kata pihak pendakwa.

Sedang Goh membelok, keretanya terlanggar motosikal Encik Wong, yang sedang bergerak di lorong kedua dan berada tidak jauh daripada kereta Goh.

Encik Wong secara tiba-tiba tertolak ke lorong ketiga AYE di hadapan sebuah lori, di mana pemandunya tidak dapat menghentikan kenderaan tepat pada masa.

Goh juga melanggar bahagian belakang kereta di hadapannya dan terus membelok ke lorong ketiga, sebelum dia akhirnya berhenti antara lorong kedua dan ketiga.

Selepas Goh membelok dengan tiba-tiba, lagi dua kereta di belakangnya saling berlanggar sebelum bertembung dengan dua kereta di hadapan.

Penumpang di dalam salah sebuah kereta itu mengalami ketegangan pada bahagian leher disebabkan oleh pertembungan itu.

Encik Wong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas anggota paramedik tiba. Punca kematian ditentukan sebagai kecederaan pada bahagian kepala dan leher yang konsisten dengan kemalangan dilanggar kenderaan.

Sistem brek dalam kereta Goh dan lori itu didapati berfungsi dengan baik tanpa sebarang kerosakan mekanikal, menurut satu pemeriksaan kenderaan.

Goh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau dikenakan kedua-dua hukuman kerana menyebabkan kematian menerusi perbuatan cuai tidak termasuk melakukan pembunuhan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita