Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam M Ravi undurkan diri dari kes tuntutan mahkamah bekas pemandu bas terhadap SBS Transit

Peguam M Ravi berkata beliau berhasrat untuk mengundurkan diri daripada kes tuntutan mahkamah seorang bekas pemandu bas terhadap pengendali pengangkutan SBS Transit, sambil mendakwa berlaku "pelanggaran" hak anak guamnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam M Ravi undurkan diri dari kes tuntutan mahkamah bekas pemandu bas terhadap SBS Transit

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 06:07PM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 06:10PM

SINGAPURA: Peguam M Ravi berkata beliau berhasrat untuk mengundurkan diri daripada kes tuntutan mahkamah seorang bekas pemandu bas terhadap pengendali pengangkutan SBS Transit, sambil mendakwa berlaku "pelanggaran" hak anak guamnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Encik Ravi hari ini (22 Nov) berkata bahawa pada hari pertama perbicaraan yang dijalankan menerusi persidangan video, beliau dan anak guamnya, iaitu bekas pemandu bas Encik Chua Qwong Meng, akan "mengundurkan diri" daripada kes itu.

Encik Chua yang bekerja untuk SBS Transit pada April 2017 hingga awal 2020, mendakwa SBS Transit melanggar Akta Pekerjaan dengan tidak memberikannya hari berehat setiap minggu dan beliau juga tidak diberi gaji mencukupi bagi kerja-kerja lembur.

Beliau memfailkan tuntutan mahkamah ke atas SBS Transit pada September 2019. Walaupun kes itu difailkan oleh Encik Chua, lagi 12 pemandu bas dikaitkan dengan kes itu, dengan Encik Chua mendakwa kesemua dakwaan terhadap 13 tuntutan mahkamah itu membabitkan sekitar S$720,000.

Pada Mac tahun lalu, ia dipersetujui bahawa kes Encik Chua akan didengar sebagai kes ujian, dengan lagi 12 tuntutan dibiarkan sementara menunggu penentuan kesnya.

Pada Jun lalu, Hakim Audrey Lim meluluskan permohonan Encik Chua supaya kesnya didengarkan di Mahkamah Tinggi, sambil berkata ia bukan sahaja menjejaskan Encik Chua tetapi sebahagian besar pekerja termasuk mereka dalam sektor pengangkutan awam.

Encik Ravi pada Isnin berkata bahawa beliau berhasrat memfailkan kes dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan merancang untuk mendampingi kerajaan Malaysia bagi mendapatkan bantuan kerana sebahagian besar daripada pemandu bas itu merupakan rakyat Malaysia.

Beliau menambah bahawa para pemandu itu dihubungi oleh seorang individu bernama "Mahathir", meskipun ia tidak jelas sama ada itu merujuk kepada mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

"Pelanggaran" yang didakwa berlaku oleh Encik Ravi itu merujuk kepada kunjungan Encik Timothy Lin, seorang peguam dari Davinder Singh Chambers ke pejabat Encik Ravi pagi tadi.

Memandangkan perbicaraan dijalankan menerusi persidang video, plaintif dijangka memberi keterangan kepada mahkamah dari pejabat Encik Ravi.

Encik Singh berkata beliau sudah menulis kepada Encik Ravi pada 18 November untuk mengatakan bahawa beliau akan menghantar seorang wakil datang ke pejabat Encik Ravi sementara Encik Chua memberi keterangan bukti dan Encik Ravi tidak menolak cadangan itu.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Encik Lin disuruh untuk meninggalkan pejabat Encik Ravi pada Isnin dan satu aduan polis dibuat terhadapnya.

Encik Ravi memberitahu mahkamah bahawa kehadiran Encik Lin di pejabat akan memberinya akses kepada "keistimewaan untuk mengakses maklumat".

Hakim Lim bagaimanapun berkata bahawa amalan sedemikian pernah dijalankan sebelum ini dan ia bertujuan untuk memastikan bahawa bukti diberikan tanpa sebarang bimbingan atau pengaruh lain.

Beliau mencadangkan agar Encik Lin duduk dalam bilik yang sama dengan Encik Chua, namun di tempat di mana beliau tidak boleh melihat sebarang dokumen.

Secara alternatif katanya, kamera tambahan boleh dipasang di dalam bilik itu untuk menunjukkan bahawa plaintif tidak diberi bimbingan dalam jawapannya.

Encik Ravi menjawab dengan bertanya kepada hakim supaya mengundurkan diri, dengan mendakwa beliau bersikap "berat sebelah" dengan membenarkan peguam Encik Singh untuk datang ke pejabatnya.

Beliau berkata kes itu sudah "tercemar sehingga tidak dapat dipulihkan" dan anak guamnya tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap sistem keadilan.

Sebelum ini pada Isnin, Encik Ravi juga memanggil Encik Singh "seorang badut" sambil membincangkan isu-isu berkaitan dengan seorang lagi saksi.

Mahkamah akan mendengar permohonan rasmi oleh Encik Ravi untuk mengundurkan diri daripada kes ini pada Isnin depan (29 Nov).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan