Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam M Ravi diarah bayar Peguam Negara S$10,000 bagi permohonan mahkamah banduan hukuman mati

Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa (30 Nov) mengarahkan peguam M Ravi untuk membayar kos peribadi sebanyak S$10,000 kepada Peguam Negara berhubung satu permohonan mahkamah bagi 13 banduan dan bekas banduan yang dijatuhi hukuman mati.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam M Ravi diarah bayar Peguam Negara S$10,000 bagi permohonan mahkamah banduan hukuman mati

Peguam M Ravi. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 30 Nov 2021 07:32PM Dikemas Kini : 30 Nov 2021 07:34PM

SINGAPURA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa (30 Nov) mengarahkan peguam M Ravi untuk membayar kos peribadi sebanyak S$10,000 kepada Peguam Negara berhubung satu permohonan mahkamah bagi 13 banduan dan bekas banduan yang dijatuhi hukuman mati.

Encik Ravi memfailkan tuntutan saman untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi Gobi Avedian dan 12 lagi banduan yang dijatuhi hukuman mati.

Mereka adalah: Syed Suhail Syed Zin, Datchinamurthy Kataiah, Hamzah Ibrahim, Iskandar Rahmat, Saminathan Selvaraju, Rosman Abdullah, Roslan Bakar, Masoud Rahimi Mehrzad, Zamri Mohd Tahir, Pannir Selvam Pranthaman, Tan Kay Yong dan Ramdhan Lajis.

Kesemua 12 banduan itu berdepan hukuman gantung atas kesalahan menyeludup dadah, kecuali Iskandar yang disabit kesalahan membunuh dalam kes pembunuhan berganda Kovan.

Gobi terlepas tali gantung selepas permohonan bagi semakan jenayah di Mahkamah Rayuan berjaya.

Dalam permohonan mahkamah berkenaan, Encik Ravi menamakan Peguam Negara sebagai defendan, namun kemudian memaklumkan kepada hakim pada permulaan perbicaraan bahawa beliau ingin menarik balik keseluruhan permohonannya.

Lazimnya, pihak plaintif akan menanggung kos defendan, namun peguam bagi Peguam Negara, Peguam Kanan Tan Chee Meng, meminta Encik Ravi membayar kos itu secara peribadi.

Encik Ravi membantah dan menyifatkannya sebagai "ancaman" terhadapnya, sambil berjanji untuk melaporkan Encik Tan kepada Persatuan Guaman Singapura atas "tingkah laku tidak profesional".

Dalam satu penghakiman bertulis, Hakim Ang Cheng Hock berkata:
"Saya mendapati tingkah laku Encik Ravi itu menyebabkan pembaziran kos dan masa kepada peguam defendan," kata Hakim Ang.

Beliau menambah bahawa Encik Ravi "sepatutnya tahu bahawa tuntutan saman itu adalah satu perbuatan yang tidak ada merit sejak mula lagi".

Peguam itu diberi peluang untuk memperbaiki keadaan namun menolak dua peluang untuk memberi notis menghentikan permohonan mahkamah mereka tanpa syarat, kata hakim itu.

Beliau berkata tingkah laku Encik Ravi "jelas tidak munasabah", sambil menyifatkan bagaimana peguam itu memfailkan permohonan mahkamah meskipun sedar bahawa pihak plaintif tidak mempunyai sebarang asas untuk mendapatkan perintah yang diingini.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan