Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam Kanan pertikai cara kes rasuah Keppel ditangani; Indranee Rajah akan beri penjelasan di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Kanan pertikai cara kes rasuah Keppel ditangani; Indranee Rajah akan beri penjelasan di Parlimen

Gambar fail: AFP/Roslan Rahman

SINGAPURA: Seorang peguam kanan mempersoalkan keputusan pihak berkuasa Singapura untuk tidak mendakwa enam bekas kakitangan pengurusan kanan Keppel Offshore & Marine berhubung kes rasuah AS$55 juta (S$73 juta) membabitkan gergasi minyak Brazil, Petrobras.

Sungguhpun demikian, peguam-peguam lain yang memberikan pendapat mereka, sambil mengakui kekurangan kejelasan dan bagaimana ia mungkin dilihat seolah-olah mencurigakan, membayangkan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) mungkin mempunyai sebab mengapa ia tidak mendedahkan maklumat tertentu yang dilindungi oleh undang-undang.

Selepas ulasan Peguam Kanan Harpreet Singh diterbitkan pada Rabu (1 Feb), Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah menyentuh tentang kes itu melalui catatan di laman Facebooknya pada Selasa (2 Feb) sambil menegaskan bahawa andaian-andaian itu dibuat berdasarkan "kurang pemahaman tentang fakta-fakta berhubung kes tersebut".

Menurut Cik Indranee, beliau akan menjelaskan fakta-fakta itu apabila Parlimen bersidang pada 6 Februari dan orang ramai "boleh membuat kesimpulan mereka sendiri".

Dalam ulasannya, Encik Singh mempersoalkan keputusan AGC dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) yang dibuat pada Januari.

Kedua-dua agensi itu mengumumkan bahawa mereka tidak akan mendakwa enam kakitangan Keppel O&M atas pelibatan mereka dalam suapan yang dipercayai diberikan kepada para pegawai Brazil untuk mendapatkan 13 kontrak besar di negara itu.

Sebaliknya, keenam-enam individu itu akan diberi amaran keras.

Keppel O&M dipercayai berpakat dengan syarikat-syarikat lain antara 2001 hingga 2014 untuk menyogok para pegawai syarikat minyak tempatan Petrobras bagi memastikan mereka berjaya mendapatkan kontrak 13 projek di Brazil.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan