Peguam hiburan Samuel Seow dituduh aniaya kakitangan
Peguam hiburan Samuel Seow dikenakan tuduhan di mahkamah pada Jumaat (7 Jun) kerana dipercayai terlibat dalam insiden menganiaya kakitangannya.
SINGAPURA: Peguam hiburan Samuel Seow dikenakan tuduhan di mahkamah pada Jumaat (7 Jun) kerana dipercayai terlibat dalam insiden menganiaya kakitangannya.
Seow, 46 tahun, yang diwakili peguam bela Eugene Thuraisingam, dikenakan empat tuduhan termasuk sengaja menyebabkan kecederaan dan menggunakan jenayah kekerasan.
Dia didakwa mencengkam lengan anak saudara perempuannya, menolaknya ke meja dan menampar pipinya beberapa kali di pejabatnya pada 17 Apr tahun lalu. Dia juga menolak seorang lagi wanita ke lantai.
Pada hari yang sama, dia didakwa menggunakan jenayah kekerasan terhadap wanita ketiga dengan menunjal dahinya menggunakan jari. Seow juga didakwa mengancam wanita itu beberapa minggu sebelum itu dengan berkata kepadanya: "Saya akan mengambil pisau dan membunuh kamu."
Seow, yang kelihatan muram di mahkamah pada Jumaat, pertama kali menarik perhatian media pada Mei tahun lalu apabila rakaman suara pertengkaran antaranya dengan seorang kakitangan wanita tular di media sosial.
Hampir setahun kemudian, pada April tahun ini, video-video berkaitan dengan pertengkaran itu, yang dibocorkan online, menunjukkan Seow memukul dan menjerit pada sekurang-kurangnya dua wanita. Salah seorang daripada mereka ialah anak saudara perempuan Seow.
Seow mengendalikan firma guamannya sendiri, Samuel Seow Law Corporation, dan merupakan pengasas firma pengurusan artis Beam Artistes, penganjur pertandingan tahunan Manhunt.
Seow dan salah seorang wanita yang terlibat dalam pergaduhan tersebut membuat laporan polis terhadap satu sama lain apabila kelakuan Seow mula didedahkan oleh media pada Mei tahun lalu, tetapi mereka kemudian menarik balik laporan polis yang telah dibuat.
Dalam catatan Facebooknya, Seow berkata insiden itu merupakan pengajaran penting kepadanya dan dia memohon maaf kepada mereka yang menjadi sasaran kelakuan kasarnya.
Setelah video-video baru dibocorkan ke laman YouTube pada April tahun ini, Seow mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pasti apa tujuan di sebalik pembocoran video itu.
Dia menambah bahawa dia berasa tertekan kerana dia menguruskan tiga syarikat dan sering kesuntukan masa sebagai seorang usahawan.
"Ini bukan suatu alasan - tetapi setahun sudah berlalu dan semua orang yang terbabit sudah berdamai dan berharap supaya perkara ini dilupakan," kata Seow.
"Saya berharap untuk mencari penyelesaian kepada isu ini tidak lama lagi, supaya saya dapat meneruskan kehidupan saya menyusuli kesilapan saya setahun lalu, supaya orang-orang yang sentiasa dan bersungguh-sungguh merosakkan kehidupan saya akhirnya juga boleh berehat dengan aman."
Hukuman maksimum bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan adalah penjara dua tahun, denda S$5,000 atau kedua-duanya sekali sementara hukuman paling berat atas kesalahan menggunakan jenayah kekerasan adalah penjara tiga bulan, denda S$1,500 atau kedua-duanya sekali.
Seow akan dihadapkan lagi ke mahkamah bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.