Skip to main content

Singapura

Peguam harap isu beban dan budaya kerja ditangani, pastikan lebih ramai kekal dalam industri guaman

Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi, beban kerja yang berat serta tekanan memenuhi sasaran yuran guaman antara cabaran yang menurut dua peguam tempatan perlu ditangani dengan serius bagi memastikan lebih ramai kekal dalam industri guaman.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2026 07:47PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 12:37AM
  • Peguam Singapura menghadapi tekanan beban kerja, sasaran yuran guaman, dan kesukaran menyeimbangkan kerja serta kehidupan peribadi.
  • LawSoc dan Badan Kehakiman menubuhkan jawatankuasa bersama selepas kajian mendapati ramai peguam meninggalkan sektor guaman kerana isu struktur kerja.
  • Ahmad Nizam Abbas dan Sharifah Nabila Syed Omar menekankan perlunya perubahan budaya kerja dan sistem yuran untuk mengurangkan tekanan.
  • Generasi muda peguam semakin memilih kerjaya lain jika masalah ini tidak diselesaikan, mendorong keperluan penyelesaian praktikal demi masa depan industri.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi, beban kerja yang berat serta tekanan memenuhi sasaran yuran guaman antara cabaran yang menurut dua peguam tempatan perlu ditangani dengan serius bagi memastikan lebih ramai kekal dalam industri guaman.

Lantaran itu, mereka yang ditemui BERITA Mediacorp mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa antara Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) dengan Badan Kehakiman bagi menangani isu-isu tersebut dan memperbaiki keadaan serta menyokong para peguam.

Kerjasama itu ditubuhkan selepas LawSoc mengeluarkan dapatan kajian pada Selasa (23 Jun) yang mendapati bahawa ramai peguam Singapura meninggalkan khidmat guaman swasta disebabkan isu-isu struktur.

Ia termasuk budaya di tempat kerja yang buruk serta beban kerja yang berat, dan bukannya kerana kelemahan peribadi.

BACA: https://berita.mediacorp.sg/singapura/kajian-dapati-ramai-peguam-sg-tinggalkan-khidmat-swasta-kerana-isu-struktur-1043121

Dalam hal itu, Pengurus Pengarah syarikat Crescent Law Chambers, Ahmad Nizam Abbas, menganggap masalah yang dihadapi para peguam dalam industri itu bukan sesuatu yang "remeh-temeh".

Encik Ahmad Nizam berkata: "Kalau kita tidak buat apa-apa untuk mengubahnya, perkara ini akan berulang dan semua generasi selepas ini akan berhadapan dengan perkara sama. Kita perlu lihat dengan teliti masalah yang ramai daripada golongan yang telah meninggalkan kerjaya ini. apa yang membuat mereka keluar."

KESEIMBANGAN KERJA DAN KEHIDUPAN PERIBADI ANTARA ISU PALING KETARA

Antara isu yang dibangkitkan peguam Cik Sharifah Nabila Syed Omar adalah keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

Peguam di IRB Law itu berkata: "Kami memilih kerjaya yang bukan senang, mencabar, dan setiap langkah dan setiap keputusan boleh memberi kesan yang amat dalam pada klien. Tanggungjawab sangat tinggi, jadi saya secara peribadi, rasa bahawa keseimbangan kerja dan kehidupan memang susah, sentiasa bekerja, walaupun bercuti, hujung minggu. Saya tidak terkejut kalau ramai rakan-rakan peguam yang tidak dapat rehat yang cukup kerana terlalu banyak kerja."

Encik Ahmad Nizam pula berkata: "Memang, saya akur peguam bekerja dengan masa panjang. Ada juga klien yang memberi tekanan, semuanya nak hari ini, semua nak cepat. Tetapi kita perlu sedar peguam juga adalah manusia, ada keluarga sendiri. Keseimbangan itu adalah penting."

YURAN GUAMAN BERI TEKANAN HEBAT UNTUK PARA PEGUAM

Sasaran jumlah jam yang boleh dicaj kepada klien disebut dalam kajian LawSoc sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada tekanan dalam kalangan peguam.

Encik Ahmad Nizam berkata sistem tersebut sering meletakkan tekanan besar ke atas peguam untuk memenuhi sasaran yuran guaman yang ditetapkan firma.

"Isu yuran guaman ini adalah satu isu yang serius. Itu adalah sebab saya sendiri meninggalkan firma saya dahulu dan membuka Crescent Law Chambers," katanya.

Dalam banyak firma guaman, kadar bayaran ditentukan mengikut masa yang diluangkan peguam bagi sesuatu kes.

Kadar tersebut lazimnya berbeza mengikut pengalaman dan kepakaran seseorang peguam.

Menurut Encik Ahmad Nizam, sesetengah firma menetapkan sasaran harian yang tinggi untuk kakitangan mereka.

"Firma akan memberitahu pekerja mereka bahawa mereka mesti mendapatkan yuran sekurang-kurangnya lapan hingga 10 jam sehari. Kesan kepada peguam memang berat, dan saya boleh memahami mengapa ramai mengatakan sistem itu membawa tekanan," katanya.

Beliau berkata tekanan itu bukan sahaja dirasai oleh peguam, malah turut memberi kesan kepada klien yang kadangkala terkejut dengan jumlah bil yang dikenakan.

"Klien mungkin beranggapan kes mereka mudah. Tetapi apabila menerima bil yang mencecah ribuan dolar, mereka akan mempersoalkannya. Sedangkan bil itu dikira berdasarkan jumlah masa yang digunakan untuk mengendalikan kes mereka," katanya.

Berdasarkan pengalamannya, Encik Ahmad Nizam memilih pendekatan yang lebih fleksibel selepas menubuhkan firma sendiri.

"Kalau boleh, kami menilai skop kerja terlebih dahulu dan menawarkan pakej yang lebih jelas. Dengan cara itu, klien tidak tertekan dan peguam juga tidak tertekan," katanya.

GOLONGAN PEGUAM MUDA SEDAR ADA BANYAK PILIHAN LAIN DI LUAR BIDANG GUAMAN

Perubahan terhadap jangkaan kerjaya dalam kalangan generasi muda turut dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan kadar peguam yang meninggalkan sektor guaman.

Encik Ahmad Nizam berkata: "Apa yang berbeza antara peguam dahulu seperti saya dan sekarang, adalah pilihan. Peguam seperti saya, apa lagi yang saya boleh buat? Kita sudah dalam kerjaya ini lama. Bahkan dalam industri guaman, ada yang kata, peguam tidak bersara, peguam hanya akan tamat tempoh.

"Golongan muda, berlainan, kebanyakan ada pilihan. Ada boleh buat perniagaan lain, buka syarikat lain. Ada yang masuk dalam bidang makanan dan minuman. Kajian itu menyatakan 1 daripada 3 peguam akan keluar daripada industri ini. Saya memahami perkara itu kerana saya telah lihat perkara itu sendiri, keinginan mereka lain."

"Dahulu, kita kerja dalam satu industri sampai ke tua. Bukan dalam bidang guaman saja, mana-mana pun. Orang muda, mereka akan evaluasi dalam dua tiga tahun. Adakah ini yang saya nak buat? Ada yang anggap mereka masih belajar, mereka akan sambung. Ada pula yang rasa penat, mereka akan tukar ke industri lain," tambah Encik Nizam lagi.

HARAPKAN HURAIAN BERNAS UNTUK MASALAH DIHADAPI PARA PEGUAM

Dengan kerjasama antara LawSoc dengan Badan Kehakiman, kededua peguam itu mengharapkan ia akan mendatangkan huraian yang praktikal ke atas isu-isu struktur yang dibangkitkan.

Cik Sharifah misalnya memberi cadangan untuk para peguam mencari keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.

Beliau berkata: "Kita boleh memupuk budaya kerja yang menetapkan batas jelas dalam komunikasi dengan klien. Jika komunikasi dengan klien pada pukul 3.00 pagi dianggap perkara biasa, itu tidak sihat. Peguam juga memerlukan masa untuk berehat, jadi perlu ada sempadan yang jelas."

"Di negara seperti Australia, misalnya, menghantar e-mel selepas waktu kerja tertentu kurang digalakkan. Saya rasa kita boleh menuju ke arah itu. Kita masih boleh mengekalkan kecekapan tetapi memastikan keseimbangan yang lebih baik," tambah beliau.

Cik Sharifah juga merasakan bahawa jika tidak dihuraikan masalah-masalah ini, ramai peguam yang tidak akan tertarik untuk menyambung kerjaya dalam industri itu.

"Terutamanya kalau mereka terlalu tertekan, mereka akan rasa ini tidak berbaloi. Ia adalah masa yang baik untuk menilai bagaimana untuk memperbaiki situasi ini. Saya juga ada kawan-kawan yang selepas tamat pengajian yang memutuskan untuk menceburi bidang lain kerana merasakan ia kerjaya mencabar, dan mereka juga gembira," ujar Cik Sharifah.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita