Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam Eugene Thuraisingam didenda, langgar arahan mahkamah bocor maklumat mangsa kes cabul kehormatan

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Eugene Thuraisingam didenda, langgar arahan mahkamah bocor maklumat mangsa kes cabul kehormatan

Peguam Eugene Thuraisingam. (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Peguam Eugene Thuraisingam, 47 tahun, didenda S$4,000 pada Selasa (30 Ogos) atas kesalahan melanggar arahan mahkamah untuk tidak mendedahkan maklumat dalam kes seorang doktor yang kemudian dibebaskan daripada tuduhan mencabul kehormatan.

Encik Thuraisingam mengetuai pasukan peguam bagi defenden kes berkenaan, Dr Yeo Sow Nam. Seorang peguam baru dalam pasukannya, Encik Johannes Hadi, juga berdepan dakwaan sama berhubung arahan mahkamah tersebut.

Encik Thuraisingam, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Mahkamah Negara, dengan satu lagi tuduhan diambil kira sewaktu hukuman dijatuhkan.

Dari 1 Mac hingga 5 Mac 2021, Dr Yeo dibicarakan secara privet terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita di Hospital Mount Elizabeth pada 2017.

Identiti wanita itu dilindungi di bawah arahan mahkamah yang dikeluarkan pada 7 Februari 2020. Ia melarang penerbitan nama, alamat, gambar atau sebarang maklumat mengenai mangsa yang boleh menyebabkan identitinya dikenal pasti.

Arahan mahkamah lazimnya dikeluarkan untuk melindungi kanak-kanak bawah umur, individu yang mudah terjejas dan mangsa kes kesalahan seksual, kata seorang peguam kepada Mediacorp.

Pada 16 Mac 2021, selepas pasukan Thuraisingam menerima transkrip bagi empat hari pertama perbicaraan tersebut, beliau memberi arahan kepada Encik Hadi menerusi emel untuk membahagikannya kepada media.

"Harap ingat untuk padam nama pengadu dan ingatkan media bahawa mereka tidak boleh menerbitkan nama pengadu," tulisnya, merujuk kepada wanita dalam kes terhadap Dr Yeo.

"Jelaskan kepada mereka bahawa kami sudah membuat permohonan agar kami dibenarkan untuk memberikan transkrip kepada pihak media," tambah Encik Thuraisingam.

Namun, Encik Thuraisingam tidak memberi arahan kepada Encik Hadi untuk menyunting semua maklumat yang boleh menyebabkan identiti wanita itu dikenal pasti, tegas Timbalan Pendakwa Raya Sivakumar Ramasamy dan Sivanathan Jheevanesh.

Mematuhi arahan peguam kanan itu, Encik Hadi hanya menyunting nama wanita tersebut daripada transkrip dan menghantarnya melalui emel kepada wartawan Mediacorp dan Singapore Press Holdings (SPH) pada 16 Mac 2021.

Pihak pendakwa meminta denda sekurang-kurangnya S$4,000 dan menekankan bahawa dalam kes yang melibatkan kemungkinan pengadu boleh dikenal pasti, isu utamanya adalah potensi bahaya yang disebabkan kesalahan Encik Thuraisingam.

Memandangkan transkrip itu dihantar kepada beberapa cawangan media, dengan nota bahawa ada yang disunting untuk mematuhi arahan mahkamah, potensi bahayanya sederhana, atau mungkin tinggi, tegas pihak pendakwa.

Tindakan yang diambil Encik Thuraisingam tidak mencukupi kerana beliau menyerahkan tanggungjawab menyunting maklumat itu kepada peguam yang paling baru di pasukannya, yang hanya bertugas selama dua tahun ketika kejadian, dan tidak menyemak transkrip sebelum ia dihantar, kata Encik Sivakumar.

Satu-satunya bimbingan yang diberi Encik Thuraisingam ialah untuk menyunting nama wanita itu. Tingkah lakunya itu "tidak memuaskan", hujah pihak pendakwa.

Peguam bela Jerrie Tan dari K&L Gates Straits Law berkata anak guamnya menerima denda yang diusulkan pihak pendakwa.

Hukuman bagi kesalahan melanggar arahan mahkamah untuk melindungi identiti mangsa ialah tempoh penjara sehingga setahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan