Skip to main content

Singapura

Peguam, ejen hartanah didakwa gagal lapor urus niaga mencurigakan

Seorang peguam yang berpengalaman selama 15 tahun dalam urusan pemindahan hak dan seorang ejen hartanah dituduh gagal melaporkan perjanjian yang mencurigakan kepada pihak berkuasa semalam (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam, ejen hartanah didakwa gagal lapor urus niaga mencurigakan

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 17 Nov 2017 08:15AM Dikemas Kini : 17 Nov 2017 08:19AM

SINGAPURA: Seorang peguam yang berpengalaman selama 15 tahun dalam urusan pemindahan hak dan seorang ejen hartanah dituduh gagal melaporkan perjanjian yang mencurigakan kepada pihak berkuasa semalam (16 Nov).

Kang Bee Leng, 56 tahun, pengarah pengurusan Sterling Law Corporation dan Tan Yen Hsi, 37 tahun, pengarah pengurusan kanan CBRE Realty Associates masing-masing didakwa di bawah Akta Rasuah, Mengedar Dadah dan Jenayah Serius Lain.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa pada 12 Januari tahun lalu, Kang mempunyai sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa hampir S$5.5 juta yang digunakan untuk membeli hartanah di Lakeshore View di Sentosa Cove oleh seseorang yang bernama Zhang Min mungkin datang daripada hasil jenayah. Kang didakwa gagal mendedahkan kecurigaannya itu.

Tan juga menghadapi tuduhan yang serupa.

Menurut laman web syarikat Sterling Law, Kang pernah bekerja dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong dari 1990 hingga 1993. Suruhanjaya itu merupakan badan bagi mengawal pasaran kewangan di Hong Kong.

Menurut laman profilnya di PropertyGuru, Tan pula pakar dalam menguruskan hartanah mewah hingga kepada yang bernilai tinggi dan hartanah berhalaman serta memberi nasihat berhubungan gadai janji.

Kang dan Tan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada bulan depan.

Jika didapati bersalah, setiap tertuduh boleh didenda sehingga S$20,000. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita