Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam dijel sebabkan penunggang motosikal maut dalam kemalangan di AYE

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam dijel sebabkan penunggang motosikal maut dalam kemalangan di AYE

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang peguam dihukum penjara dua minggu pada Jumaat (29 April) kerana menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam satu kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) pada 2018.

Kereta Laurence Goh Eng Yau tergesel tepi motosikal Encik Wong Yew Wai ketika dia membelok secara tiba-tiba untuk mengelak berlanggar dengan kereta di depannya.

Kesan pelanggaran itu menyebabkan motosikal Encik Wong, 33 tahun, terbabas ke lorong di sebelah dalam laluan lori, sekali gus digilis lori tersebut. Mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Goh, kini 57 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu secara cuai pada awal bulan ini.

Dia mengaku gagal memastikan keadaan trafik dengan betul dan menjaga jarak selamat daripada kereta di hadapannya ketika itu.

Berdasarkan carian di laman web Kementerian Undang-undang, Goh mempunyai firma guaman sendiri.

Ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan ke Bukit Panjang dari pejabatnya apabila nahas berlaku dekat susur keluar 7A di AYE pada sekitar 5.20 petang, 12 September 2018.

Jalan susur keluar itu terletak berhampiran dengan Portsdown Road ke arah Tuas.

Selepas membelok secara tiba-tiba, dua lagi kereta di belakangnya merempuh antara satu sama lain dan melanggar dua kereta di depan.

Timbalan Ketua Hakim Negara S Jennifer Marie pada Jumaat juga menjatuhkan hukuman melarang Goh daripada memandu selama lima tahun.

Mereka yang disabit kesalahan menyebabkan kematian akibat perbuatan cuai, tanpa niat menyebabkan kematian, boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan