Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam didenda S$10,000 palsukan ijazah dan transkrip akademik

Seorang peguam berusia 29 tahun didenda S$10,000 kerana memalsukan ijazah sarjana muda undang-undang dan transkrip akademik untuk menambah peluang mendapat pekerjaan dengan Perkhidmatan Guaman Singapura (SLS).

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam didenda S$10,000 palsukan ijazah dan transkrip akademik

Gambar fail NUS.

Diterbitkan : 18 Jan 2018 06:24PM Dikemas Kini : 18 Jan 2018 06:28PM

SINGAPURA: Seorang peguam berusia 29 tahun didenda S$10,000 kerana memalsukan ijazah sarjana muda undang-undang dan transkrip akademik untuk menambah peluang mendapat pekerjaan dengan Perkhidmatan Guaman Singapura (SLS).

Jaya Anil Kumar, siswazah undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS), mengaku bersalah terhadap dua tuduhan "menggunakan dokumen palsu sebagai yang asli".

Empat tuduhan serupa dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Jaya tamat pengajian di NUS pada 2011 dengan kepujian Kelas Kedua Bawah, tetapi memalsukan ijazah dan transkripnya dengan menukar kepada "Kepujian Kedua Atas".

Dia juga mengaku menukar transkripnya supaya ia menunjukkan gred lebih baik daripada yang diperolehinya.

Jaya mula berkhidmat sebagai seorang peguam bela dan peguam cara pada Julai 2012.

Ketika dia cuba mendapatkan pekerjaan di Perkhidmatan Guaman Singapura pada Januari 2013, dia menyerahkan sijil yang asli, tetapi transkrip akademiknya dipalsukan supaya mencerminkan gred lebih baik bagi 21 daripada 27 subjeknya.

Perbuatan Jaya itu tidak dikesan, dan dia berjaya mendapat temu duga bersama panel pemilihan. Namun, dia tidak ditawarkan pekerjaan.

Pada Oktober 2016, Jaya sekali lagi membuat permohonan untuk bekerja di Perkhidmatan Guaman Singapura. Kali ini, dia memalsukan kedua-dua ijazah dan transkrip akademiknya.

Jaya memalsukan ijazahnya kepada "kepujian kedua atas", serta transkripnya menunjukkan gred yang lebih baik bagi 18 daripada 27 subjek.

Jaya menolak permintaan Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman (LSC) untuk memberinya kebenaran bagi mendapatkan maklumat tentang rankingnya di NUS.

LSC juga menanyakan tentang perbezaan dalam sijil dan transkrip-transkripnya yang diserahkan pada 2013 dan 2016.

Sususlan pertanyaan itu, Jaya menyerahkan dokumen-dokumen yang asli kepada LSC yang kemudiannya membuat laporan polis pada November 2017.

Selain cuba untuk menipu Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman, Jaya mengaku dia juga sudah menyerahkan dokumen-dokumen palsu kepada penyedia perkhidmatan sumber guaman R&T Asia Resources pada Mei 2016.

Atas kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai yang asli, Jaya boleh dihukum penjara sehingga empat tahun dan didenda.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan