Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam dan aktivis masyarakat, Nadia Ahmad Samdin, antara wajah baru PAP bagi GE2020

Tahun ini, PAP akan memperkenalkan 26 calon baru menerusi sesi-sesi yang diadakan hari ini, esok (25 Jun) dan Jumaat (26 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam dan aktivis masyarakat, Nadia Ahmad Samdin, antara wajah baru PAP bagi GE2020

Nadia Ahmad Samdin salah seorang bakal calon PAP dalam GE2020. (Gambar-gambar: PAP)

SINGAPURA: Peguam dan aktivis masyarakat, Nadia Ahmad Samdin, hari ini (24 Jun) rasmi diperkenalkan sebagai salah seorang bakal calon baru PAP dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Lagi tiga bakal calon PAP dalam barisan pertama wajah-wajah baru parti itu ialah bekas pegawai awam Desmond Tan, Pengarah Urusan Timbre Group Edward Chia & Pengurus Besar Keppel Offshore & Marin Ivan Lim.

Mereka diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam satu sesi online pagi tadi.

Tahun ini, PAP akan memperkenalkan 26 calon baru menerusi sesi-sesi yang diadakan hari ini, esok (25 Jun) dan Jumaat (26 Jun). Bakal-bakal calon itu berusia antara 30 dengan 56 tahun.

Cik Nadia, 30 tahun, yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak 15 tahun lalu berharap "untuk menjadi suara masyarakat" menerusi pelibatannya dalam bidang politik.

Beliau juga sudah mula bertemu para penduduk. Namun apabila ditanya kawasan mana beliau akan diturunkan untuk bertanding, Cik Nadia berseloroh "di mana-mana di Singapura".

Menurut sumber BERITAmediacorp, Cik Nadia mungkin bertanding di GRC Ang Mo Kio. Tempat itu kini diisi oleh Dr Intan Azura Mokhtar.

SIAPA NADIA AHMAD SAMDIN?

Cik Nadia merupakan Pengarah Bersekutu syarikat guaman TSMP Law Corporation dan Penasihat Panel di Mahkamah Remaja. Beliau aktif menjadi suara bagi golongan belia dan wanita dan giat berkhidmat dalam pelbagai pertubuhan Melayu/Islam (MMO). Ini termasuk Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Lulusan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu pernah memulakan satu inisiatif di mana para sukarelawan bertemu dengan para pelajar kurang berkemampuan setiap bulan untuk bertanya khabar dan membantu menokok nilai kad EZ-Link mereka. Ia bertujuan mengelakkan pelajar terpaksa ponteng kerana tiada tambang untuk ke sekolah.

Cik Nadia berharap, dengan pengalaman beliau melebihi 10 tahun bekerjasama dengan MMO, beliau dapat menyuntik idea-idea baru.

Apabila ditanya mengapa Cik Nadia menyertai politik, beliau yang juga pernah bertugas sebagai penerbit rancangan ehwal semasa di Channel NewsAsia itu berkata beliau sudah melihat sendiri impak yang boleh dicapai menerusi suara-suara individu.

Lantaran itu, bekas pelajar Maktab Rendah Victoria dan CHIJ Katong Convent itu berharap untuk sedikit sebanyak menyumbang menerusi penyertaannya.

DESMOND TAN, EDWARD CHIA, IVAN LIM

Encik Desmond Tan, 50 tahun, ialah bekas pegawai awam yang berpengalaman 28 tahun dalam Angkatan Senjata Singapura (SAF).

Bapa tiga anak itu ialah lulusan Kejuruteraan Aeronautika di Universiti Victoria Manchester dan pemegang ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Teknologi Nanyang.

Desmond Tan bakal calon PAP dalam GE2020. (Gambar: PAP)

Encik Edward Chia pula merupakan Pengarah Pengurusan Timbre Group. Syarikat itu ditubuhkan dengan misi sosial sejajar dengan keinginannya untuk menyokong bakat-bakat muzik dan masakan tempatan.

Beliau juga mahu mendampingi golongan belia untuk lebih memahami minat mereka.

Encik Edward merupakan lulusan Ekonomi dan Sains Kemasyarakatan dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Edward Chia bakal calon PAP dalam GE2020. (Gambar: PAP)

Seorang lagi bakal calon yang diperkenalkan DPM Heng ialah Encik Ivan Lim, 42 tahun.

Bertugas sebagai Pengurus Besar (Specialised Vessels) di Keppel Offshore & Marine, beliau bergiat aktif sebagai sukarelawan di kawasan undi Henderson-Dawson.

Encik Ivan prihatin tentang warga tua, kanak-kanak kurang bernasib baik, khususnya yang berkeperluan khas.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan