Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam Charles Yeo dalam tahanan di Britain, tunggu perbicaraan ekstradisi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Peguam dalam buruan Charles Yeo, yang melarikan diri dari Singapura selepas tuduhan jenayah difailkan ke atasnya, sedang berada dalam tahanan di Britain dan kini menunggu perbicaraan ekstradisi.

Yeo, yang mempunyai waran tangkap terhadapnya di Singapura, dijangka menghadiri perbicaraan ikat jamin pada 15 November, kata mahkamah Britain kepada Mediacorp pada Selasa (12 Nov). Tarikh perbicaraan ekstradisi penuhnya belum ditetapkan.

Dia memuat naik catatan di akaun Instagramnya awal bulan ini bahawa pemerintah Singapura sudah memohon untuk ekstradisinya.

Yeo, mantan pengerusi Parti Reformasi dikenakan enam pertuduhan di Singapura pada Januari 2022:

- Satu tuduhan melemparkan kata-kata kesat dengan niat untuk menyinggung perasaan penganut agama lain di bawah Kanun Jenayah

- Dua tuduhan cuba meluahkan kata-kata kesat dengan niat untuk menyinggung perasaan pihak lain di bawah Kanun Jenayah

- Tiga tuduhan melemparkan kata-kata berunsur ancaman, penghinaan terhadap pegawai awam di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan

Pada Ogos tahun itu, mahkamah daerah mengeluarkan waran tangkap untuk peguam itu, selepas dia melanggar syarat perjalanan ke luar negara semasa diikat jamin.

Dia diberi kebenaran untuk pergi ke Vietnam atas urusan kerja, namun dia gagal pulang ke Singapura dan mendakwa dia ingin mendapatkan "suaka politik" di Britain.
Akhbar Britain The Guardian melaporkan pada Disember tahun lalu bahawa Yeo diberi amaran bahawa dia mungkin dipindahkan ke bot Bibby Stockholm.

Bot itu digunakan untuk menempatkan pencari suaka lelaki sementara mereka menunggu keputusan permohonan suaka mereka, namun penutupannya diumumkan pada Julai selepas kritikan mengenai keadaan hidup di sana.

Menurut laman web UK Home Office, Singapura adalah antara negara yang mempunyai aturan ekstradisi rasmi bersama Britain.

Ia adalah negara Kategori 2B – yang bermaksud ia perlu mempertahankan sebab untuk meluluskan permintaan ekstradisi.

Permintaan ekstradisi dari wilayah Kategori 2 memerlukan keputusan oleh Setiausaha Negara dan mahkamah.

Selepas permintaan dibuat kepada Setiausaha Negara Britain, individu tersebut perlu memutuskan sama ada untuk mengesahkan permintaan itu. Jika ia diteruskan, kes tersebut akan dikemukakan ke mahkamah, dan hakim akan memutuskan sama ada untuk mengeluarkan waran tangkap.

Selepas individu itu diberkas dan dihadapkan ke mahkamah, terdapat perbicaraan awal sebelum perbicaraan ekstradisi.

Selepas perbicaraan ekstradisi, kes itu akan kembali kepada Setiausaha Negara, yang memutuskan sama ada untuk mengarahkan ekstradisi.

Individu tersebut boleh membuat representasi, dengan memberitahu mengapa mereka tidak boleh dihantar pulang dalam tempoh empat minggu selepas kes dihantar kepada Setiausaha Negara.

Jika ekstradisi diteruskan, seseorang boleh merayu ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari. Jika Mahkamah Tinggi membenarkan individu itu dihantar pulang, orang tersebut boleh merayu di Mahkamah Agung.

Rayuan kepada Mahkamah Agung hanya boleh dibuat jika Mahkamah Tinggi memperakui bahawa kes itu melibatkan undang-undang yang mempunyai kepentingan umum.

Jika tiada rayuan dibuat, individu tersebut perlu dihantar pulang dalam tempoh 28 hari mulai keputusan Setiausaha Negara dibuat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan