Skip to main content

Singapura

Peguam Bloomberg cabar Shanmugam jelaskan kepalsuan dalam rencana yang didakwa 'sepenuhnya palsu'

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Bloomberg cabar Shanmugam jelaskan kepalsuan dalam rencana yang didakwa 'sepenuhnya palsu'

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan wartawan Bloomberg Low De Wei tiba di Mahkamah Agung pada 9 April 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

Diterbitkan : 09 Apr 2026 08:43PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 08:44PM
SINGAPURA: Peguam bela Bloomberg pada Khamis (9 Apr) mempersoalkan arahan pembetulan oleh pemerintah terhadap rencana beritanya, dan mencabar Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam untuk menunjukkan di mana letaknya kenyataan palsu tersebut.

Dalam pemeriksaan balas terhadap Encik Shanmugam, Peguam Kanan Sreenivasan Narayanan menyatakan bahawa hampir tiada satu pun kenyataan palsu yang dinyatakan oleh pemerintah muncul secara tepat dalam rencana yang diterbitkan.

Pada satu ketika, Encik Shanmugam menyifatkan rencana Bloomberg itu sebagai "palsu sepenuhnya", dan menyatakan bahawa rencana itu sengaja meninggalkan butiran mengenai sistem pemeriksaan ketat Singapura untuk mencegah pengubahan wang haram dalam urus niaga hartanah.

"Gila kerana rencana seperti ini boleh disiarkan," katanya. "Rencana ini dirangka dengan sangat teliti untuk menyampaikan semua butiran palsu itu dengan niat sejahat yang mungkin."

Rencana bertarikh Disember 2024 mengenai banglo mewah 'Good Class Bungalow' (GCB) itu didakwa oleh Encik Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng sebagai memfitnah.

Ia tertakluk kepada perintah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) yang tidak dicabar oleh Bloomberg pada ketika itu.

Dr Tan juga memberi keterangan buat kali pertama pada hari ketiga perbicaraan kes fitnah ini, di mana beliau berkali-kali menyatakan tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Bloomberg apabila merujuk urus niaga hartanahnya sebagai "tidak telus".

MENGENAI PERBICARAAN INI

Encik Shanmugam dan Dr Tan menyaman Bloomberg dan wartawan Low De Wei atas RENCANA berunsur fitnah pada Disember 2024 mengenai GCB.

Rencana tersebut menyebut tentang Encik Shanmugam menjual GCB miliknya di Astrid Hill pada harga S$88 juta kepada UBS Trustees, sedangkan beliau membelinya pada harga S$7.95 juta pada tahun 2003.

Ia juga merujuk kepada Dr Tan yang membeli GCB di Brizay Park pada harga hampir S$27.3 million.

Para menteri mendakwa mereka difitnah dalam rencana itu yang membayangkan mereka mengambil kesempatan atas kekurangan sistem semak dan imbang serta keperluan pendedahan untuk menjalankan urus niaga hartanah secara "tidak telus".

Setakat ini, Encik Shanmugam memberi keterangan bahawa beliau berpendapat beliau sedang disasarkan berdasarkan siri emel dalaman Bloomberg.

Emel tersebut menunjukkan wartawan ingin menulis tentang penjualannya lebih awal tetapi memerlukan lebih banyak maklumat untuk "melengkapkan" cerita tersebut.

Beliau mendakwa kisah itu dipersembahkan sebagai rencana mengenai trend luas urus niaga GCB, namun sebenarnya bertujuan untuk mewajarkan penulisan mengenai urus niaga hartanah peribadinya.

Peguam bela Bloomberg pula berhujah bahawa menteri sudah diberitahu awal bahawa urus niaganya akan disebut, dan "draf" awal rencana tersebut malah tidak menyebut namanya.

PEGUAM BELA SOAL SHANMUGAM TENTANG ISI RENCANA

Sambil meneliti perenggan tertentu dalam rencana tersebut, Encik Sreenivasan meminta menteri menunjukkan di mana sebenarnya "kenyataan palsu" itu ditemui.

Kenyataan palsu tersebut, menurut rencana Factually yang disertakan bersama perintah POFMA, termasuk dakwaan bahawa: Tiada rekod pemerintah yang tersedia secara terbuka mengenai urus niaga jualan GCB jika kaveat tidak difailkan; pemerintah tidak menyedari identiti pemilik sebenar dalam urus niaga tersebut; dan urus niaga hartanah GCB boleh dijalankan tanpa sebarang pemeriksaan identiti oleh pemerintah.

Encik Sreenivasan meneliti beberapa perenggan untuk menunjukkan bahawa tiada satu pun "kepalsuan" ini ditulis secara tepat - kata demi kata - dalam rencana itu.

Beliau juga ingin tahu sama ada Encik Shanmugam mengetahui tentang perintah POFMA sebelum ia dikeluarkan, dan mengapa surat tuntutan saman fitnah menteri itu mempunyai pandangan yang serupa dengan rencana Factually.

Menjawab perkara itu, Encik Shanmugam berkata beliau sudah menarik diri daripada sebarang keputusan pemerintah mengenai perintah POFMA tersebut, dan menyifatkan dakwaan bahawa Kabinet berpakat dengannya untuk tindakan sivil sebagai "tuduhan yang sangat serius".

Mengenai persamaan surat tuntutannya dengan rencana Factually, Encik Shanmugam menjawab kepada peguamnya, Peguam Kanan Davinder Singh, bahawa ramai orang yang membaca rencana itu akan mendapat pandangan yang sama.

Encik Shanmugam berkata rencana itu membayangkan beliau terlibat dalam "urusan yang meragukan" dengan kemungkinan pengubahan wang haram, menggunakan kata-kata seperti "golongan kaya menyembunyikan pembelian mereka dalam kerahsiaan".

GANTI RUGI

Bloomberg tidak mencabar perintah POFMA tersebut walaupun menyatakan mereka tetap mempertahankan laporan mereka.

Rencana itu masih ada online, fakta yang menurut Encik Shanmugam menjadi asas kepada ganti rugi yang lebih berat.

Mengenai butiran ini, Encik Sreenivasan berhujah bahawa rencana itu sebenarnya tidak merosakkan kedudukan Encik Shanmugam.

Rencana itu diterbitkan sebelum Pilihan Raya Umum 2025 pada Mei tahun itu.

Selepas pilihan raya, Encik Shanmugam "dinaikkan pangkat" sebagai menteri penyelaras keselamatan negara, dan kawasan undinya melihat peningkatan jumlah undi bagi pasukannya, kata Encik Sreenivasan.

Peguam itu juga menyatakan bahawa rencana tersebut menarik lebih banyak tontonan selepas Encik Shanmugam membuat catatan Facebook yang mengatakan rencana itu memfitnah.

DR TAN MEMBERI KETERANGAN

Semasa keterangan Dr Tan pada sebelah petang, beliau menyatakan sejak awal bahawa beliau bukan seorang peguam dan ini adalah kali pertama beliau disoal balas.

Ditanya sama ada benar beliau sudah mencapai "puncak tertinggi" kerjayanya sebelum memasuki politik, Dr Tan berhenti seketika.

"Saya tidak boleh katakan begitu. Jika anda tahu moto kami dalam bidang perubatan... kami sentiasa diajar - bukan kebanggaan ilmu, tetapi kerendahan hati dalam kebijaksanaan. Jadi saya tidak boleh katakan begitu," kata Dr Tan.

Dr Tan kemudian berkata beliau membaca rencana Bloomberg itu pada hari ia diterbitkan dan berasa sangat terganggu.

Beliau menceritakan wartawan Low De Wei pernah menghantar emel kepada setiausaha akhbarnya pada Oktober 2023, menyatakan rancangan untuk melaporkan "kisah yang lebih luas" mengenai urus niaga GCB "tidak telus".

Dr Tan berkata beliau tidak faham mengapa urus niaga itu digambarkan sebagai "tidak telus" sedangkan ia tetap akan muncul dalam rekod awam akhirnya.

Perbezaan antara urusan berkaveat dan tidak berkaveat hanyalah ia mengambil masa beberapa minggu sebelum muncul dalam rekod awam, katanya.

Apabila ditanya sama ada isu pemberian kerakyatan kepada pendatang kaya yang membayar harga tinggi untuk hartanah adalah "isu sensitif" bagi penduduk tempatan, Dr Tan berkata ia perlu dilihat mengikut konteks.

"Saya sendiri membesar di flat HDB untuk separuh pertama hidup saya. Saya tidak peduli tentang pendatang kaya yang membayar jumlah besar untuk GCB kerana ia sememangnya di luar kemampuan saya sejak awal. Saya lebih bimbang tentang mendapatkan rumah BTO seterusnya," kata Dr Tan.

Sekalipun demikian, beliau bersetuju bahawa isu tersebut adalah isu yang sensitif bagi penduduk tempatan.Perbicaraan akan diteruskan pada Jumaat.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita