Skip to main content

Singapura

Peguam, ahli politik Lim Tean diisytihar muflis

Peguam dan ahli politik pembangkang Lim Tean diisytihar muflis, menurut notis yang diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada Jumaat (10 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam, ahli politik Lim Tean diisytihar muflis

Peguam dan ahli politik Lim Tean di luar Mahkamah Negara pada 12 Mei 2022. (Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 10 Apr 2026 10:48PM
SINGAPURA: Peguam dan ahli politik pembangkang Lim Tean diisytihar muflis, menurut notis yang diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada Jumaat (10 Apr).

Perintah muflis itu berkuat kuasa pada 2 April.

Harta muflis Lim akan diuruskan oleh pemegang amanah Lau Chin Huat dan Yeo Boon Keong daripada Technic Inter-Asia, menurut notis tersebut.

Lim, seorang peguam dengan pengalaman lebih 30 tahun, juga merupakan pengasas Parti Suara Rakyat (PV) dan setiausaha agung Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), sebuah gabungan parti pembangkang.

Lim didenda S$30,000 pada Jumaat berhubung tindakannya dalam mengendalikan wang milik bekas kliennya.

Walaupun sudah dilucutkan oleh klien tersebut, Lim didapati menerima atau memegang cek bernilai S$30,000, yang merupakan bayaran interim daripada jumlah penyelesaian kepada klien berkenaan.

Lim juga didapati gagal memasukkan jumlah tersebut ke dalam akaun klien firmanya, sekali gus melanggar Peraturan Profesion Undang-undang (Akaun Peguam Cara).

Lim dikehendaki membayar denda tersebut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman, di samping kos sebanyak S$12,000.

Sementara itu, Mahkamah Tiga Hakim pada Jumaat menolak permohonan Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) untuk menggugurkan nama Lim daripada senarai peguam.

Mahkamah mendapati LawSoc gagal membuktikan bahawa kesalahan Lim melampaui keraguan munasabah berhubung dakwaan menerima dan menunaikan cek tersebut secara tidak wajar.

Pada Februari 2025, Lim dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000 kerana menjalankan amalan guaman tanpa sijil yang sah.

Dia juga masih berdepan pertuduhan jenayah lain dan dijadual menghadiri persidangan praperbicaraan di Mahkamah Negara pada hujung bulan ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita