Skip to main content

Singapura

Pegerai sambut positif percubaan hidangan bijirin penuh, minuman kurang gula di Pasar Tekka

Tempoh percubaan menyediakan hidangan bijirin penuh dan minuman kurang gula di Pasar Tekka menghasilkan maklum balas positif daripada pegerai. Ini selepas 31 gerai menjalani percubaan itu sejak sekitar dua bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tempoh percubaan menyediakan hidangan bijirin penuh dan minuman kurang gula di Pasar Tekka menghasilkan maklum balas positif daripada pegerai.

Ini selepas 31 gerai menjalani percubaan itu sejak sekitar dua bulan lalu.

SUAMI SAKIT JADIKAN PEGERAI LEBIH PRIHATIN

Sejak suami Cik Hathija Mohaidin Pichai dimasukkan ke hospital akibat kolesterol tinggi dua tahun lalu, beliau dan keluarganya menjadi lebih prihatin tentang kesihatan dan tabiat pemakanan mereka.

Lantaran itu, beliau mula menyediakan hidangan lebih sihat seperti beras perang ketika makan di rumah.

Malah, bukan itu sahaja, pemilik kedai Hannah Jaynup Stall di Pasar Tekka itu juga mahu meningkatkan kesedaran para pelanggannya dengan menyediakan mereka hidangan yang lebih sihat.

Related article image
Cik Hathija Mohaidin Pichai, seorang pegerai di Pasar Tekka (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Kita campur dua cawan beras perang dan secawan nasi putih, jadi nampaknya seperti, kita ada pelanggan tetap, mereka beri tanda jempol. Apa-apa sahaja demi kesihatan, memang cukup digalakkan. Mereka memang puas hati," kongsi Cik Hathija bersama BERITAmediacorp.

Daripada lebih 80 gerai yang menyediakan pilihan lebih sihat, 31 gerai menawarkan hidangan bijirin penuh termasuk gerai Cik Hathija.

Percubaan di Pasar Tekka sejak 8 September itu sebahagian daripada usaha Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) meluaskan pilihan hidangan penjaja lebih sihat.

Bagi pemilik gerai Maya Mohan Hot & Cold Drinks, Encik Ganesh Singh, beliau pula menawarkan minuman dengan kandungan gula lebih rendah seperti teh Roselle dan teh lemon ais daripada pengeluar produk minuman tempatan Faesol.

"Yang penting, kita kurangkan gula atau tidak gunakan gula. Bahan pengganti kita adalah gula Melaka dan daun pudina. Sebagai permulaan, ini sangat positif, bagus untuk semua orang dan ia akan berkembang," kata Encik Singh.

Related article image
Encik Ganesh Singh (baju biru), pemilik gerai Maya Mohan Hot & Cold Drinks (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

PERMINTAAN LEBIH TINGGI BOLEH TURUNKAN HARGA

Dengan 60 peratus rakyat Singapura yang makan di luar empat kali seminggu, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin berbesar hati usaha berterusan ini mendapat sokongan pegerai bagi mendorong gaya hidup sihat.

Meskipun akur perubahan citarasa pelanggan mungkin akan mengambil masa, beliau yakin cabaran ini dapat diatasi.

"Seperti kata pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa. Jadi ini satu perkara yang kita mahu jadikan tabiat untuk masyarakat kita tahu tentang adanya pilihan dan juga cuba menyesuaikan diri dengan pilihan-pilihan ini," kata Encik Amin.

"Sebaiknya kita mengamalkan gaya hidup sihat dan jika lebih ramai daripada kita berbuat demikian, harga-harga juga akan turun dengan adanya permintaan daripada lebih ramai lagi masyarakat kita."

Para pegerai berkata mereka berharap untuk terus bekerjasama dengan HPB bagi menyediakan hidangan lebih sihat dan meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingannya.

Pasar Tekka adalah pusat penjaja ke-13 untuk menawarkan pilihan makanan dan minuman lebih sihat.

Melalui pendekatan ini HPB sedang menepati sasaran untuk 20 pusat penjaja menawarkan hidangan bijirin penuh menjelang Mac 2019.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita