Skip to main content

Singapura

Pegerai pusat penjaja Clementi pasang perangkap, dapatkan bantuan pakar tangani isu tikus

Sedang pihak berkuasa meningkatkan usaha bagi membendung jumlah tikus di Singapura, para pemilik gerai di sebuah pusat penjaja di Clementi memainkan peranan mereka menerusi cara yang unik.
Anggaran Waktu Membaca:
Pegerai pusat penjaja Clementi pasang perangkap, dapatkan bantuan pakar tangani isu tikus

Imej komposit penjaja Ng Peng Khoon bergambar dengan seekor tikus yang terperangkap di depan Pasar dan Pusat Makanan Clementi 448. (Gambar: Ng Peng Khoon, CNA)

Diterbitkan : 25 Nov 2025 05:50PM Dikemas Kini : 25 Nov 2025 05:51PM
SINGAPURA: Sedang pihak berkuasa meningkatkan usaha bagi membendung jumlah tikus di Singapura, para pemilik gerai di sebuah pusat penjaja di Clementi memainkan peranan mereka menerusi cara yang unik.

Sepanjang tiga tahun lalu, para penjaja di Pasar dan Pusat Makanan Clementi 448 mengumpul ganjaran dalam bentuk wang tunai atas usaha menangkap tikus di pasar tersebut yang terletak berhampiran stesen MRT Clementi.

Ganjaran wang tunai bagi setiap tikus yang ditangkap - sebelum ini mencecah setinggi S$100 bagi setiap tikus yang berjaya ditangkap tetapi jumlahnya dikurangkan kepada maksimum S$50.

Inisiatif itu dikendalikan dan dibiayai oleh Persatuan Pemilik Kedai Clementi Town.

Ganjaran wang tunai itu pertama kali menarik perhatian awam pada permulaan bulan ini apabila ia dilaporkan oleh akhbar Shin Min Daily News.

Kini, para pemilik gerai memberitahu Mediacorp mereka menyerahkan tikus-tikus yang diperangkap kepada pihak kawalan perosak secara berlesen setelah mereka diingatkan supaya tidak menghapuskannya sendiri.

KOS PENGHAPUSAN

Tikus merupakan masalah yang berterusan di Singapura, dengan para pakar sebelum ini mengaitkan isu itu dengan ciri-ciri tikus yang boleh membiak dengan cepat serta kelemahan dari segi pengurusan sisa dan amalan kebersihan, antara beberapa faktor lain.

Tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik premis bagi kesalahan berkaitan tikus meningkat kira-kira 26 peratus pada separuh pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada Ogos lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan ia mengesan purata 5,400 lubang tikus bagi setiap kitaran di merata Singapura pada separuh pertama 2025. Jumlah itu hampir seganda berbanding 2,800 lubang tikus yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Para pemilik gerai yang menyertai usaha menangkap tikus di Pasar dan Pusat Makanan Clementi 448 berkata mereka menyertai usaha itu untuk menjaga kebersihan pasar itu, menggunakan sangkar atau perangkap gam untuk menangkap tikus itu.

Mereka dibayar berdasarkan anggaran saiz tikus yang ditangkap, yang biasanya ditemui di kawasan pasar basah.

Para pegerai sebelum ini membuang tikus itu sendiri kerana ia menelan kos sehingga S$80 untuk mendapatkan khidmat pengawal seranggan berlesen untuk berbuat demikian.

Namun mereka berkata pihak berkuasa sudah pun mengingatkan mereka tentang prosedur yang betul pada 12 November lalu.

Majlis Bandaran Jurong-Clementi-Bukit Batok, yang menyelia pusat penjaja itu, juga mendampingi para pemilik gerai dan kini menyediakan khidmat itu kepada mereka secara percuma.

Sebelum pandemik, lebih 10 ekor tikus kelihatan setiap hari. Pada bulan ini, hanya seekor tikus berjaya ditangkap sejauh ini.

"Sepanjang tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak penambahbaikan. Cuma baru-baru ini sahaja tidak banyak tikus yang ditangkap," kata pengerusi pasar itu, Henroy Tan.

"Malah pada bulan ini, menurut laporan majlis bandaran kepada NEA, hanya seekor tikus yang ditangkap di (Blok) 448. Jadi jumlah kes tikus sudah merosot secara mendadak."

Menurut garis panduan NEA, usaha menangkap tikus boleh dilakukan apabila penggunaan racun tikus tidak dibenarkan atau boleh menimbulkan bahaya, seperti di perusahaan makanan atau kawasan pengendalian makanan.

Apabila perangkap dipasang, pemilik atau pengurus premis perlu membuat aturan dengan pengendali kawalan haiwan perosak supaya kerap memantau perangkap itu bagi sebarang tangkapan yang hidup dan buang sebarang bangkai tikus untuk "mencegah sebarang risiko kesihatan awam", menurut garis panduan tersebut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita