Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegerai, penyewa industri akan dibantu andai gangguan bekalan ayam 'berterusan, meluas'

Sekiranya gangguan pada bekalan ayam berlarutan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) akan menghulurkan bantuan kepada pegerai dan penyewa industri, jika perlu, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Sabtu (11 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pegerai, penyewa industri akan dibantu andai gangguan bekalan ayam 'berterusan, meluas'

Ayam segar di sbeuah gerai di pasar Bukit Merah pada 1 Jun 2022. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Sekiranya gangguan pada bekalan ayam berlarutan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) akan menghulurkan bantuan kepada pegerai dan penyewa industri, jika perlu, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Sabtu (11 Jun).

Beliau menarik perhatian Pemerintah sudah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi industri dan persatuan perdagangan untuk meningkatkan bekalan alternatif dengan pantas sejak Malaysia melaksanakan sekatan eksport pada 1 Jun.

"Tiga minggu yang lalu adalah masa yang sangat sibuk bagi kami," kata Cik Fu di jamuan malam sempena ulang tahun ke-20 Persatuan Peniaga Daging.

Beliau menambah persatuan itu berganding bahu dengan penguasa untuk membantu para penjaja dan pegerai di pasar basah beralih ke ayam beku.

"Tindakan sedemikian menunjukkan ketangkasan dan kelincahan kami dalam bertindak balas terhadap gangguan," ujarnya.

"Namun sekiranya berlaku gangguan yang berpanjangan dan meluas pada bekalan, seperti yang dialami apabila COVID-19 mengganggu operasi Pelabuhan Perikanan Jurong... NEA dan SFA akan menghulurkan bantuan kepada pegerai serta penyewa industri jika perlu."

KESELAMATAN MAKANAN

Sebagai sebuah negara yang mengimport lebih 90 peratus daripada makanannya, Singapura berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh menjejas bekalan makanannya. Ini termasuk, terang Cik Fu, perubahan iklim, pandemik dan keadaan geopolitik.

Beliau turut merujuk kepada kesan pandemik COVID-19, yang menyebabkan penutupan sementara Pelabuhan Perikanan Jurong, serta sekatan sempadan yang menjejas pergerakan barang-barangan serta manusia ke negara ini.

Selain pandemik, Cik Fu juga menarik perhatian kepada perang di Ukraine, tekanan inflasi dan larangan eksport makanan yang dikuatkuasakan oleh sesetengah negara.

"Inilah sebabnya mengapa Singapura mengambil pendekatan berbilang serampang untuk melindungi keselamatan makanan kita," kata Cik Fu sambil menambah strategi-strategi negara termasuk mempelbagaikan sumber import, mengembangkan bekalan dari luar negara dan meningkatkan bekalan dalam negeri.

"Mempelbagaikan sumber sangat penting. Ini berkait rapat dengan keselamatan makanan kerana kita hanya mengimport daripada sumber-sumber yang memenuhi keperluan keselamatan makanan kita."

Walaupun Pemerintah terus memudahkan pembukaan sumber-sumber baru untuk import, Cik Fu menggalak industri dan syarikat supaya "membina daya bingkas" pada rangkaian bekalan masing-masing dengan melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan. Sebagai contoh, dengan mempelbagaikan dan mengekalkan hubungan muhibah dengan pelbagai sumber.

Cik Fu menukil contoh pengimport telur yang perlu mempelbagaikan sumber bekalan untuk mengimport telur dari Thailand, Poland dan Australia demi mengurangkan kebergantungan Singapura kepada Malaysia.

Cik Fu juga mengucapkan terima kasih kepada para pengguna Singapura atas pemahaman mereka dan juga kerana "menyesuaikan diri dengan baik" untuk menerima pelbagai bentuk alternatif ayam serta protein.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan