Skip to main content

Singapura

Pegerai kedai kopi kejiranan terpaksa gulung tikar dek kos tinggi sewa, operasi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jan 2024 06:19PM Dikemas Kini : 17 Jan 2024 08:48PM
SINGAPURA: Harga sewa dan kos operasi yang semakin tinggi memaksa para pegerai yang terdapat di kedai-kedai kopi kawasan kejiranan untuk gulung tikar.

Bagi sebilangan, harga sewa gerai naik sehingga 20 peratus sepanjang beberapa tahun lalu.

Kos utiliti yang meningkat baru-baru ini juga merupakan satu lagi sebab.

Pemerhati pasaran mengatakan, kedai kopi yang bertukar tangan pada harga jutaan dolar menyumbang kepada kos sewa yang melambung tinggi.

Mentai-Ya, sebuah kedai makanan Jepun di Clementi, misalnya, terpaksa gulung tikar selepas bertahan dua tahun.

Kata pemiliknya, harga sewa naik sekitar 20 peratus sepanjang tempoh berkenaan.

Encik Khoo Keat Hwee juga terpaksa menutup satu lagi kedai di kawasan lain bulan lalu.

Beliau enggan mendedahkan harga sewa yang perlu ditanggung.

Namun menurutnya, ia boleh mencecah hingga $9,000 sebulan bagi gerai-gerai di lokasi yang lebih baik.

Untuk bertahan, Encik Khoo menaikkan harga jualan sebanyak satu dolar, hanya untuk kehilangan sekurang-kurangnya 10 peratus pelanggannya.

"Cabaran utama adalah kami tidak meraih keuntungan tinggi dan kalau ada pun, ia sangat tipis, seperti $1,000 atau $2,000, jadi ia tidak dapat bertahan untuk jangka panjang. Ianya seperti kami mulakan perniagaan dengan $30,000 atau $40,000. Setiap bulan, mungkin dapat $1,000 atau $2,000, jadi kami tidak akan balik modal," tambah Encik Khoo.

Ramai peniaga di kedai-kedai kopi lain berada dalam keadaan serupa.

Selain kos sewa yang naik, harga kebanyakan barangan juga melambung tinggi.

Misalnya, harga bahan-bahan.

Akibat peperangan di Ukraine, bil utiliti seperti elektrik dan air juga naik.

Ditambah lagi dengan kadar pinjaman, gaji pekerja dan insurans yang lebih tinggi - ramai pemilik gerai yang terjejas teruk.

Sebuah gerai nasi ayam di Bedok turut mengalami nasib serupa.

Ia menanggung kos operasi yang terus melonjak dan selepas setahun beroperasi, turut bercadang untuk gulung tikar.

Sejak mengambil alih daripada pemilik sebelumnya, peniaga nasi ayam itu perlu membayar tambahan $500 untuk sewa bulanan.

Satu lagi sebab mengapa kos sewa kini melambung adalah ekoran tiga kedai kopi yang baru-baru ini bertukar tangan untuk sekurang-kurangnya $40 juta setiap satu.

Encik Nicholas Mak, Ketua Pegawai Pengkaji, Mogul.Sg berkata "Para pemilik kedai kopi yang lain mungkin berfikir, kerana kedai kopi lain dapat mencapai harga rekod sebegini, bagi kedai kopi mereka, mereka juga menaikkan nilai kedai kopi mereka. Pada masa yang sama, harga dan kos sewa kedai kopi memang meningkat, terutama di lokasi popular pinggir bandar.

Namun, masih terdapat harapan.

Seorang penganalisis mengatakan, sektor tersebut mungkin mereda tahun ini.

"Kami fikir, kemungkinan besar ia akan stabil. Kadar faedah tinggi masih akan beri tekanan kepada pilihan pelabur, terutama sekali jika mereka melihatnya hanya dari sudut pelaburan, bermakna mereka bukan sebahagian daripada rangkaian kedai kopi," jelas Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan, analisis data, Huttons Real Estate Group.

Di Singapura, terdapat sekitar 770 kedai kopi di perumahan HDB.

Kira-kira 400 adalah milik privet, manakala yang lain disewakan.

Pada 2022, dilaporkan sekitar 70 peratus kedai kopi dijual pada harga di bawah $10 juta, dengan purata 15 urus niaga dicatat setiap tahun.
 
Sumber : CNA/IA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita