Pegawai universiti tempatan pasang kamera tersembunyi di tandas, intip dan rakam rakan sekerja lelaki
Seorang pegawai pengurusan estet sebuah universiti swasta di Singapura memasang kamera lubang jarum atau "pinhole camera" di siling tandas yang dikhaskan bagi orang kurang upaya, dengan niat mengintip individu lain yang menggunakan tandas itu.

Mahkamah Negara Singapura. (Gambar fail: CNA)
Lelaki berusia 26 tahun itu berharap untuk menggunakan rakaman haram tersebut untuk memenuhi keperluan seksual kerana isterinya sedang hamil. Namun, dia hanya sempat merakam seorang mangsa – rakan sekerja lelakinya.
Tertuduh, seorang warga Malaysia, dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu pada Rabu (19 Feb) selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan voyeurisme.
Identiti tertuduh tidak boleh didedahkan bagi melindungi mangsa.
Tertuduh bekerja sebagai pegawai pengurusan estet di universiti tersebut sejak 3 Februari 2023. Tugasnya termasuk penyenggaraan kemudahan kampus.
Dalam menjalankan tugas, dia menyedari terdapat lubang pada siling tandas individu kurang upaya dan mengambil keputusan memasang kamera tersembunyi untuk mengintip pengguna tandas berkenaan.
Dia membeli peranti tersebut melalui platform e-dagang pada Disember 2024 dan menghantarnya ke kediamannya di Malaysia.
Pada 16 Januari 2025, tertuduh membawa kamera tersebut ke tempat kerja.
Sambil berpura-pura menjalankan tugas berkaitan pengurusan estet, dia pergi ke tandas berkenaan, dengan tangga dan memasang kamera tersebut pada sekitar pukul 3.27 petang.
Dia menggunakan pemutar skru untuk membesarkan lubang di siling, meletakkan kamera – yang mengandungi kad SD – serta satu "power bank", kemudian menutup lubang itu dengan pita pelekat.
Kira-kira pukul 4.05 petang, seorang rakan sekerja lelaki yang menggunakan tandas berkenaan ternampak lubang dan pita pelekat di siling.
Rakan sekerja itu terkejut apabila menemukan kamera tersembunyi, setelah memeriksa siling. Dia membuat aduan, dan pihak universiti segera mengosongkan kawasan tersebut untuk siasatan oleh sekumpulan pegawai dari universiti itu.
Laporan polis dibuat pada 20 Januari 2025, yang membawa kepada penangkapan tertuduh tiga hari kemudian. Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana dia dikenal pasti sebagai pelaku.
Pihak pendakwaan menegaskan bahawa "hukuman yang tegas" diperlukan untuk menghalang individu lain daripada melakukan kesalahan yang serupa, kerana terdapat "pencerobohan yang ketara" terhadap privasi mangsa apabila alat sulitnya dirakam.
Pendakwaan turut menyatakan bahawa tertuduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai pengurusan estet, kerana kehadirannya dengan tangga di kawasan tersebut tidak menimbulkan syak wasangka. Selain itu, pihak pendakwaan juga menyatakan bahawa kesalahan tersebut dilakukan secara terancang.
Peguam bela tertuduh, Don Tan, berkata bahawa meskipun mangsa telah dirakam, tertuduh tidak sempat melihat rakaman itu kerana kamera ditemui dalam masa kurang daripada satu jam selepas dipasang.
Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan tertuduh menyasarkan mangsa secara khusus.
Walaupun pihak pendakwaan menyatakan bahawa mangsa berasa terkejut, tiada bukti yang menunjukkan kesan emosi berpanjangan seperti kemurungan, tambah peguam bela.
Peguam bela turut merayu agar hukuman dikurangkan kerana tertuduh mengaku bersalah pada peringkat awal, sekali gus menjimatkan masa dan sumber mahkamah.
Bagi kesalahan mengintip, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau didenda, atau disebat, atau dikenakan gabungan hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.