Pegawai SRC di Kaherah bantu selaras bantuan bernilai S$270,000 masuk ke Gaza
SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) sudah mengerahkan kakitangannya ke Kaherah, Mesir untuk menyelaraskan dan memudahkan penghantaran bekalan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Gaza.
SRC bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) untuk menyalurkan bantuan menerusi Lintasan Rafah.
Beliau memberitahu Mediacorp pada Khamis (2 Nov), dirinya ditugaskan untuk membantu mengenal pasti keperluan segera dan penting di Gaza. Ini selain memudahkan ketersediaan bekalan bantuan.
"Kami (SRC) komited untuk menyumbang kepada usaha bantuan menerusi pemerolehan barangan asas yang amat diperlukan," kata beliau.
"Bertugas di Kaherah membolehkan kami menerima kemas kini secara langsung tentang keadaan di lokasi dan operasi (rakan kami), sekali gus membolehkan kami memberi respons segera untuk menangani keperluan yang berubah-ubah."
Ibu pejabat ERC di Kaherah merupakan pusat utama dan markas bagi penyelarasan dan pemantauan operasi bantuan ke Gaza.
SUMBANG BEKALAN BANTUAN
Awal minggu ini, SRC menyatakan pihaknya menghantar bekalan bantuan bernilai S$273,000 kepada para mangsa konflik di Carikan Gaza.
Pakej bantuan termasuk ubat-ubatan, kit kebersihan peribadi, air bersih, makanan dan peralatan seperti kerusi roda.
Menurut Encik Sahari, barangan itu terdiri daripada keperluan asas "untuk mengupaya pegawai jagaan kesihatan untuk terus berkhidmat menyelamatkan nyawa dan merawat."
Beliau menambah rakan-rakan sejawatan di lokasi sudah memberi amaran bahawa bekalan barangan asas di Gaza semakin berkurangan, pada kadar yang pantas, dan masa semakin suntuk untuk bantuan tiba.
"Keadaan di sini teruk dan sukar," beliau memberitahu Mediacorp.
"Keluarga, wanita, kanak-kanak mencuba untuk bertahan dan mencari tempat berlindung dan seringkali mereka tiada akses kepada keperluan asas seperti tempat berlindung, air dan makanan.
"Ubat-ubatan dan peralatan perubatan juga semakin berkurangan. Dengan risiko gangguan elektrik, operasi hospital akan menjadi amat terjejas memandangkan kebanyakan peralatan sokongan hidup memerlukan elektrik untuk berfungsi."
Keadaan diburukkan lagi dengan prasarana yang musnah serta terputusnya komunikasi dan internet yang menyebabkan masyarakat berasa terpinggir, tambah beliau.
KENAPA SUSAH BAWA MASUK BANTUAN KE GAZA?
"Salah satu cabaran utama adalah memastikan penghantaran bekalan bantuan tepat pada masanya dan sampai dengan selamat menerusi laluan selamat," kata Encik Sahari.
Sejak perang itu tercetus, hanya sedikit sahaja bantuan sudah memasuki Gaza.
Penduduk Gaza yang semakin terdesak terpaksa merempun masuk ke gudang-gudang makanan pada Ahad (29 Okt), dalam insiden yang disifatkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai "keadaan porak-peranda".
Mesir menuding jari ke arah Israel kerana melengahkan bekalan melalui lintasan itu, sambil menambah pengeboman kawasan itu mewujudkan keadaan tidak selamat bagi lori-lori yang membawa bekalan bantuan.
Israel juga menyekat penghantaran bahan api kerana takut ia akan jatuh ke tangan Hamas yang akan menggunakannya bagi tujuan ketenteraan.
Agensi-agensi bantuan, serta PBB, sudah memberi amaran bahawa usaha-usaha kemanusiaan boleh terhenti sekiranya bahan api terputus.
"Tanpa bahan api, keseluruhan mekanisme respons bantuan akan terhenti - penghantaran barangan dan fungsi kritikal prasarana seperti hospital," tekan Encik Sahari.
USAHA BERTERUSAN SEDIAKAN BANTUAN
Menurut Encik Sahari petugas kemanusiaan bertugas di dalam keadaan mencabar dan berbahaya untuk menghantar bekalan ke Gaza.
Agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA) menyatakan 67 kakitangannya sudah terbunuh di GAza sejak konflik itu bermula.
"Tumpuan mereka adalah untuk hidup sehari demi sehari. Sukar untuk mereka memikirkan tentang jangka panjang ataupun jangka pertengahan," kata beliau, sambil menggesa agar orang awam dan petugas kemanusiaan dilindungi.
Beliau menambah, agensi-agensi bantuan terus menerus bersuara meminta lebih banyak akses dan laluan selamat ke Gaza.
"ERC akan terus menghantar bantuan menurut had yang dibenarkan menerusi Lintasan Rafah," kata beliau.
Persatuan Bulan Sabit Palestin, yang menerajui usaha kemanusiaan di Gaza, sangat penting dalam menyediakan bantuan dan sokongan yang amat diperlukan bagi penduduk yang terjejas, tambah beliau.
Sekalipun demikian, kekurangan masih berterusan dan bekalan perubatan serta keperluan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang begitu besar.
"Bagi kami di SRC, kami menyumbang di balik tabir, menyelaraskan dan memastikan aliran barangan penting yang diperlukan itu berterusan dan bertahan.
"Kami berharap sebaik sahaja terdapat akses lebih baik ke Carikan Gaza, kami akan dapat meningkatkan kekerapan penghantaran dan jumlah barangan yang dibawa masuk ke Gaza."
Beliau menambah "keperluan masyarakat terjejas di Gaza sangat besar dan untuk jangka panjang", dan usaha mengumpul dana oleh SRC masih berterusan.
Mereka yang mahu menyumbang boleh melakukannya di laman redcross.sg/gazaresponse
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.