Skip to main content

Singapura

Pegawai SCDF, isteri didakwa tipu MHA, SCDF lebih S$130,000

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai SCDF, isteri didakwa tipu MHA, SCDF lebih S$130,000

Pegawai SCDF Muhammad Zahid Rosli (kiri) dan isterinya Nuraifa Ahmad meninggalkan Mahkamah Negara pada 16 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 16 Oct 2025 02:19PM Dikemas Kini : 16 Oct 2025 02:20PM
SINGAPURA: Seorang pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan isterinya didakwa di mahkamah pada Khamis (16 Okt) atas tuduhan menipu Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan SCDF lebih S$130,000.

Muhammad Zahid Rosli, 41 tahun, adalah pegawai SCDF yang ditempatkan di Akademi Pertahanan Awam pada masa kesalahan dilakukan, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataannya.

Isterinya, Nuraifa Ahmad, 38 tahun, adalah pemilik tunggal Grundy Wellness Network dan pengarah Clutch Esports.

Zahid berdepan 28 tuduhan, manakala Nuraifa menghadapi 19 tuduhan.

Antara 2017 dan 2023, Zahid dipercayai menipu SCDF sekitar S$52,000 dengan "menyembunyikan kepentingan peribadinya secara tidak jujur" dalam Grundy dan Clutch apabila dia mengemukakan sebut harga (quotation) daripada kedua-dua syarikat tersebut beberapa kali bagi sebilangan acara 'paintball' dan esukan yang berbeza.

Isterinya dipercayai sengaja membantunya menipu SCDF dengan memuat naik invois dari perniagaan-perniagaan tersebut ke portal Perniagaan Elektronik Pemerintah supaya syarikat-syarikat itu menerima bayaran untuk menganjurkan acara-acara berkenaan.

Nuraifa juga dituduh membantu suaminya pada 21 Mac 2022 untuk menipu kedua-dua SCDF dan MHA sebanyak kira-kira S$27,000 dengan menubuhkan Clutch dan bersetuju untuk menjadi pengarahnya.

Perkara tersebut dipercayai dilakukan bagi menyembunyikan kepentingan peribadi Zahid dalam syarikat itu apabila beliau mengemukakan sebut harga.

"Ini dilakukan untuk mendorong SCDF dan MHA meluluskan sebut harga Clutch dalam beberapa kesempatan berbeza," menurut CPIB.

KESALAHAN MENIPU TERHADAP MHA

Zahid juga dikatakan menipu MHA sebanyak S$80,000 dengan menyembunyikan secara tidak jujur kepentingannya dalam syarikat-syarikat tersebut antara 2018 dan 2023, apabila beliau menyerahkan sebut harga untuk acara-acara.

Beliau juga dituduh cuba menipu MHA sebanyak S$37,000 pada Disember 2023 dengan menyembunyikan secara tidak jujur kepentingan peribadinya dalam Clutch apabila dia menyerahkan sebut harga untuk acara esukan.

Nuraifa juga dipercayai sengaja membantu Zahid pada 20 Ogos 2021 dan 30 November 2022, untuk menipu MHA sebanyak S$33,400 dengan menandatangani sebagai pengarah program Grundy dalam dokumen Undangan untuk Sebut Harga (ITQ) bagi dua acara esukan.

Ini dilakukan untuk menyembunyikan kepentingan peribadi suaminya dalam syarikat tersebut semasa proses kelulusan dan mendorong MHA untuk meluluskan sebut harga kedua-dua syarikat pada dua kesempatan yang berasingan, menurut CPIB.

Pasangan tersebut menyatakan di mahkamah bahawa mereka akan mengaku bersalah dan tidak akan mendapatkan khidmat peguam.

Satu tarikh sudah pun ditetapkan untuk mereka mengaku bersalah pada bulan November.

Jika sabit kesalahan menipu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

CPIB menambah bahawa pihaknya menyiasat semua aduan dan laporan berkaitan rasuah, termasuk yang tanpa sebarang nama.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita