Pegawai rumah kebajikan didenda S$8,000 kerana menyiku, tendang kanak-kanak 10 tahun
Seorang pegawai rumah kebajikan didenda S$8,000 pada Isnin (31 Ogos) kerana mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Lelaki warga Singapura berusia 43 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan mendera kanak-kanak di bawah jagaannya. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
- Seorang pegawai rumah kebajikan di Singapura didenda S$8,000 kerana mendera kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di bawah jagaannya.
- Kejadian berlaku pada 11 Ogos 2025 di dewan solat rumah kebajikan, selepas mangsa memanjat tembok dan pegawai bertindak agresif.
- Pegawai tersebut menyiku, menendang dan menolak mangsa sehingga terjatuh, dan tindakan itu dirakam CCTV serta dilaporkan kepada polis oleh doktor.
- Mahkamah menegaskan pegawai menyalahgunakan kuasa, namun mengambil kira tiada sejarah penderaan sebelum ini; beliau kini tidak lagi berurusan langsung dengan penghuni rumah kebajikan.
Lelaki warga Singapura berusia 43 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan mendera kanak-kanak di bawah jagaannya.
Mahkamah mengenakan perintah larangan penerbitan bagi melindungi identiti mangsa. Oleh itu, tertuduh, rumah kebajikan tersebut dan mangsa tidak boleh dinamakan.
Tertuduh bekerja sebagai pegawai kebajikan di rumah tersebut sejak 2018 dan ditugaskan mengawasi para penghuninya. Dia juga seorang pengamal silat.
KEJADIAN DI DEWAN SOLAT
Mangsa sudah tinggal di rumah kebajikan itu selama kira-kira setengah tahun apabila seorang wanita ternampaknya memanjat tembok penghadang di tingkat dua pada Isnin (11 Ogos 2025).
Wanita itu kemudian mengadu mengenai perbuatan tersebut kepada tertuduh.
Mangsa selepas itu pergi ke dewan solat di tingkat satu, tempat tertuduh memarahinya. Kira-kira 16 penghuni lain sedang menunggu untuk menunaikan solat di dewan tersebut.
Ketika berada dalam satu barisan di belakang penghuni lain, tertuduh menyangka budak itu tersenyum sinis terhadapnya.
Dia menghamburkan kata-kata kesat dalam dialek Hokkien dan mencabar budak itu supaya meludah ke arahnya. Dia turut berkata “kamera” tidak berfungsi, yang bermakna dia boleh memukul mangsa tanpa diketahui.
Tertuduh kemudian memusingkan bahagian atas tubuhnya lalu menyiku muka mangsa, menyebabkan budak itu terhuyung-hayang ke kanan.
Budak itu berdiri diam selepas kejadian tersebut, namun tertuduh menendang dan menolak dadanya sehingga dia terjatuh ke belakang lalu menghempas belakang badan dan punggungnya ke lantai.
Para penghuni lain terdengar bunyi hentakan itu lalu menoleh. Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa menyertai penghuni lain untuk menunaikan solat.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Mangsa mendapatkan rawatan kerana mengalami kesakitan apabila disentuh dan dibenarkan pulang pada hari yang sama. Doktor yang merawatnya membuat laporan polis.
PENDAKWA MOHON DENDA TINGGI
Pihak pendakwaan memohon denda antara S$6,000 hingga S$8,000 kerana mangsa ialah kanak-kanak terdedah yang diamanahkan kepada jagaan tertuduh.
Peguam bela Rajan Supramaniam daripada Regent Law pula memohon denda lebih rendah.
Beliau berkata anak guamnya merupakan “pegawai yang baik” sepanjang bertugas di rumah kebajikan tersebut dan kejadian itu hanya berlaku sekali.
Pihak pembelaan turut memaklumkan bahawa tertuduh masih bekerja di rumah berkenaan, tetapi tidak lagi berurusan secara langsung dengan para penghuninya.
Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan berkata faktor-faktor yang memberatkan kesalahan itu jelas kerana tertuduh menyalahgunakan kedudukannya, mengkhianati tanggungjawabnya dan bertindak dengan perancangan awal.
Namun, Hakim Tan mengambil kira bahawa pihak rumah kebajikan masih menghargai khidmat tertuduh. Tiada juga bukti bahawa dia mempunyai sejarah melakukan penderaan.
Hakim Tan menegaskan bahawa S$8,000 merupakan denda maksimum yang boleh dikenakan. Tertuduh juga diberikan amaran bahawa dia berkemungkinan dipenjara sekiranya mengulangi kesalahan tersebut.
Bagi kesalahan mendera kanak-kanak di bawah jagaannya, tertuduh boleh dipenjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.