Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis trafik dipenjara 7 bulan kerana pecut semasa bertugas hingga sebabkan kematian pejalan kaki

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis trafik dipenjara 7 bulan kerana pecut semasa bertugas hingga sebabkan kematian pejalan kaki

Pegawai polis trafik Muhammad Firdaus Yusoff tiba di Mahkamah Negara pada 9 Sep 2024. (Gambar: Syamil Sapari/CNA)

SINGAPURA: Seorang pegawai polis trafik, yang menyebabkan kematian seorang pejalan kaki berusia 58 tahun semasa menunggang motosikalnya pada kelajuan 108km sejam, dijatuhi hukuman penjara pada Isnin (9 Sep).

Muhammad Firdaus Yusoff, seorang rakyat Singapura berusia 32 tahun, dipenjara tujuh bulan dan dilarang mendapatkan sebarang lesen memandu selama lapan tahun.

Dia mengaku bersalah minggu lalu atas satu tuduhan menaiki motosikal tanpa pertimbangan yang munasabah bagi pengguna jalan raya lain, dengan menunggangnya pada kelajuan melebihi seganda had kelajuan 50km sejam. Dia sedang dalam perjalanan untuk menangani satu kemalangan jalan raya sewaktu berlakunya insiden berkenaan.
Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya telah mencadangkan agar siasatan dijalankan ke atas Firdaus, yang memegang pangkat SGT(3), dan menggantungnya daripada tugas barisan hadapan.

Dalam satu kemas kini yang dikeluarkan pada Isnin, SPF menegaskan bahawa para pegawai harus mengambil sikap waspada terhadap keselamatan awam semasa menjalankan tugas mereka.

"Dengan kesimpulan kes tersebut di mahkamah, SPF akan memulakan tindakan tatatertib dalaman terhadapnya," tambah pihaknya.

KES TERSEBUT

Mahkamah diberitahu bahawa Firdaus menyertai polis trafik pada 2020.

Pada 21 Jun 2023, dia mula bekerja pada syifnya pada kira-kira 1.00 petang dan memeriksa motosikalnya untuk memastikan ia teratur dan tidak mempunyai sebarang masalah.

Pada kira-kira 5.30 petang, dia sedang dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat trafik polis di Ubi apabila dia dikerahkan untuk menangani satu nahas, yang melibatkan sebuah motosikal yang tergelincir dan memerlukan bantuan ambulans.

Firdaus tahu bahawa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telahpun dikerahkan ke lokasi kejadian di Buangkok Drive dan Hougang Avenue 6, tetapi tidak pasti tahap keterukan kecederaan yang dialami ataupun sama ada terdapat korban jiwa menyusuli kemalangan itu.

Kes berkenaan tidak diklasifikasikan sebagai kecemasan.

Sebagai pegawai polis pertama yang dikerahkan ke tempat kejadian itu, peranan Firdaus adalah untuk menentukan sifat kemalangan tersebut dan sama ada sebarang sumber polis selanjutnya diperlukan.

Dia juga dikehendaki mengawal lalu lintas dan memberikan pertolongan cemas jika dia tiba sebelum paramedik.

Walau bagaimanapun, dia juga tahu bahawa dia tidak sepatutnya menunggang pada kelajuan melebihi had ketika memberi respons terhadap insiden sedemikian.

Semasa dalam perjalanan ke lokasi kemalangan berkenaan, Firdaus menunggang di lorong 1 jalan tiga lorong di sepanjang Hougang Avenue 3, berhampiran persimpangan Jalan Kim Chuan.

Mangsa terbabit, seorang lelaki berusia 58 tahun, sedang melintas jalan dari kiri ke kanan Firdaus.

Firdaus sedar mangsa itu tidak menyedari lampu kelip dan siren dari motosikalnya lalu menekan brek dengan mendadak, sambil membunyikan honnya.

Dia cuba membelok ke kanan untuk mengelak mangsa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian tepat pada masanya.

Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke bahagian rumput pembahagi jalan.

Firdaus pula tercampak dari motosikalnya, yang terbalik dan jatuh ke sisinya.

Mangsa terbabit dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia pada hari yang sama akibat beberapa kecederaan yang dialami akibat pertembungan tersebut.

Atas kesalahan menunggang tanpa pertimbangan sewajarnya, menyebabkan kematian, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan