Skip to main content

Singapura

Pegawai polis trafik didakwa pandu secara berbahaya sebabkan kematian pejalan kaki dekat Tai Seng

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis trafik didakwa pandu secara berbahaya sebabkan kematian pejalan kaki dekat Tai Seng

Persimpangan Hougang Avenue 3 dengan Kim Chuan Drive. (Tangkapan skrin: Google Street View)

SINGAPURA: Seorang pegawai polis trafik pada Selasa (25 Jun) didakwa atas kesalahan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kematian seorang pejalan kaki yang sedang melintasi jalan raya di kawasan Tai Seng tahun lalu.

Muhammad Firdaus Yusoff, 32 tahun, sedang bertugas semasa dia menaiki sebuah motosikal polis trafik pada kelajuan yang berbahaya antara 94.3km sejam dengan 111 km sejam berdekatan persimpangan Hougang Avenue 3 dengan Kim Chuan Drive kira-kira pukul 4.30 petang pada 21 Jun 2023.

Had kelajuan yang ditetapkan di kawasan tersebut adalah 50 km sejam.

Oleh sebab itu, dia dipercayai tidak dapat bertindak tepat pada masanya apabila seorang pejalan kaki berusia 58 tahun, Encik Tan Leng Hing, melintasi jalan raya itu pada sebelah kiri Firdaus.

Firdaus merempuh Encik Tan, sekali gus mengakibatkan mangsa mengalami beberapa kecederaan yang menyebabkan kematiannya, menurut kertas pertuduhan.

Firdaus tidak menyatakan niat untuk mengemukakan sebarang rayuan pada Selasa.

Perbicaraan kes tersebut ditangguhkan ke Ogos.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata insiden berkenaan berlaku ketika Firdaus, yang berpangkat SGT(3), melakukan tugas rondaan.

Menurut SPF, pihaknya "dengan pantas memulakan siasatan ke atasnya dan menggantung tugas barisan hadapannya".

"Pegawai SPF diharap dapat bersikap waspada demi keselamatan orang awam semasa melakukan tugas mereka," jelas jurucakap itu.

Tambahnya, pihak SPF tidak dapat mengulas lanjut memandangkan kes tersebut masih dibicarakan di mahkamah.

Jika sabit kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Firdaus boleh dipenjara antara dua hingga empat tahun.

Dia juga boleh diharamkan daripada memandu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita