Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis tambahan ditangkap tidak pulangkan pistol selepas bertugas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 May 2024 06:36PM Dikemas Kini : 11 May 2024 12:46AM
SINGAPURA: Seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan ke Lapangan Terbang Changi ditangkap awal Jumaat (10 Mei) kerana gagal memulangkan pistol selepas selesai bertugas.

Lelaki berusia 27 tahun itu juga tidak memulangkan peluru dan belantan ke tempat menyimpan senjata.

Polis dimaklumkan oleh syarikat keselamatan Certis sekitar pukul 9.50 petang Khamis (9 Mei). Mediacorp difahamkan bahawa lelaki itu adalah rakyat Singapura.

Apabila polis tiba, lelaki itu sudahpun meninggalkan tempat kerja bersama pistol tersebut, peluru 10 pusingan dan belantan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Polis menambah, pihaknya menggunakan gambar dan rakaman dari CCTV untuk mengenal pasti lokasi lelaki berkenaan.

Lebih 100 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Jabatan Perisikan Polis, Divisyen Tengah Polis, Divisyen Bedok Polis, Divisyen Lapangan Terbang Polis dan Markas Operasi Khas memberi respons kepada insiden tersebut.

Lelaki berkenaan ditangkap dua jam setengah kemudian di sebuah pusat beli-belah di Victoria Street. Barangan yng tidak dipulangkan itu dijumpai di dalam begnya.

Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu sudah melaporkan diri di tempat kerja dan mengambil pistol sebelum dikerahkan ke Lapangan Terbang Changi.

Usai bertugas, dia menukar pakaian dan meninggalkan tempat kerja dengan pistol tersebut, peluru dan belantan tanpa kebenaran, menurut polis.

Barangan itu dijumpai ada dengan lelaki berkenaan dan pistol tersebut tidak digunakan terhdap sesiapa pun semasa insiden itu, menurut polis.
Dalam kenyataan medianya pada Jumaat, jurucakap Certis menyatakan pegawai berkenaan gagal memulangkan senjata api selepas selesai bertugas.

Perkara itu dikesan oleh sistem pengurusan senjata automatik Certis dan polis segera dimaklumkan.

"Certis sudah memastikan sistem dan proses ketat untuk mengesan dan menangani insiden sedemikian tepat pada waktunya, termasuk sistem amaran yang memaklumkan apabila senjata api tidak dipulangkan selepas bertugas.

"Sedang siasatan dijalankan, pegawai berkenaan digantung tugas. Certis akan terus memberikan bantuan penuh kepada polis dalam siasatannya.

"Keselamatan awam adalah keutamaan kami. Certis tidak bertolak ansur sama sekali terhadap salah guna senjata api dan kami mengharapkan pematuhan sepenuhnya daripada para pegawai kami kepada protokol ketat berkait senjata dan peralatan terkawal," tambah jurucakap itu.

Lelaki berkenaan akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (11 Mei) atas kesalahan membawa senjata api secara haram.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara lima dengan 14 tahun, dan sekurang-kurangnya enam sebatan rotan.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan