Pegawai polis khas 13 negara berhimpun di S'pura bincang usaha banteras pengganasan
Para pegawai polis khas dari 13 negara termasuk Belgium, Perancis dan Amerika Syarikat berhimpun di Singapura untuk berkongsi maklumat tentang usaha membanteras pengganasan.
SINGAPURA: Para pegawai polis khas dari 13 negara termasuk Belgium, Perancis dan Amerika Syarikat berhimpun di Singapura untuk berkongsi maklumat tentang usaha membanteras pengganasan.
Selama tiga hari bermula Rabu (28 Nov), mereka akan berkongsi amalan-amalan terbaik dan memerhatikan langkah-langkah antipengganasan masing-masing di Persidangan Polis Khas yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).
Dalam ulasannya, salah seorang peserta, iaitu Ketua Unit Risikan Polis Federal Belgium, Jean Pierre Devos berkata beliau mendapat manfaat menyaksikan bagaimana SPF berlatih dan apa kemudahan-kemudahan yang ada.
Beliau juga memikirkan apa yang mungkin boleh beliau ambil iktibar dan mungkin laksanakan di Belgium sendiri demi meningkatkan kemahiran pasukannya.
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin yang merasmikan persidangan tersebut berkata negara-negara perlu bersatu dan berkongsi maklumat risik untuk menangani ancaman pengganasan masa kini yang kerap berubah-ubah.
Mengulas di laman Facebooknya, Encik Amrin berkata respons keselamatan juga perlu sentiasa berubah sejajar dengan ancaman pengganasan.
"Sekarang ini (pengganas) tembah, membunuh sebanyak mungkin, secepat mungkin. Oleh itu respons kita juga perlu berubah," tulis Encik Amrin.
Tambah beliau lagi, para pegawai Singapura kini bekerjasama lebih erat dengan agensi penguat kuasa serata dunia dalam berkongsi maklumat risikan dan mempertingkatkan kebolehan, dalam satu usaha yang beliau sifatkan "perlu dimenangi dengan kerjasama".
SPF pula menyatakan terdapat peluang bagi lebih banyak bekerjasama selepas persidangan ini.
"Para pasukan khas boleh berhimpun untuk berlatih. Di Singapura kita mempunyai Pusat Taktikal Home Team, di mana kita boleh tawarkan sebagai tempat latihan. Dalam pada itu juga, kita juga boleh menghantar pasukan kami di luar negara untuk menjalani latihan. Kita juga boleh bekerjasama dalam projek-projek pembangunan," kata Timbalan Pengarah jabatan operasi SPF, Penolong Pesuruhjaya Arthur Law.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.