Skip to main content

Singapura

Pegawai polis kendali kes Megan Khung 'di bawah tekanan' dan 'tidak patuh SOP': Goh Pei Ming

Kelemahan dalam kes penderaan hingga menyebabkan kematian kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung berlaku disebabkan oleh dua pegawai polis yang "berada di bawah tekanan" dan tidak mematuhi "prosedur operasi yang ditetapkan", kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming pada Rabu (5 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Nov 2025 02:23PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 09:43PM
SINGAPURA: Kelemahan dalam kes penderaan hingga menyebabkan kematian kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung berlaku disebabkan oleh dua pegawai polis yang "berada di bawah tekanan" dan tidak mematuhi "prosedur operasi yang ditetapkan", kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming pada Rabu (5 Nov).

Semasa berucap di Parlimen, Encik Goh berkata "ketidakpatuhan serius itu" menyebabkan "kejadian tragik" tersebut.

"Para pegawai polis barisan hadapan kita memikul tanggungjawab yang berat untuk melindungi... nyawa. Mereka melaksanakan tanggungjawab itu dengan serius, dan menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan profesionalisme," katanya.

"Tuntutan terhadap pegawai polis kita semakin meningkat. Mereka sering perlu membuat keputusan sukar setiap hari ketika menjalankan tugas. Apabila berada di bawah tekanan, kesilapan boleh berlaku."

Polis akan mengambil iktibar daripada kejadian itu dan mengukuhkan semula prosedur serta latihan bagi pegawai mereka, kata Encik Goh.

Encik Goh yang juga Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, menjawab beberapa soalan daripada Anggota Parlimen yang bertanya tentang cara polis mengendalikan kes-kes seumpamanya dan apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik di masa depan.

Kedua-dua pegawai polis disiasat atas kesalahan tatatertib kerana cuai semasa menjalankan tugas dan sudah pun dikenakan tindakan disiplin dalaman.

Pegawai penyiasat (IO) itu sudah pun meletak jawatan dan pegawai yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tatatertib, didapati bersalah, dan didenda.

Pegawai yang bertanggungjawab itu masih berkhidmat dalam SPF.

Megan meninggal dunia pada Februari 2020.

Beliau didera selama berbulan-bulan oleh ibu kandungnya Foo Li Ping dan teman lelakinya pada ketika itu, Brian Wong, sebelum Wong menumbuk mangsa sehingga kanak-kanak itu mati.

Foo dihukum penjara selama 19 tahun kerana mendera anaknya dan bantu untuk membakar mayat anaknya.

Wong dipenjara selama 30 tahun dan dikenakan 17 kali sebatan atas peranannya dalam menyebabkan kematian Megan, beserta beberapa kesalahan dadah.

Encik Goh berkata dua pusingan aduan polis dibuat, dengan yang pertama dibuat pada Januari 2020 oleh nenek Megan.

Aduan polis selanjutnya dibuat pada Julai 2020 oleh nenek dan bapa kandung Megan.

Beliau menambah bahawa IO yang mengendalikan aduan polis yang pertama dan penyelianya gagal mematuhi prosedur polis untuk mengetengahkan kes itu di sesi semakan kes berkala bagi pemantauan dan bimbingan.

"IO itu menilai kes itu sebagai isu disiplin kanak-kanak dengan keprihatinan keselamatan yang rendah berdasarkan maklumat yang diberikan pada ketika itu," kata Encik Goh.

"Menyusuli aduan itu, IO cuba menghubungi ibu Megan sepanjang tempoh dua minggu selepas itu, tetapi tidak berjaya menghubunginya.

"Beliau tidak mengambil tindakan susulan kerana beliau dikerahkan bagi tugas berkaitan COVID-19."

Sungguhpun demikian, kes itu biasanya akan diikuti perkembangannya jika IO dan penyelianya mengetengahkan kes itu di sesi semakan kes berkala, kata Encik Goh.

"Aduan polis selanjutnya berhubung Megan diketengahkan di sesi semakan kes berkala. Ini akhirnya membawa kepada penemuan berhubung Megan dan pemberkasan para pelaku," katanya.

BAGAIMANA POLIS TANGANI KES KEGANASAN KELUARGA

Pada bulan lalu, satu laporan yang menyiasat kematian Megan menemui beberapa kelemahan dan kekurangan dalam kalangan agensi-agensi yang mengendalikan kes beliau.

Beberapa kelemahan utama yang dikenal pasti dalam laporan itu termasuk pegawai yang tidak mengikuti protokol, salah tafsir terhadap kecederaan Megan oleh para pekerja sosial serta kegagalan pegawai polis dan pakar perlindungan kanak-kanak untuk mengambil tindakan susulan terhadap kes Megan selepas maklumat diserahkan kepada mereka.

Terdapat juga "kurang pemahaman dan komunikasi jelas antara agensi-agensi" yang terlibat dalam kes Megan, menurut laporan itu.

Encik Goh berkata polis sudah pun memperkenalkan beberapa penambahbaikan, seperti pengenalan Pakej Latihan Keganasan Keluarga bagi semua pegawai penyiasat dan barisan hadapan.

Ini bagi memastikan mereka mengambil "pendekatan lebih peka" terhadap kes-kes keganasan keluarga termasuk kes penderaan kanak-kanak dan mengenal pasti kes berisiko tinggi untuk dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), katanya.

Pada 2023, polis juga membentuk Pasukan Keganasan Keluarga (FVT) di semua divisyen darat untuk "memberi tumpuan" kepada kes-kes keganasan keluarga, kata Encik Goh.

Para pegawai FVT diberikan latihan khas yang bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi mengendalikan kes-kes tersebut.

Apabila polis mengesan kes disyaki penderaan kanak-kanak, atau apabila MSF menerima laporan mendesak mengenai kes-kes berisiko tinggi, para pegawai polis akan bekerjasama dengan khidmat perlindungan MSF untuk melaksanakan perancangan keselamatan dan intervensi sosial bagi keluarga dan kanak-kanak itu.

Ini termasuk pengaktifan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keganasan Rumah Tangga MSF yang beroperasi sepanjang masa untuk memberi bantuan segera kepada kes-kes keganasan keluarga yang berisiko tinggi dengan keprihatinan keselamatan segera.

Polis juga "memanfaatkan teknologi" dalam proses semakan kesnya, kata Encik Goh, dan melaksanakan huraian yang akan menghantar makluman secara automatik kepada IO dan penyelianya supaya menyelesaikan tugasan sensitif dari segi masa dengan segera.

Dalam ucapannya, Encik Goh turut membentangkan prosedur polis bagi membimbing langkah selanjutnya dalam mengendalikan laporan orang hilang.

Beliau berkata keutamaan diberikan kepada kes orang hilang dalam golongan mereka yang mudah terdedah kepada bahaya kerana mereka mungkin berisiko tinggi, tidak kira tempoh mereka dilaporkan hilang.

Kes sedemikian akan diketengahkan di sesi semakan kes berkala dengan para penyelia bagi pemantauan dan bimbingan, dan ia adalah "prosedur standard" bagi pegawai polis untuk bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah yang lain bagi menjejaki individu yang hilang, termasuk mengongsikan data individu tersebut, kata Encik Goh.

Polis tidak menjejak tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan kes, katanya.

Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi tempoh masa siasatan dijalankan, katanya.

Ini termasuk pelbagai kesalahan dengan "tahap kerumitan yang berbeza-beza" serta keperluan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

"Terdapat kawalan dalaman bagi memastikan setiap kes diikuti perkembangannya dengan segera. Ini termasuk proses semakan kes harian bagi para penyelia memberi bimbingan kepada kes dan beberapa peringkat penyeliaan dan pemeriksaan berkala sepanjang siasatan dijalankan," kata Encik Goh.

"Namun polis masih terus mengukuhkan proses dan sistem ini."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita