Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis ditemui mati di 1 Bayfront Avenue dipercayai lepaskan 3 tembakan

Pegawai polis itu dipercayai melepaskan dua tembakan ke udara sebelum melepaskan tembakan ketiga di bahagian kanan kepalanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis ditemui mati di 1 Bayfront Avenue dipercayai lepaskan 3 tembakan

Gambar hiasan MBS boardwalk di 1 Bayfront Ave. (Gambar: Google Street View)

SINGAPURA: Pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF), yang ditemui dengan kesan tembakan di 1 Bayfront Avenue dan kemudian disahkan meninggal dunia, dipercayai melepaskan tiga das tembakan. Demikian menurut polis pada malam Isnin (19 Sep).

"Pegawai itu melaporkan diri ke kerja pada pagi 19 September 2022 dan mengambil pistol khidmatnya dari gedung senjata," dedah polis dalam kenyataan medianya sambil menambah bahawa pegawai itu kemudian pergi ke laluan tepi pantai di 1 Bayfront Avenue, di mana terletaknya Marina Bay Sands.

Menurut polis, pihaknya dimaklumkan mengenai tiga das tembakan yang didengar di kawasan tersebut pada 9.44 pagi.

"Pegawai itu kemudian ditemui dengan kesan tembakan di kepalanya. Dia dipercayai melepaskan dua tembakan ke udara sebelum melepaskan tembakan ketiga di bahagian kanan kepalanya," menurut polis.

Pegawai berusia 29 tahun itu berada dalam keadaan tidak sedar apabila dikejarkan ke hospital, di mana beliau kemudian disahkan meninggal dunia.

Tiada orang lain yang dilaporkan cedera, jelas polis, sambil menambah pistol khidmat itu dijumpai di tempat kejadian.

Kes berkenaan disifatkan sebagai kematian luar biasa dan siasatan masih dijalankan.

Setakat ini, polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Pegawai tersebut menyertai pasukan polis pada September 2014 dan berkhidmat bersama Divisyen Polis Tengah.

"Berdasarkan pemeriksaan awal juga, dia tidak meminta bantuan daripada unit, para penyelia mahupun kaunselornya," menurut polis.

Polis menyatakan para penyelia SPF dilatih untuk mengenal pasti para pegawai yang berada dalam keadaan tertekan dan akan merujuk mereka untuk mendapatkan sokongan psikologi.

"Para pegawai SPF menjalani latihan oleh Jabatan Perkhidmatan Psikologi Polis (PPSD) tentang bagaimana untuk mengenal pasti kemungkinan tanda-tanda dan simptom-simptom tertekan serta mempelajari kemahiran asas menanganinya," jelas polis.

Pihaknya menambah para pegawai juga dimaklumkan tentang sumber yang boleh diakses sekiranya mereka memerlukan bantuan bagi menangani tekanan yang dialami, termasuk sumber dalaman dan sumber luar.

Para pegawai juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling secara bersemuka dengan ahli psikologi SPF atau para penyedia khidmat kaunseling di luar, tambah polis lanjut.

Polis juga merayu orang ramai supaya mengelak daripada menyebarkan video atau gambar mayat pegawai itu demi menghormati keluarganya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan