Skip to main content

Singapura

Pegawai polis dipenjara, dilarang memandu setelah langgar mati wanita 84 tahun

Seorang pegawai penyiasat Pasukan Polis Singapura (SPF) gagal memerhati keadaan jalan raya dengan sewajarnya ketika memandu dan melanggar seorang pejalan kaki berusia 84 tahun lalu, sekali gus menyebabkannya maut.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis dipenjara, dilarang memandu setelah langgar mati wanita 84 tahun

(Petikan skrin: Google Street View)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 12:40PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 12:50PM

SINGAPURA: Seorang pegawai penyiasat Pasukan Polis Singapura (SPF) gagal memerhati keadaan jalan raya dengan sewajarnya ketika memandu dan melanggar seorang pejalan kaki berusia 84 tahun lalu, sekali gus menyebabkannya maut.

Norazlan Abdul Aziz, 44 tahun, dijatuhkan hukuman penjara dua minggu dan dilarang memandu selama lima tahun pada Jumaat (22 Okt).

Dia mengaku bersalah atas satu dakwaan melakukan perbuatan cuai yang tidak setara kesalahan membunuh, dengan gagal berhenti di garis putih tunggal di simpang tanpa isyarat di Choa Chu Kang Avenue 1.

Mahkamah diberitahu bahawa Norazlan sedang memandu keretanya keluar dari tempat letak kereta bertingkat di Blok 808, Choa Chu Kang Avenue 1 sekitar 4.20 petang pada 21 Sep 2017.

Dia kemudian memandu di jalan dua arah dekat Blok 807D, Choa Chu Kang Avenue 1, menuju ke jalan utama di Choa Chu Kang Avenue 1.

Mangsa, seorang wanita berusia 84 tahun, sedang berjalan di laluan pejalan kaki antara jalan raya kecil dan jalan raya utama.

Wanita itu mula melintas jalan yang menghubungkan jalan raya kecil di blok HDB dan jalan raya utama di Choa Chu Kang Avenue 1, dan berkemungkinan boleh dilihat oleh Norazlan.

Bagaimanapun, Norazlan tidak berjaga-jaga, lantas tidak perasaan ada wanita itu. Terdapat garis berhenti di laluan keluar, namun dia tidak berhenti atau perlahankan kenderaannya. Dia lalu membelok ke kiri dan tidak perasan mangsa, yang sudah mula melintas jalan dari sebelah kirinya.

Bahagian depan kereta Norazlan melanggar wanita itu, menyebabkan mangsa terjatuh di depan kenderaan.

SAKSI CUBA BERI AMARAN

Seorang saksi di sebuah tajaka berdekatan mendengar "dentuman" yang kuat dan menoleh lalu melihat mangsa terbaring di jalan raya. Lelaki itu berlari ke arah kereta dan berteriak pada Norazlan untuk memberi amaran kepadanya, namun gagal.

Norazlan memberhentikan keretanya buat seketika sebelum terus memandu ke hadapan lagi, sekali gus menggilis wanita itu - disaksikan oleh lelaki tadi.

Ketika itu, Norazlan memandu pada kelajuan 10km/j hingga 13km/j.

Wanita itu dibawa ke hospital dengan luka melecet pada sebahagian besar kulit kepalanya dan cedera teruk pada wajah dan kepala. Beliau disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Peguam bela Norazlan berkata anak guamnya sangat menyesali kematian mangsa, dan kejadian itu "terus menghantuinya dan sangat membebani hati nuraninya".

Sejurus selepas kemalangan itu, dia hentikan kenderaan dan melakukan sedaya upaya untuk membantu mangsa, dengan menelefon ambulans dan bekerjasama dengan siasatan polis.

Pihak pembelaan mengetengahkan rekod cemerlang Norazlan sebagai pegawai polis - dia menganggotai SPF pada 1999 sebagai korporal dan kemudian menjadi inspektor balai. Dia merupakan seorang pegawai penyiasat di Divisyen Polis Jurong selama 10 tahun lalu, dan menerima anugerah menteri serta pengiktirafan lain, kata peguam itu.

Atas tindakan cuai yang tidak setara dengan membunuh, Norazlan boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita