Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis dijel guna nama saudara bagi mohon pinjaman, bayar bil hospital isteri

Seorang pegawai polis yang berdepan dengan masalah kewangan setelah isterinya menjalani pembedahan Caesarean kecemasan menggunakan nama saudara lelakinya dan memalsukan dokumen-dokumen bank untuk mendapatkan kad kredit dan pinjaman wang.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis dijel guna nama saudara bagi mohon pinjaman, bayar bil hospital isteri

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 23 Nov 2021 08:46PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 08:54PM

SINGAPURA: Seorang pegawai polis yang berdepan dengan masalah kewangan setelah isterinya menjalani pembedahan Caesarean kecemasan menggunakan nama saudara lelakinya dan memalsukan dokumen-dokumen bank untuk mendapatkan kad kredit dan pinjaman wang.

Muhammad Aqib Mohammad Akhtar, 31 tahun, hari ini (23 Nov) dijatuhi hukuman penjara 20 minggu. Dia mengaku bersalah ke atas satu tuduhan pemalsuan dan satu tuduhan menghalang proses keadilan. Empat tuduhan lain diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Aqib bekerja sebagai seorang pegawai Pasukan Polis Singapura selama sembilan tahun apabila dia mula dibelenggu masalah kewangan pada Februari 2020.

Tertuduh menanggung bil hospital sebanyak S$16,000 kerana isterinya perlu menjalani pembedahan Caesarean kecemasan untuk melahirkan anak mereka. Isterinya juga di bawah skim pembayaran hutang pada masa itu dan perlu membayar S$1,000 setiap bulan.

Aqib membayar sekitar separuh bil tersebut dengan menggunakan kad kredit. Dia pernah disiasat pada 2016 bagi "tanggungan berat kewangan", iaitu istilah yang digunakan apabila seseorang kakitangan awam merupakan muflis yang belum dilepaskan atau melebihi jumlah tertentu hutang dan liabiliti tanpa cagaran.

Tertuduh mengambil keputusan untuk menggunakan nama saudara lelakinya untuk melunaskan hutang kad kredit kerana dia bimbang tentang perbelanjaannya.

Dia memuat turun sebuah aplikasi mudah alih untuk menyunting dokumen PDF dan memuat turun notis taksirannya bagi tahun 2019. Aqib kemudian menggunakan aplikasi itu untuk menggantikan nama, nombor NRIC dan alamatnya dengan butiran-butiran saudara lelakinya.

Tertuduh kemudian meminta saudara lelaki itu untuk memberikan salinan gambar NRICnya dengan alasan memerlukan gambar itu untuk memohon pekerjaan sebagai penghantar makanan GrabFood. Saudara lelakinya menghantarkan gambar-gambar NRIC yang diminta dan Aqib menghantar permohonan online bagi kad kredit kepada bank OCBC dengan menggunakan butiran saudara lelakinya pada Mei 2020.

Aqib juga memalsukan kenyataan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta slip gaji Singapore Airlines yang didakwa diberikan kepada saudara lelakinya. Dia menggunakan dokumen-dokumen tersebut untuk membuat empat permohonan kad kredit dan pinjaman wang kepada empat bank lain pada bulan itu: UOB, CIMB, Citibank and Standard Chartered.

OCBC mendapati bahawa notis taksiran itu dipalsukan kerana alamat pada dokumen tersebut tidak sama. Tiada bank yang meluluskan permohonan Aqib dan tiada kerugian dialami.

Pihak polis mula menyiasat perkara tersebut setelah OCBC membuat laporan polis.

SAUDARA TERTUDUH DIBERKAS

Para pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil mencari saudara lelaki Aqib semasa melakukan siasatan dan memberkasnya. Apabila Aqib mendengar tentang perkara itu, dia memadamkan dokumen dalam telefon bimbitnya termasuk notis taksiran yang dipalsukan serta bil telefon saudara lelakinya serta sejarah carian CPF.

Aqib disoal siasat polis pada 4 Jun 2020. Telefon bimbitnya dirampas dan dokumen-dokumen yang dipadamkan diperolehi kembali melalui bantuan forensik.

Pihak pendakwa menuntut hukuman penjara selama enam bulan, sambil menekankan bahawa tertuduh memalsukan dokumen yang didakwa dikeluarkan oleh Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS).

Dia juga membabitkan pihak ketiga yang tidak bersalah, iaitu saudara lelakinya sendiri, dalam siasatan polis dengan menggunakan butiran lelaki itu dalam dokumen yang dipalsukan, kata pendakwa raya.

Peguam bela S S Dhillon meminta tempoh hukuman penjara minimum, sambil berkata bahawa anak guamnya sudahpun digantung daripada pasukan polis dan mempunyai tiga orang anak serta seorang isteri.

"Dia berkhidmat untuk SPF dengan cemerlang selama 10 tahun yang lalu dan memegang jawatan sebagai staf sarjan," kata Encik Dhillon.

Beliau berkata Aqib memberi "10 tahun terbaik hidupnya" kepada SPF dan merupakan "seorang lelaki yang bangga memakai pakaian seragamnya".

Encik Dhillon menambah Aqib "tidak pernah berniat untuk melibatkan saudara lelakinya", dan memberitahu pegawai siasatan bahawa "saudara lelaki saya tidak bersalah". Saudara lelakinya itu tidak dikenakan tuduhan.

Hakim, bagaimanapun, menarik perhatian bahawa saudara lelakinya boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang kerana kad-kad kredit itu akan dihantar ke alamatnya.

Ketika Hakim bertanya mengapa Aqib memadamkan dokumen-dokumen dalam telefon bimbitnya, Encik Dhillon berkata ia disebabkan "rasa bersalah".

"Sebagai pegawai polis, dia pasti tahu ia adalah bukti, bukan?" balas tuan hakim.

"Sedikit pun dia tidak sedar bahawa - jika saya memadamkan dokumen ini...saya akan menghalang proses keadilan. Dia tidak tahu perkara itu walaupun sebagai pegawai polis," kata Encik Dhillon.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim maklum bahawa tiada pinjaman atau kad kredit yang diluluskan, namun lima bank terbabit dalam kes itu selain pemberkasan seorang individu yang tidak bersalah.

Hakim membenarkan Aqib menangguhkan hukuman penjaranya kepada Januari supaya dia dapat menduduki beberapa peperiksaan bagi kursus ijazah yang sedang diambilnya.

Bagi kesalahan melakukan perbuatan yang berkemungkinan menghalang proses keadilan, Aqib boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan pemalsuan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/IH/ih

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa