Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis didenda; buat aduan palsu 'basikal dicuri' setelah hilang kunci mangga

Setelah hilang kunci mangga basikalnya, seorang pegawai polis mencari sebuah alat pemotong di dua pusat beli-belah untuk membuka mangga tersebut tetapi tidak berhasil. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis didenda; buat aduan palsu 'basikal dicuri' setelah hilang kunci mangga

Gambar fail sebuah basikal yang dikuncikan dengan mangga. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 21 Oct 2021 08:49PM Dikemas Kini : 21 Oct 2021 08:50PM

SINGAPURA: Setelah hilang kunci mangga basikalnya, seorang pegawai polis mencari sebuah alat pemotong di dua pusat beli-belah untuk membuka mangga tersebut tetapi tidak berhasil.

Apabila rakan-rakannya bergurau bahawa dia boleh menghubungi polis untuk membuat aduan tentang basikal yang dicuri bagi mendapatkan "khidmat percuma" membuka kunci basikalnya, pegawai tersebut benar-benar melakukan demikian.

Aduan palsu itu menyebabkan tiga pegawai polis dikerahkan ke tempat kejadian. Malah, tenaga kerja termasuk seorang pegawai siasatan dari beberapa jabatan polis turut dikerahkan.

Ong Chee Seng, 50 tahun, didenda S$3,000 hari ini (21 Okt). Dia mengaku bersalah ke atas satu tuduhan dengan sengaja memberikan maklumat palsu kepada seorang penjawat awam. Tuduhan serupa kedua dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu Ong adalah seorang pegawai bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) ketika melakukan kesalahan tersebut.

Pada pagi 26 Mei lalu, Ong mengayuh basikal lipatnya ke pusat beli-belah Waterway Point di Punggol untuk membeli makanan tengah hari. Dia mengunci basikalnya di tempat meletak basikal dan menyimpan kunci itu di dalam koceknya.

Bagaimanapun, sekembalinya Ong di tempat meletak basikal itu, dia tidak dapat mencari kuncinya. Ong kemudian mencari kunci mangga basikalnya dengan berjalan ke tempat-tempat yang dilaluinya namun gagal.

Akhirnya, Ong menaiki kereta api pulang dan meninggalkan basikalnya di pusat beli-belah itu. Pada hari yang sama, dia pergi ke pusat beli-belah Compass One di Sengkang sebelum kembali semula ke Waterway Point untuk mencari peralatan bagi membuka mangga basikalnya.

Ong tidak dapat mencari sebarang kedai yang menjual pemotong yang diperlukannya. Dia juga menghampiri kaunter keselamatan di Waterway Point dan meminta untuk meminjam sebuah alat pemotong tetapi permintaannya ditolak kerana pasukan tersebut tidak dapat mengesahkan jika benar basikal tersebut milik Ong.

Pada pukul 3.50 petang hari yang sama, Ong menghantar mesej ke satu kumpulan sembang WhatsApp yang dikongsinya bersama enam peserta lain. Dia bertanya rakannya, Alan, jika dia boleh meminjam sebuah pemotong daripadanya namun Alan tidak mempunyai alat itu.

Seorang lagi rakan mengusik Ong dan secara bergurau mencadangkan agar dia menghubungi polis dan mendakwa dia menjumpai basikalnya dan berpura-pura bahawa ia dicuri sebelum ini.

ONG BENAR-BENAR HUBUNGI POLIS

Pada pukul 5.30 petang hari yang sama, Ong mencari nombor talian Pusat Polis Kejiranan Punggol dan menghubunginya.

Dia memberitahu pegawai polis yang menjawab panggilannya: "Saya jumpa basikal saya di tempat meletak basikal di Waterway Point. Saya perlukan bantuan polis."

Akibatnya, seorang pegawai siasatan ditugaskan untuk mengendalikan kes Ong dengan dua pegawai respons lapangan dikerahkan ke tempat meletak basikal tersebut. Seorang daripada mereka bertanya Ong apa yang berlaku dan Ong memberitahunya salah satu basikal di sana adalah miliknya.

Pegawai tersebut bertanya Ong di mana dia meletakkan basikalnya sebelum itu. Ong secara palsu menunjukkan sebuah lokasi lain yang terletak dalam jarak perjalanan. Dia berbohong bahawa dia meletakkan dan mengunci basikalnya pada selusur tangan sebelum pergi ke pusat beli-belah untuk membeli makanan.

Dia mendakwa apabila dia kembali ke tempat itu, basikalnya sudah hilang. Dia kemudian mendakwa bahawa dia ternampak basikalnya dikunci dengan mangga di tempat lain apabila dia pergi untuk mencarinya pada hari yang sama. Ong berkata semua itu meskipun dia tahu ia adalah palsu.

Pegawai polis itu terus menyoal Ong dengan memintanya ukiran khas atau nombor siri basikalnya tetapi Ong tidak tahu. Dia menunjukkan pegawai itu gambar-gambar basikalnya dan pegawai tersebut memulakan siasatan di tempat kejadian.

Pegawai tersebut mengambil gambar Ong dan Ong bertanya jika perbuatan itu perlu. Pegawai itu menjawab ia adalah bagi tujuan memadankan pakaiannya dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kerana polis akan memeriksa untuk mengesahkan jika basikal itu kepunyaan Ong.

Ong kemudian mengaku tiada sesiapa yang mencuri basikalnya dan bahawa dia hilang kunci mangga basikalnya.

Bagi kesalahan sengaja memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, Ong boleh didenda sehingga S$5,000.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SPF berkata para pegawainya "diharapkan untuk menegakkan undang-undang dan mengekalkan tingkah laku serta integriti pada piawai tertinggi".

"Kami menangani pegawai yang melanggar undang-undang, termasuk mendakwa mereka di mahkamah."

Kesalahan menyediakan maklumat palsu dikenakan terhadap Ong pada hari yang sama dia memfailkan aduan palsu, tambah SPF.

Siasatan kemudian dijalankan dan Ong digantung tugas pada 3 September lalu.

SPF menyatakan ia sudah memulakan "tindakan dalaman" terhadap Ong selepas dia didapati bersalah.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan