Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis didapati tidak tembak sewenang-wenangnya lelaki bersenjatakan pisau di Bendemeer : Koroner

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis didapati tidak tembak sewenang-wenangnya lelaki bersenjatakan pisau di Bendemeer : Koroner

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 04 Nov 2024 07:03PM Dikemas Kini : 04 Nov 2024 07:13PM
SINGAPURA: Seorang pegawai polis yang menembak seorang lelaki bersenjatakan pisau di kawasan perumahan Bendemeer pada 2022 tidak menggunakan pistolnya secara sewenang-wenangnya, menurut koroner pada Isnin (4 Nov) berhubung siasatan terhadap kematian lelaki itu, Ng Eng Kui.

Encik Ng, 64 tahun, meninggal dunia akibat luka tembakan di dada kirinya pada 23 Mac 2022.

Siasatan ke atas kematiannya dijalankan pada Isnin (4 Nov), dengan pegawai penyiasat (IO) Pasukan Polis Singapura (SPF), Timbalan Superintendan (DSP) Desmond Ng memberikan keterangan yang memperincikan laporan siasatan yang dijalankan.

Koroner Kamala Ponnampalam kemudian menyampaikan dapatan ringkas mengenai kes itu, memutuskan kematian Encik Ng sebagai satu kejadian yang malang. Koroner mendapati bahawa pegawai polis itu tidak salah menggunakan pistolnya semasa berdepan dengan Encik Ng pada 23 Mac, dan bagaimana Encik Ng meluru ke arah para pegawai sambil mengacukan pisaunya.

IDENTITI PEGAWAI POLIS TIDAK BOLEH DIDEDAHKAN ATAS ARAHAN MAHKAMAH

Pada permulaan perbicaraan, timbalan peguam kanan Sruthi Boppana memohon perintah mahkamah untuk melindungi identiti pegawai polis yang terlibat dalam kes itu.

Cik Boppana berkata permohonan itu dibuat atas dasar bahawa pegawai itu masih berkhidmat dalam Pasukan Polis Singapura (SPF), dan terdapat kebimbangan bahawa mereka mungkin akan diganggu jika identiti mereka dikenal pasti, dan kerja mereka akan terjejas.

Koroner Ponnampalam kemudian bertanya sama ada terdapat insiden yang menimbulkan kebimbangan, atau jika perintah serupa telah dibuat oleh mahkamah lain.

Cik Boppana menjawab bahawa tidak ada kejadian seperti itu kerana identiti pegawai polis masih tidak dilaporkan. Beliau menambah bahawa arahan sama telah diberikan oleh mahkamah lain berhubung dengan pegawai Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang pernah menjadi saksi bagi kes lain.

Koroner akur bahawa mungkin terdapat "beberapa risiko" terhadap pegawai polis berikutan maklum balas terhadap kes tersebut dan dengan itu telah mengeluarkan arahan bagi melarang butiran yang boleh membawa kepada identiti pegawai polis berkenaan didedahkan.

MANGSA MEMPUNYAI SEJARAH PENYALAHGUNAAN DADAH

Encik Ng telah disiasat atas kesalahan-kesalahan termasuk pengambilan dan pemilikan dadah dalam tempoh sebelum kematiannya, menurut mahkamah.

Pada 8 Sep 2021, Encik Ng telah diberkas kerana membuang barang dari flatnya. Dadah turut ditemui semasa para pegawai menggeledah kediamannya dan kesnya dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk disiasat.

Semasa disiasat, Encik Ng melarikan diri. Dia tidak ditangkap walaupun warta polis sudah dikeluarkan.

Menurut DSP Ng, Encik Ng diketahui menyalahgunakan dadah, dan telah diuji positif menggunakan dadah, termasuk methamphetamine, semasa beberapa lawatan ke hospital pada 2021.

Pada 23 Mac 2022, beberapa orang awam telah memaklumkan kepada polis tentang tingkah laku Encik Ng selepas melihatnya melaungkan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien dan mengacukan pisau di kawasan berhampiran, termasuk di tempat letak kereta terbuka berhampiran Blok 33 Bendemeer Road.

Rakaman video dari kamera polis yang dimainkan di mahkamah menunjukkan Encik Ng, berpakaian kemeja putih dan seluar pendek hitam, menaiki dan menuruni tangga di bloknya dengan pisau di tangannya sekitar pukul 3.30 petang.

Pada satu ketika, Encik Ng melintasi tempat letak kereta terbuka dan berhadapan dengan seorang lelaki yang tidak dikenali, yang melompat ke belakang sebagai reaksi dan cepat-cepat beredar tanpa sebarang kejadian.

Sebagai tindak balas terhadap panggilan kecemasan itu, empat pegawai polis dikerahkan ke unit Encik Ng di tingkat enam Blok 33 Bendemeer Road pada sekitar pukul 4.18 petang.

Rakaman daripada kamera yang dipakai oleh anggota polis turut dimainkan di mahkamah, menggambarkan keadaan antara Encik Ng dan para pegawai ketika ia berlaku di koridor sempit di luar unitnya.

Pegawai yang menghampiri unit itu melihat pintu dan pagarnya terbuka, dengan unit itu kelihatan kosong. Seorang pegawai kemudian meminta bercakap dengan Encik Ng, yang keluar dari bilik dengan pisau di tangan kanannya.

Pada ketika ini, para pegawai polis mula mengarahkan Encik Ng untuk melucutkan pisaunya.

Semasa mengacukan pisau, Encik Ng dilihat terpekik-pekik, yang mendorong para pegawai untuk menggunakan senjata renjatan.

Ia tidak memberi kesan kepada Encik Ng, yang terus meluru ke arah para pegawai polis. Dia cuba menutup pintu, tetapi seorang pegawai polis berjaya melarangnya daripada berbuat demikian.

Di kawasan koridor, seorang pegawai polis mengeluarkan pistolnya ketika Encik Ng terus menerpa, hanya beberapa meter dari pegawai polis tersebut.

Mendapati bahawa terdapat bahaya yang akan berlaku, seorang pegawai polis menembak ke arah Encik Ng, kira-kira pada masa yang sama ketika renjatan ketiga digunakan.

Encik Ng kemudian membongkok dan akhirnya rebah dengan mukanya pada lantai. Pegawai polis kemudian melucutkan pisau tersebut dari genggaman Encik Ng dan memberikan bantuan perubatan kepada Encik Ng.

Pasukan paramedik tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 4.36 petang dan Encik Ng dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, di mana dia disahkan meninggal dunia pada pukul 5.13 petang.

DAPATAN RINGKAS

Setelah meneliti hasil siasatan dan keadaan kes itu, penggunaan senjata api oleh pegawai polis itu adalah wajar, menurut DSP Ng kepada mahkamah.

Encik Ng bersikap agresif dan tidak mahu bekerjasama, malah masih memegang pisau walaupun telah diberi amaran untuk melucutkannya, kata DSP Ng.

Toksikologi bedah siasat ke atas Encik Ng mengesan dadah terlarang dalam badannya, termasuk methamphetamine.

Sapuan dari kuku tangan kanannya juga didapati positif kesan methamphetamine.

Pegawai yang menggeledah kediaman Encik Ng selepas kejadian itu turut menemui dadah.

Menyampaikan dapatan ringkasnya, Koroner Ponnampalam berkata bahawa tidak ada asas untuk mengesyaki perbuatan berniat jahat atau khianat dalam kes Encik Ng.

"Saya akur bahawa senjata api tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh pegawai polis tersebut," katanya.

Para anggota polis telah berdepan dengan seorang suspek yang agresif dan telah mengacukan pisau.

"Ia semakin jelas bahawa dia tidak akan menyerah diri," kata Koroner, sambil menambah bahawa senjata renjatan terbukti tidak berkesan dalam kes tersebut.

Ketika Encik Ng menghampiri pegawai polis dengan pisau di tangan, pegawai polis itu merasakan bahawa tidak terdapat ruang untuk berundur, yang boleh mengancam keselamatan mereka, tambahnya.

Koroner Ponnampalam mendapati Encik Ng berkemungkinan berada di bawah pengaruh dadah, yang juga konsisten dengan sejarah penyalahgunaan dadah Encik Ng.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan