Skip to main content

Singapura

Pegawai polis didapati bersalah subahat dera amah Myanmar sebabkan kematian, lupus bukti

Seorang pegawai polis, yang bekas isteri dan ibu mentuanya menyerang secara fizikal seorang pembantu rumah muda dari Myanmar sehingga maut, disabit kesalahan oleh Mahkamah Negara pada Khamis (10 Apr) atas pelibatannya dalam penderaan itu dan percubaannya untuk menutupi kesalahan yang dilakukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis didapati bersalah subahat dera amah Myanmar sebabkan kematian, lupus bukti

Kevin Chelvam (kiri) di luar Mahkamah Negara dan mangsa, Piang Ngaih Don. (Gambar: CNA/Syamil Sapari, Facebook/Helping Hands for Migrant Workers, Singapore)

Diterbitkan : 10 Apr 2025 08:51PM Dikemas Kini : 10 Apr 2025 08:54PM
  • Staf Sarjan Kevin Chelvam, yang digantung tugas oleh Pasukan Polis Singapura, dibicarakan atas empat pertuduhan berkaitan kes melibatkan mangsa berusia 24 tahun, Piang Ngaih Don, yang meninggal dunia pada 26 Julai 2016 selepas berbulan-bulan didera secara fizikal.
  • Chelvam turut disabitkan satu pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada seorang pegawai polis yang mengendalikan kes tersebut, dan satu lagi pertuduhan menyebabkan bukti berkaitan kes itu hilang dengan menanggalkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di flat miliknya.
  • Bekas isteri Chelvam dan ibu wanita itu, Prema S Naraynasamy, kini masing-masing menjalani hukuman penjara 30 dan 17 tahun atas peranan mereka dalam kes berkenaan.
  • Berat badan Piang Ngaih Don kurang daripada 24kg apabila dia meninggal dunia, selepas kehilangan 38 peratus daripada berat badannya sepanjang tempoh bekerja di rumah Chelvam.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang pegawai polis, yang bekas isteri dan ibu mentuanya menyerang secara fizikal seorang pembantu rumah muda dari Myanmar sehingga maut, disabit kesalahan oleh Mahkamah Negara pada Khamis (10 Apr) atas pelibatannya dalam penderaan itu dan percubaannya untuk menutupi kesalahan yang dilakukan.

Staf Sarjan Kevin Chelvam, yang digantung tugas oleh Pasukan Polis Singapura, dibicarakan atas empat pertuduhan berkaitan kes melibatkan mangsa berusia 24 tahun, Piang Ngaih Don, yang meninggal dunia pada 26 Julai 2016 selepas berbulan-bulan didera secara fizikal.

Dia dituduh bersubahat dengan bekas isterinya dalam membiarkan pembantu rumah itu kelaparan, di mana mangsa kebiasaannya hanya diberikan kepingan roti yang direndam dalam air untuk dimakan pada waktu yang tidak menentu. Dia juga dituduh mencederakan mangsa dengan mengangkatnya dengan menarik rambut, melupuskan bahan bukti, serta berbohong kepada polis.

Pada Khamis, Hakim Daerah Teoh Ai Lin mensabitkan Chelvam atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan menarik rambut mangsa dan mengangkat badannya dari lantai, serta satu pertuduhan bersubahat dengan bekas isterinya ketika itu, Gaiyathiri Murugayan, dalam menyebabkan kecederaan parah secara sukarela dengan membiarkan Piang Ngaih Don kelaparan.

Chelvam turut disabitkan satu pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada seorang pegawai polis yang mengendalikan kes tersebut, dan satu lagi pertuduhan menyebabkan bukti berkaitan kes itu hilang dengan menanggalkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di flat miliknya.

Hakim berkata Chelvam tahu betapa ringan berat badan Piang Ngaih Don dan betapa lemahnya mangsa memandangkan dia mampu mengangkat mangsa dari lantai hanya dengan menarik rambutnya. Chelvam juga turut menyaksikan ibu mentuanya ketika itu menyeret mangsa seperti “patung” tidak lama selepas itu.

“Walaupun Don masih mampu bergerak di dalam rumah dan menjalankan tugasnya, dalam hari-hari sebelum kematiannya, seseorang yang waras dalam kedudukan tertuduh ... akan tahu bahawa nyawa Don terancam akibat kekurangan makanan yang berpanjangan dan berterusan selama sekurang-kurangnya 35 hari sebelum kematiannya,” kata hakim.

Beliau menambah bahawa kegagalan tertuduh untuk campur tangan merupakan satu kelalaian yang “disedari.”

Chelvam, yang hadir ke mahkamah memakai jaket 'hoodie' hitam, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika jurubahasa mahkamah menterjemahkan dapatan hakim kepadanya.

Bekas isteri Chelvam dan ibu wanita itu, Prema S Naraynasamy, kini masing-masing menjalani hukuman penjara 30 dan 17 tahun atas peranan mereka dalam kes berkenaan.

Berat badan Piang Ngaih Don kurang daripada 24kg apabila dia meninggal dunia, selepas kehilangan 38 peratus daripada berat badannya sepanjang tempoh bekerja di rumah Chelvam.

Kes Chelvam akan disebut semula pada 17 Julai, di mana hakim akan mendengar hujah daripada pihak pendakwaan mengenai hukuman serta jawapan dan rayuan daripada pihak pembelaan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita