Skip to main content

Singapura

Pegawai polis didakwa palsukan keterangan semasa siasatan kes jenayah

Seorang pegawai polis didakwa pada Rabu (21 Mei) atas kesalahan memalsukan keterangan dan dokumen polis berkait kes-kes yang disiasat antara 2021 dengan 2023.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis didakwa palsukan keterangan semasa siasatan kes jenayah

Seorang pegawai polis didakwa pada 21 Mei 2025 atas kesalahan memalsukan keterangan dan dokumen polis. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang pegawai polis didakwa pada Rabu (21 Mei) atas kesalahan memalsukan keterangan dan dokumen polis berkait kes-kes yang disiasat antara 2021 dengan 2023.

S Vikneshvaran Subramaniam, 35 tahun, dikenakan sembilan tuduhan pemalsuan.

Ini berkait dengan lima kes jenayah yang masih berjalan dan dua kes yang sudah dimuktamadkan yang tidak membawa kepada pendakwaan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Rabu (21 Mei).

"Didapati bahawa Vikneshvaran dipercayai memalsukan sembilan dokumen yang terdiri daripada tujuh keterangan polis dan dua kertas akuan dalam dua kes," menurut SPF.

Menurut kertas pertuduhan, dalam lima kes jenayah yang masih berjalan pada waktu itu, Vikneshvaran didakwa memalsukan tanda tangan individu-individu yang ditemu duga untuk memberi bayangan bawah beliau sudah mencatat keterangan mereka secara depan mata dan mendapatkan tanda tangan mereka.

Lagi dua kes melibatkan perbuatan memalsukan tanda tangan dua orang yang mana kad EZ-Link serta NRIC mereka sudah dikembalikan, menurut kertas pertuduhan.

TINDAKAN PEMBETULAN

Menurut SPF tindakan pembetulan kemudian diambil, yang termasuk mengerahkan pegawai siasatan baharu untuk betul-betul mencatat keterangan yang diperlukan.

"AGC (Pejabat Peguam Negara) menilai semula kes-kes itu selepas siasatan pembetulan dijalankan dan menentukan bahawa tiada kesilapan melaksanakan keadilan," menurut SPF.

Menurut polis, pemalsuan itu terbongkar selepas Vikneshvaran diletakkan di bawah "penyeliaan dipertingkat" pada Oktober 2022 disebabkan prestasi kerjanya.

Satu pemeriksaan penyeliaan ke atas kerja-kerjanya dijalankan pada Januari 2023, dan kejanggalan berkait bukti kes dan pengurusan dokumen dikesan.

Menurut SPF pihaknya kemudian segera memeriksa semula dengan teliti semua kes yang disiasat oleh Vikneshvaran.

Selain tujuh kes itu, tiada salah laku didapati, tambah polis.

Vikneshvaran sudah digantung tugas.

Dia sudah memaklumkan hasrat untuk mengaku bersalah, dan kes itu ditangguh untuk pihak-pihak berkenaan membuat perwakilan. Dia akan kembali ke mahkamah pada 18 Jun.

Menurut polis, untuk memastikan proses siasatan adil dan teliti, SPF mempunyai sistam audit kes secara berkala, dan para penyelia segera dimaklumkan apabila sebarang kelemahan dikesan.

"Para penyelia juga memantu rapi para pegawai yang menunjukkan tanda-tanda prestasi kurang baik," menurut SPF.

"Jika sebarang kejanggalan dikesan, siasatan dalaman segera dijalankan, dan dokumen-dokumen berkait semua kes di bawah siasatan pegawai terlibat akan disemak semula."

SPF menambah para pegawai mesti menjunjung undang-undang dan mengekalkan tata laku dan integriti pada tahan tertinggi.

"SPF tegas dengan para pegawai yang melanggar undang-undang, termasuk mendakwa mereka di mahkamah," tambahnya.
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita