Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai polis dakwa dibuli di tempat kerja sebelum kematiannya ditawarkan bantuan bagi 'beberapa' cabaran kerja: SPF

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jul 2023 05:59PM Dikemas Kini : 24 Jul 2023 09:11PM
SINGAPURA: Seorang pegawai polis yang membuat dakwaan mengenai isu diskriminasi kaum dan dibuli di tempat kerja sebelum meninggal dunia, telah berdepan dengan "beberapa cabaran di tempat kerja", yang mana ketuanya telah menghulurkan bantuan kepadanya.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (24 Jul).

Sarjan Uvaraja Gopal, 35 tahun, meninggal dunia di hospital pada Jumaat lalu setelah ditemui terbujur di kolong blok HDB di Yishun. Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Dalam satu catatan Facebook yang kemudiannya dihapuskan, SGT Uvaraja menyatakan beliau telah dibuli oleh ketuanya dan telah berdepan dengan ucapan berbaur perkauman oleh rakan-rakan pasukannya.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Jumaat lalu bahawa polis akan menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh.

Mengulas mengenai dakwaan diskrimasi kaum yang dibuat mendiang, SPF mendedahkan bahawa SGT Uvaraja telah membuat dakwaan tersebut pada 2015, sambil menambah bahawa ia telah diteliti dan didapati tidak disokong mana-mana bukti.

SGT Uvaraja telah berkhidmat dengan polis selama lebih 10 tahun dan terakhir sekali berkhidmat sebagai seorang pegawai dengan Divisyen Polis Ang Mo Kio.

"Pada ketika ini, kami boleh mula menyiasat hanya berdasarkan fakta yang diketahui, memandangkan tidak semua fakta tertentu telah ditetapkan. Ia juga tidak wajar bagi polis untuk mengulas, atau membuat sebarang kesimpulan, (malah) masih menunggu untuk membuat siasatan yang terperinci," kata polis pada Isnin.

PENJELASAN OLEH POLIS

Pihak polis menarik perhatian bahawa sarjan tersebut telah membuat sejumlah aduan terhadap ketua serta rakan-rakan kerjanya selama beberapa tahun, dan semua itu telah disiasat dan ditangani.

"Sebilangan aduan sedang disiasat lagi, berikutan dakwaan yang telah dibuat sebelum kematiannya," nyata SPF.

SPF menjelaskan bahawa pegawai tersebut telah diberikan bimbingan untuk menangani isu berhubung prestasinya dan dia telah dipindahkan ke enam unit kerja sepanjang sembilan tahun, atas permintaannya.

Atas permintaannya, pegawai itu juga diberikan cuti tambahan sejak 2015, melebihi jumlah cuti yang biasa diberikan kepadanya.

Misalnya, SGT Uvaraja bekerja kurang daripada 30 hari tahun lalu, atas beberapa jenis cuti termasuk cuti sakit lanjutan, cuti tanpa rekod dan cuti tanpa gaji.

Pada 2023, SGT Uvaraja berada di tempat kerja kurang 25 hari atas sebab-sebab serupa.

Para penyelianya juga mengaturkan kaunseling dan "bantuan psikologi" untuknya semasa pelbagai masa dalam perkhidmatannya
dari tahun 2016.

Pada Januari tahun ini, SGT Uvaraja dirujukkan kepada para-kaunselor selepas beliau melaporkan tekanan kerja.

Pada Februari 16, beliau melaporkan diri ke unit baru menyusuli permintaannya untuk dipindahkan dari unit sebelumnya - dan "menunjukkan tanda-tanda tidak stabil", kata SPF.

"Beliau diberikan kaunseling oleh para-kaunselor pada hari yang sama, dan kemudian ditemui seorang pakar psikologi dari Jabatan Khidmat Psikologi Polis.

Atas keprihatinan keselamatan, beliau berhenti membawa senjata api mulai 16 Februari 2023."
Gambar: CNA/Jeremy Long
ADUAN TERHADAP PEGAWAI LAIN

Pada Ogos 2021, pegawai polis tersebut memaklumkan penyelianya bahawa beliau ternampak pegawai polis lain menggunakan vape di pekarangan balai polis.

Seorang penyelia bebas ditugaskan untuk melaksanakan pemeriksaan ke atas peranti vape dan e-rokok di premis balai tersebut, dan menyoal siasat mereka yang terlibat. Aduan tersebut ditemui tidak benar, lantaran itu, tiada tindakan disiplin diambil, kata SPF.

Pada Januari tahun ini, ketika berada dalam sebuah unit polis berlainan, pegawai tersebut memaklumkan penyelianya yang beliau ternampak pegawai lain merokok. Siasatan mendapati bukti berhubung aduan yang dibuat dan tindakan disiplin telah diambil terhadap pegawai-pegawai tersebut.

"Menyusuli kedua-dua insiden tersebut, para penyelianya memudahkan permintaannya untuk berpindah ke unit lain agar beliau dapat memulakan lembaran baharu, oleh sebab beliau tidak berasa selesa bekerja dengan rakan sekerja yang beliau telah membuat aduan terhadapnya," nyata SPF.
Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo
DAKWAAN DISKRIMINASI PERKAUMAN

Dalam catatan Facebook terakhirnya, SGT Uvaraja juga mendakwa berdepan dengan diskriminasi perkauman di tempat kerja.

"Khususnya berhubung dakwaan diskriminasi perkauman itu, SPF mengambil pendirian yang tegas terhadap isu sedemikian. Polis mengetahui tentang dakwaan diskriminasi perkauman yang dibuat terhadap mendiang SGT Uvaraja pada 2015," nyata SPF.

Polis menyatakan bahawa mereka telah meneliti aduan tersebut dan menyoal siasat pegawai yang terlibat. Dakwaan tersebut "didapati tidak disokong mana-mana bukti", nyata SPF.

Polis menambah bahawa ia akan menyemak semula dan menyiasat dakwaan-dakwaan itu sekali lagi, dan merujukkan dapatan siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara.

"Dapatan tersebut juga akan dihantar kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri, untuk mendapat keputusannya sama ada dapatan tersebut patut disemak semula dengan lanjut," tambah pihak polis.

HUBUNGAN TEGANG DENGAN KELUARGANYA

Dalam satu kenyataan pada Isnin, pihak polis menarik perhatian bahawa temu bual yang dilaksanakan, menunjukkan pegawai tersebut mempunyai "hubungan yang tegang dengan keluarganya".
 
Gambar: CNA/Jeremy Long
Pada Ahad, Encik Shanmugam dan Anggota Parlimen Derrick Goh telah menziarahi upacara persemadian SGT Uvaraja, yang diadakan di Yishun. Kedua-duanya merupakan AP bagi GRC Nee Soon.

Berikut adalah talian bantuan yang boleh dihubungi:

- Hotline Samaritans of Singapore
1767
- Institut Kesihatan Mental (IMH)
6389 2222
- Persatuan Kesihatan Mental Singapura
1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa menerusi pautan ini.

Jika seseorang yang anda kenali memerlukan bantuan segera, anda boleh menghubungi talian khidmat kecemasan 24 jam.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan