Pegawai polis Certis, 47 tahun, meninggal dunia selepas rebah semasa latihan NDP2025 di Padang
SINGAPURA: Seorang pegawai polis Certis berusia 47 tahun meninggal dunia selepas rebah semasa latihan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP2025) di Padang pada pagi Sabtu (21 Jun).
Peserta, dari Kontinjen Perbarisan NDP OneChangi, rebah pada pukul 11.23 pagi, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Changi Airport Group (CAG) dalam satu kenyataan media bersama.
"Lelaki itu dengan segera dikejarkan ke pos perubatan di lokasi pada pukul 11.26 pagi, di mana dia dibantu oleh para pegawai perubatan yang bertugas ketika itu. Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dijalankan ke atas lelaki berkenaan dengan serta-merta," tambah kenyataan tersebut.
"Peserta itu kemudian dipindahkan ke sebuah ambulans SAF pada pukul 11.42 pagi untuk dihantar ke hospital. Usaha untuk memulihkannya diteruskan semasa dalam perjalanan ke hospital."
Lelaki itu tiba di Hospital Besar Singapura (SGH) pada pukul 11.57 pagi dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.19 tengah hari.
MINDEF dan CAG menyatakan bahawa kedua-dua pihak itu sedang berhubung dengan keluarga lelaki itu untuk menghulurkan sokongan. "Kami menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarganya," tambah MINDEF dan CAG.
Kontinjen OneChangi adalah antara 18 kontinjen awam yang menyertai NDP 2025, yang akan diadakan pada 9 Ogos sempena ulang tahun ke-60 Singapura.
CAG dan Certis adalah antara sembilan syarikat dalam kontinjen OneChangi, dedah jurucakap CAG Ivan Tan kepada Mediacorp.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan MINDEF dan CAG untuk terus menghulurkan sokongan kepada keluarga pegawai itu serta bantuan lain yang diperlukan," kata jurucakap Certis Robin Goh.
"Ucapan takziah kami ditujukan kepada keluarga pegawai tersebut dan orang-orang tersayang dalam masa sukar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.