Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai penguatkuasa boleh masuk rumah dalam kes pertikaian jiran tetangga di bawah pindaan rangka kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai penguatkuasa boleh masuk rumah dalam kes pertikaian jiran tetangga di bawah pindaan rangka kerja

Gambar: Gaya Chandramohan/CNA

Diterbitkan : 10 May 2023 06:30PM Dikemas Kini : 10 May 2023 10:43PM
SINGAPURA: Dalam usaha untuk menghuraikan pertikaian jiran tetangga dengan lebih berkesan, pegawai awam dan kakitangan lain yang bertindak bagi pihak agensi pemerintah akan diberi lebih banyak kuasa untuk campur tangan dalam kes-kes serius.

Pegawai tersebut boleh menjalankan siasatan ke atas kes dan mengambil tindakan penguatkuasaan, termasuk memasuki sesebuah rumah atau merampas punca pertikaian, meskipun tanpa persetujuan pemilik atau penghuni sah rumah tersebut.

Kuasa tersebut, termasuk proses pengantaraan wajib antara jiran, adalah sebahagian daripada beberapa perubahan yang disarankan kepada Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF) bagi perundingan awam dari Khamis (11 Mei) hingga 31 Mei.

CDMF, yang ditubuhkan pada 2014, menetapkan bagaimana pertikaian antara jiran harus dihuraikan, dengan penekanan terhadap penyelesaian yang baik pada peringkat masyarakat.

Langkah-langkah sedia ada termasuk memperkenalkan waktu senyap untuk memupuk tingkah laku yang bertimbang rasa, mengalakkan penduduk untuk menjalani pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC) dan memperkasa keupayaan menjadi pengantara di kalangan pemimpin akar umbi untuk menghuraikan pertelingkahan.

Di bawah rangka kerja yang sedia ada, penduduk boleh membawa kes mereka ke Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT), sebuah mahkamah khas yang mendengar kes pertikaian sedemikian sebagai jalan terakhir.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menangani pertikaian antara jiran. Ini termasuk penubuhan Panel Penasihat Masyarakat berhubung bunyi bising dari jiran tetangga pada April 2022 untuk meneliti isu tentang bunyi bising di kejiranan dan memberi saranan untuk menanganinya.

Sebuah jawatankuasa antara agensi melibatkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pembangunan Negara menyatakan pada Rabu perubahan yang disarankan kepada CDMF itu bertujuan untuk menggalakkan tingkah laku pro-sosial, memudahkan penyelesaian secara baik, dan mencapai huraian bagi jiran-jiran yang bersengketa pada peringkat seawal mungkin.

Perubahan yang diusulkan itu akan membolehkan pelaksanaan campur tangan dengan lebih bersasar dan berkesan dalam kes pertikaian yang serius, seperti kes gangguan yang berlarutan dan sengaja dibuat untuk mengganggu orang lain.

Pemerintah menyarankan agar kakitangan sedemikian boleh mendapatkan parti yang terlibat memberi butiran serta keterangan mereka. Mereka juga mempunyai kuasa untuk memasang peranti pemantauan seperti alat mengesan bunyi di ruang awam atau tempat tinggal swasta dengan kebenaran pemilik atau penghuni yang sah atau ejen pengurusan di ruang-ruang kegunaan bersama atau dengan kebenaran CDRT.

Pegawai atau kakitangan tersebut, yang termasuk pegawai dari Pejabat Perkhidmatan Perbandaran boleh mengeluarkan notis amaran, notis pengantaraan wajib, memasuki seseuah rumah untuk menghentikan gangguan yang berterusan, atau merampas objek yang menyebabkan gangguan dengan atau tanpa kebenaran pemilik atau penghuni yang sah.

Dalam kes di mana pelaku aksi gangguan berkenaan disyaki mempunyai isu kesihatan mental yang menyumbang kepada masalah tersebut, kakitangan tersebut boleh membuat permohonan kepada CDRT bagi perintah yang mengkehendaki individu tersebut menjalani penilaian atau rawatan psikiatri rasmi.

Pihak berkuasa juga menyarankan pengantaraan wajib, bagi penduduk yang menolak pengantaraan sukarela atau bagi mereka yang telah melanggar syarat perjanjian penyelesaian.

Orang ramai diundang memberikan pandangan mereka mengenai saranan tersebut secara online menerusi go.gov.sg/feedbackcdmf. Maklum balas yang diterima akan disemak pihak berkuasa, dan perbaikan akan dibuat terhadap usulan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan