Skip to main content

Singapura

Pegawai, pemimpin terlibat dalam saga dedah nombor NRIC berdepan tindakan

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai, pemimpin terlibat dalam saga dedah nombor NRIC berdepan tindakan

Petikan skrin laman Bizfile. Laman tersebut dilancarkan pada 9 Disember, 2024. (Gambar: Laman Bizfile)

Diterbitkan : 03 Mar 2025 07:20PM Dikemas Kini : 03 Mar 2025 07:42PM
SINGAPURA: Tindakan wajar akan dikenakan ke atas para pegawai dan pemimpin di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) yang terlibat dalam insiden Bizfile tahun lalu.

Meskipun tiada niat jahat atau kesalahan yang disengajakan, terdapat kelemahan dalam komunikasi dan pelaksanaan perubahan dasar bagi penggunaan nombor kad pengenalan (NRIC), dan dalam pelaksanaan serta pemantauan fungsi pencarian 'People Search' di Bizfile.

Demikian menurut kementerian dan agensi tersebut dalam kenyataan berasingan pada Isnin (3 Mac).

MDDI, ACRA dan Kementerian Kewangan (MOF), mengeluarkan kenyataan selepas semakan panel mengeluarkan laporan yang meneliti bagaimana nombor penuh NRIC boleh terdedah dalam hasil carian di Bizfile selama lima hari pada tahun lalu.

Panel itu memuktamadkan bahawa "gabungan" enam kelemahan menyebabkan ACRA salah faham tentang niat MDDI, dan mendedahkan nombor NRIC di portal Bizfile, yang dikendalikan ACRA.

MDDI dan ACRA menyatakan mereka menerima dapatan tersebut dan mengakui kelemahan yang sudah dikenal pasti.

"Kami memohon maaf sekali lagi atas kesilapan kami, yang menyebabkan kegusaran dan keprihatinan dalam masyarakat. Dalam insiden ini, perkhidmatan awam tidak mencapai prestasi yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri," menurutnya.

Kementerian dan agensi itu menyatakan mereka sudah menyemak dengan teliti tindakan dan tanggungjawab mereka yang terlibat dalam insiden itu dan "tindakan wajar" sedang diambil.

"Ini termasuk menyemak semula penilaian prestasi, yang akan membawa kesan kewangan, selain kaunseling dan latihan tambahan," menurutnya lagi.

TANGANI KELEMAHAN

MDDI dan ACRA juga berkongsi langkah-langkah yang akan diambil menyusuli insiden Bizfile itu.

Menurut MDDI, pihaknya sedang menyiapkan panduan lebih berkesan untuk agensi-agensi pemerintah tentang cara melaksanakan dasar berkait nombor NRIC.

Pihaknya sudah mengenal pasti hampir 800 kes sedia ada penggunaan separa nombor NRIC dalam sistem awam, setiap satu dengan konteks dan ciri tertentu.

Menurut MDDI lagi, pihaknya akan mempertingkat penyelarasan dengan agensi-agensi untuk menyokong mereka dari segi pelaksanaan.

Ia juga akan mengukuhkan proses-proses dalam dan latihan kakitangan untuk memberikan penerangan jelas tentang konteks dasar lebih meluas dan pertimbangan apabila mengeluarkan arahan.

Kementerian itu juga mengingatkan agensi-agensi mengenai dasar-dasar pengurusan data sedia ada pemerintah dan standard berkait pengambilan, penggunaan dan pendedahan maklumat peribadi, termasuk nombor NRIC. Pihaknya akan menjalankan taklimat untuk menguatkan semula pemahaman.

MDDI menyatakan pemerintah kekal komited untuk melindungi data peribadi rakyat. Ia juga akan berunding dengan industri dan masyarakat awam sebelum membuat sebarang perubahan dalam garis panduan mengenai penggunaan nombor NRIC dalam sektor privet.

ACRA pula menyatakan pihaknya akan memperbaiki komunikasi dalam danluar agensi supaya maklumat penting dikongsi dengan cukup dan para pemimpin boleh membuat keputusan dengan maklumat yang mencukupi.

Ia juga akan menjalankan semakan lebih kerap untuk menilai keselamatan data dan risiko perlindungan, dan melaksanakan langkah keselamatan wajar jika kelemahan dikesan. Semakan sedemikian akan terumata sekali dijalankan sebelum, semasa dan selepas perubahan pada sistem IT.

Menurut ACRA ia akan memperkukuh pemantauan ke atas vendor bagi memastikan sistem dilaksanakan secara berkesan dan sejajar dengan syarat yang ditetapkan. Bagi Bizfile, satu semakan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) mendapatu beberapa ciri keselamatan tidak dilaksanakan dengan cukup.

GovTech akan memperhalusi rangka kerja pengurusan vendor untuk melaksanakan perlindungan tambahan.

Menurut MOF ia akan menyokong ACRA dalam tindakan susulannya dan berkongsi pengetahuan dengan agensi-agensi lain MOF.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita