Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai pemerintah SG boleh guna TikTok pada peranti yang diberikan, hanya atas dasar 'bila perlu', jelas Negara Bijak

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai pemerintah SG boleh guna TikTok pada peranti yang diberikan, hanya atas dasar 'bila perlu', jelas Negara Bijak

(Gambar: Mario Tama/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 17 Mar 2023 04:39PM Dikemas Kini : 17 Mar 2023 04:56PM

SINGAPURA: TikTok hanya dibenarkan digunakan pegawai perkhidmatan awam pada peranti yang diberikan pemerintah "atas dasar bila perlu", menurut pemerintah pada Khamis (16 Mac).

"Peranti yang diberikan pemerintah digunakan bagi tujuan kerja dan ada peraturan jelas bahawa hanya aplikasi yang diluluskan boleh dimuat turun pada peranti sedemikian," kata jurucakap bagi Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG).

"Buat masa ini, TikTok hanya dibenarkan digunakan oleh pegawai perkhidmatan awam atas dasar bila perlu, seperti bagi pegawai perhubungan."

SNDGG, yang terdiri daripada Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital serta Agensi Teknologi Pemerintah, menyelia perubahan digital pemerintah dan projek-projek utama Negara Bijak Singapura.

Peranti yang diberikan pemerintah mempunyai konfigurasi keselamatan unutk melindungi data, manakala pegawai awam kerap dinasihatkan supaya hanya memuat turun aplikasi yang diluluskan, menurut badan itu dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp tentang keprihatinan keselamatan dan privasi berhubung TikTok baru-baru ini.

Terdapat beberapa anggota politik yang menggunakan aplikasi itu, termasuk Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, yang mempunyai ribuan pengikut di platform tersebut. Mediacorp sudah menghubungi mereka berhubung keprihatinan keselamatan berhubung wadah tersebut.

KEPRIHATINAN KESELAMATAN

Aplikasi kongsi video popular itu semakin mendapat perhatian dengan Amerika Syarikat (AS), Kanada, Belgium dan beberapa badan Kesatuan Eropah (EU) antara yang sudah melarang aplikasi itu digunakan pada peranti pemerintah.

Britain mengumumkan pada Khamis bahawa negara itu akan melarang penggunaan TikTok pada telefon kerajaan dengan serta-merta.

TikTok dimiliki syarikat internet ByteDance, dengan ibu pejabatnya di Beijing. Larangan itu menekankan lagi keprihatinan yang kian memuncak, bahawa data pengguna aplikasi itu boleh jatuh ke tangan pemerintah China, sekali gus melemahkan kepentingan keselamatan negara Barat.

Malah keprihatinan itu bukan sesuatu yang baru.

Aplikasi dengan lebih 1 bilion pengguna di dunia itu, terpalit dalam kontroversi pada 2020 apabila Presiden AS ketika itu Donald Trump menyifatkannya sebagai ancaman keselamatan negara dan cuba menyekat muat turun pengguna yang baru di AS. TikTok bagaimanapun menafikan ia menimbulkan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara AS.

Semasa dihubungi Mediacorp, TikTok menyatakan terdapat "banyak salah tanggap" mengenai hubungannya dengan China.

Misalnya, syarikat induk ByteDance "bukanlah dimiliki warga China", kata jurucakap TikTok. Hampir 60 peratus daripada ByteDance dimiliki oleh pelabur institusi global, dengan kumpulan pengasasnya memegang 20 peratus saham dan baki 20 peratus dimiliki kakitangan.

TikTok juga menekankan aplikasinya "bukan hanya unik dari segi jumlah maklumat yang dikumpul".

"Selaras dengan amalan industri, kami mengumpul maklumat dipilih pengguna untuk berkongsi bersama kami dan maklumat yang membantu fungsi aplikasi, membantu menjalankan operasi dengan selamat dan meningkatkan pengalaman pengguna."

Syarikat itu dalam pelbagai kenyataan awamnya sejak beberapa tahun lalu menegaskan bahawa data pengguna disimpan di pusat datanya tersendiri di AS dan Singapura.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan