Pegawai NSF sumbang tenaga pastikan kelancaran NDP

Gambar: NDP EXCO 2023
SINGAPURA: Meskipun harus korbankan masa bersama keluarga pada setiap Sabtu hingga 9 Ogos nanti, Lans Koperal (LCP) Mohamed Haikal Daniell Saifudin, 25 tahun berasa bangga terpilih untuk berkhidmat pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.
Baru sahaja menjalani Perkhidmatan Negara (NS), LCP Haikal dipilih sebagai ketua dalam mengatur pergerakan pelajar-pelajar Politeknik Temasek yang membuat persembahan pada NDP.
"Tugas saya adalah memastikan pelajar-pelajar Politeknik Temasek menepati masa yang ditetapkan untuk mereka sampai ke pentas.
"Selain itu, saya juga harus memastikan mereka ada semua barangan yang diperlukan sewaktu persembahan," ujar LCP Haikal.

Kemahiran yang diperoleh sewaktu NS memberikannya lebih keyakinan untuk melakukan tugasnya dengan baik.
"Sewaktu NS, saya harus memikirkan tentang cara-cara kreatif untuk menyelesaikan masalah, ini membolehkan saya mencari penyelesaian jika saya terlepas menepati masa yang diberikan," jelas LCP Haikal.
PASTIKAN PERGERAKAN 27,000 PENONTON NDP LANCAR
Selain pergerakan para peserta, kelancaran dan keselamatan para penonton NDP juga diberi keutamaan.
Ini memandangkan sekitar 27,000 penonton dijangkakan hadir menonton NDP pada 9 Ogos kelak.
Bagi menjadikannya lebih inklusif, laluan khas bagi warga emas dan juga mereka berkerusi roda juga disediakan.
Antara yang bertanggungjawab memastikan kelancaran bagi laluan tersebut ialah Lans Koperal (LCP) Muhammed Azly, 21 tahun.
LCP Azly akan menemani mereka dari stesen pemeriksaan beg ke stesen mengambil pek NDP.

Mengimbau kembali pengalaman manis ini, LCP Azly berkata beliau berbangga dapat membantu orang ramai.
Beliau sudah mula berkhidmat sejak persembahan raptai NDP diadakan setiap minggu bulan ini.
"Kenangan yang tidak dapat saya lupakan adalah apabila saya membantu pasangan warga emas. Suaminya kelihatan menghadapi kesulitan menolak kerusi roda isterinya. Saya dengan segera membantu mereka," kongsi LCP Azly kepada BERITA Mediacorp.
Pengalaman ini membuatkannya rasa bangga dan gembira kerana terlibat dalam NDP.
"Saya juga dapat membawa keluarga saya menonton persembahan raptai NDP dan mereka sangat gembira, membuat saya lebih terdorong melakukan tugas saya," kata Azly.

"Bunga api pada tahun ini berwarna-warni, lain rasanya dapat melihat bunga api di depan mata saya apatah lagi di padang," tambah Azly.
Kedua-dua pemuda ini di antara ribuan NSF lain yang turut menyumbang tenaga untuk pastikan NDP berjalan dengan lancar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.