Pegawai NEA dipenjara; peras wang daripada pekerja syarikat pembersihan
Seorang pemeriksa laluan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang memeras wang untuk kegunaan peribadi daripada pekerja sebuah syarikat pembersihan dijatuhi hukuman penjara selama 24 minggu pada Khamis (22 Mei).
Ruzdiman Salhan Mohamed Salim keluar dari Mahkamah Negera pada 21 Mei 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Ruzdiman Salhan Mohamed Salim, 44 tahun, memeras wang tersebut daripada para pekerja syarikat terbabit, dengan mengetahui bahawa mereka akan berasa tertekan untuk memenuhi permintaan tersebut, memandangkan Ruzdiman merupakan pemeriksa bagi laluan-laluan yang mereka bersihkan.
Selain hukuman penjara, Ruzdiman turut diarahkan membayar penalti sebanyak S$2,420 - jumlah yang sama dengan sogokan yang diterimanya, menurut dokumen pertuduhan.
Dia mengaku bersalah ke atas lima daripada 15 pertuduhan rasuah, manakala baki pertuduhan lain diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Ruzdiman pada awalnya berhasrat menjalani perbicaraan, namun kemudian membuat keputusan untuk mengaku bersalah. Dia disabit kesalahan pada Rabu.
Bagi setiap pertuduhan rasuah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.
Mediacorp telah menghubungi NEA untuk mendapatkan pengesahan sama ada Ruzdiman masih bekerja di agensi tersebut, dan turut menghubungi Pejabat Peguam Negara untuk mengetahui sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap para pekerja syarikat pembersihan yang terlibat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.