Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai ME4 SAF Muhammad Nurhafiz terus bertempur di medan COVID-19 walau sedar berisiko; sumbang semula kepada pekerja asing

Biarpun sedar akan risiko di depan mata, Pakar Tentera 4 (ME4A) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Muhammad Nurhafiz Juma’at sedia menyahut tugas penuh mencabar untuk melawan COVID-19 di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai ME4 SAF Muhammad Nurhafiz terus bertempur di medan COVID-19 walau sedar berisiko; sumbang semula kepada pekerja asing

ME4A (NS) Nurhafiz dalam peralatan perlindungan peribadi berwarna kuning mengambil tekanan darah seorang pesakit dalam zon merah di CCF Expo. (Gambar: PIONEER)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 12:28AM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 12:31AM

SINGAPURA: Biarpun sedar akan risiko di depan mata, Pakar Tentera 4 (ME4A) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Muhammad Nurhafiz Juma’at sedia menyahut tugas penuh mencabar untuk melawan COVID-19 di Singapura.

Nurhafiz, seorang Pegawai Kejururawatan di Hospital Bantuan Tempur kelapan (8 CSH), bersama-sama dengan para komander dan askar kerahan yang lain menyertai barisan hadapan untuk menjaga pesakit-pesakit COVID-19 di Kemudahan Jagaan Masyarakat (CCF) Singapore Expo.

Beliau berkongsi pengalaman menjalani Latihan Dalam Kem (ICT) yang luar biasa dengan PIONEER, sebuah majalah yang memaparkan berita terkini mengenai Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

SYAWAL YANG SYAHDU

ME4A (NS) Nurhafiz (sebelah atas kanan, dua dari kanan) dalam panggilan video Zoom bersama keluarganya semasa Har Raya, (Gambar: PIONEER)

(ME4A (NS) Nurhafiz (sebelah atas kanan, dua dari kanan) dalam panggilan video Zoom bersama keluarganya semasa Har Raya, Gambar: PIONEER)

Tempoh ICT yang perlu dijalani Nurhafiz jatuh antara 26 Mei hingga 14 Jun. Ini bermakna sedang ramai umat Islam menyambut Hari Raya di pangkuan orang tersayang, meskipun dalam suasana sederhana dek penguatkuasaan 'circuit breaker', beliau pula banyak meluangkan masa di sisi orang memerlukan - para pesakit COVID-19.

"Suasana Hari Raya yang berbeza tahun ini. Adat kunjung-mengunjung yang biasanya dilakukan bersama anggota keluarga dan sanak saudara dan juadah membuka selera bukanlah suatu pilihan tahun ini. Saya tidak merasakan 'mood' Raya memandangkan pengerahan saya berlaku pada minggu pertama Hari Raya," luahnya dalam artikel terbitan PIONEER.

Sungguhpun agak pilu, Nurhafiz tetap menguatkan semangat untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna. Pengorbanan itu, menurut beliau, berbaloi kerana ia bukan sahaja demi orang tercinta dan negara bahkan juga buat golongan pekerja asing yang sememangnya memerlukan bantuan jagaan perubatan serta sokongan masyarakat setempat sewaktu tempoh sukar ini.

KELUARGA TUNJANG KEKUATAN, SUMBER INSPIRASI

Iltizam kuat yang dicerminkan Nurhafiz itu disandarkan kepada kedua-dua orang tuanya iaitu peran contoh beliau. Merekalah yang mendorong beliau untuk menjadi sebahagian daripada operasi tersebut.

Ayah beliau, ME4 (Bersara) Juma'at, baru-baru ini bersara daripada SAF setelah berkhidmat sebagai seorang anggota perubatan selama lebih 35 tahun. Nurhafiz membesar dengan pengalaman ayahnya yang menyertai misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta misi bantuan kemanusiaan dan misi bantuan bencana alam.

Ibu Nurhafiz pula, Cik Suzana, adalah seorang jururawat yang bertugas semasa wabak SARS pada 2003.

Selain kedua ibu bapanya, anggota keluarga lain, saudara-mara dan rakan-rakan tidak kurang meniup semangat kepada diri Nurhafiz untuk bertempur di barisan hadapan dalam dunia COVID-19.

"Pada masa yang sama, mereka juga berkongsi keprihatinan agar saya kekal selamat dan terus menjaga diri sepanjang operasi itu," kata Nurhafiz, yang juga seorang pengurus di Jabatan Sokongan Hidup Kecemasan di Institut Sains Kesihatan-HMI.

"Ketakutan itu sentiasa ada apabila anda menentang musuh yang tidak dapat dilihat. Tentunya, saya tidak mahu membawa pulang jangkitan ini kepada orang tersayang."

Lantaran itu, menjaga kebersihan diri yang baik setiap masa sering kali ditekankan kepada para pegawai barisan hadapan seperti Nurhafiz. Sebelum dikerahkan ke CCF Singapore Expo, beliau perlu mengikuti satu latihan tentang penggunaan peralatan pemulihan dan pelitup selain prosedur betul bagi memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

Nurhafiz berkongsi bahawa setiap kali sebelum pulang ke rumah, ia diwajibkan bagi mereka untuk mandi dahulu. Di pagar keluar pula, beliau akan menyemburkan cecair pembasmi kuman pada kasutnya. Setibanya di rumah pula, beliau akan menyalin pakaian, membasuhnya dan mandi sekali lagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau terpaksa mengurangkan interaksi bersama isterinya mahupun berkongsi makanan dan minuman. Bahkan, Nurhafiz akan menggunakan pinggan plastik dan sudu garpu pakai buang.

Mujur, isteri Nurhafiz adalah seorang jururawat am kanan yang bekerja di sebuah hospital awam, maka pasangan itu memahami betapa pentingnya langkah-langkah seumpama itu.

"Saya tinggal di Punggol dan rumah saya menghadap Dormitori S11. Ia satu peringatan betapa saya boleh memainkan peranan lebih besar untuk membantu para pekerja asing ini yang sudahpun menyumbang begitu banyak kepada Singapura," ujarnya.

UCAPAN 'TERIMA KASIH' SUDAH MEMADAI

Berbekalkan pengalaman beliau sebagai seorang Jururawat Berdaftar sewaktu bekerja di Jabatan Kecemasan bersama Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dahulu, Nurhafiz dapat memanfaatkan sebaik-baiknya kemahiran yang diperolehi untuk menilai keadaan pesakit serta memutuskan aturan rawatan buat mereka.

"Sebagai seorang pemudah cara di Institut-HMI, saya mengambil peluang untuk berkongsi pengalaman serta kemahiran bersama para anggota perubatan lain. Melihat pesakit sembuh daripada simptom-simptom yang dialami dan ucapan 'terima kasih' yang begitu mudah sudah cukup untuk membuat saya gembira," katanya.

Mengimbas kembali salah satu insiden yang tidak dapat dilupakan, Nurhafiz berkongsi bahawa pada 30 Mei, pasukannya merawat seorang pesakit yang mengalami rasa sakit yang begitu tersangat pedihnya di bahagian antara tulang rusuk dengan pinggul pada sebelah kanan badannya.

Setelah menyerahkan kes itu kepada Pegawai Perubatan pasukan mereka, pesakit tersebut diberikan sejenis ubat penahan sakit tetapi beliau masih mengerang kesakitan.

Tanpa berlengah, pasukan itu kemudian menghubungi ambulans Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Ia sedang hujan lebat ketika itu, imbas Nurhafiz, apabila beliau menyerahkan pesakit berkenaan kepada kakitangan SCDF.

"Saya benar-benar kagum dengan kerja keras semua petugas barisan hadapan yang melakukan terbaik semasa tempoh ini," katanya.

"Hakikatnya, saya rasa berpuas hati dapat menyumbang kepada tujuan yang lebih besar. Salah satu perkara yang saya akan sentiasa ingat adalah menjadi sebahagian daripada pengerahan ini dan betapa setiap orang daripada kita menyumbang dengan cara tersendiri untuk menentang fasa sukar ini bersama-sama." 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan