Skip to main content

Singapura

Pegawai keselamatan Suntec City dipenjara, disebat kerana 'rogol' lelaki mabuk

Seorang pegawai keselamatan yang melakukan serangan seksual terhadap seorang lelaki yang mabuk di sebuah tandas dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan rotan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai keselamatan Suntec City dipenjara, disebat kerana 'rogol' lelaki mabuk

Gambar fail Suntec City. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 22 Nov 2018 12:44PM Dikemas Kini : 22 Nov 2018 12:45PM

SINGAPURA: Seorang pegawai keselamatan yang melakukan serangan seksual terhadap seorang lelaki yang mabuk di sebuah tandas dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan rotan.

Kejadian itu berlaku pada 6 Mei tahun lalu, tidak lama selepas Low Chih Kin, 35 tahun, memulakan tugas sebagai seorang pegawai keselamatan di Suntec City.

Mahkamah difahamkan, pada sekitar 3.00 pagi hari itu, Low sedang menuju ke sebuah tandas lelaki di Suntec City Tower 1 apabila dia ternampak seorang lelaki terbaring di lantai.

Penolong pengurus bangunan berusia 36 tahun berkenaan, yang namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah, menghadiri jamuan malam tahunan syarikatnya di sebuah hotel, di mana beliau meminum beberapa gelas minuman keras. Beliau kemudian ke sebuah bar di Suntec City untuk meminum minuman keras lagi.

Mahkamah diberitahu, beliau ingin ke tandas untuk melegakan diri tetapi akhirnya terbaring di atas lantai.

Apabila Low melihat lelaki mabuk itu terbaring di depan pintu tandas, dia mengalihkan badan lelaki itu lalu melakukan beberapa tindakan intim dengannya, termasuk mencium bibir mangsa.

Mangsa tidak memberi sebarang respons dan Low membuka butang seluarnya dan melakukan tindakan seksual ke atasnya beberapa kali.

Mangsa berada dalam keadaan separuh sedar, tetapi tidak dapat membuka matanya atau melawan Low.

Low berhenti melakukan tindakan itu selepas dia menyedari air liurnya boleh menyebabkan dirinya dijejaki polis. Dia meninggalkan tandas itu tetapi semua tindakannya dirakam kamera CCTV di koridor tersebut.

Selepas kejadian, Isteri mangsa menelefonnya dan mangsa memberitahunya: "Tolong bantu saya."

Isterinya lantas ke Suntec City dan menemui suaminya terbaring di atas lantai dengan bekas muntah di lengannya dan seluarnya dibuka.

Beliau menelefon polis dan mengatakan bahawa suaminya itu mengesyaki beliau "dirogol seorang lelaki". Suaminya dikejarkan ke hospital manakala Low dijejaki melalui rakaman CCTV dan diberkas.

Pendakwa meminta supaya Low dikenakan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan rotan.

Timbalan Pendakwa Raya Eunice Lau berkata mangsa terpaksa menjalani beberapa ujian bagi memastikan beliau tidak terkena sebarang jangkitan melalui perhubungan seksual. Meskipun hasilnya negatif, beliau berasa dibebani oleh ujian-ujian itu, katanya.

Peguam bela Low, Diana Ngiam berkata hukuman yang diminta pendakwa itu adil sambil menambah bahawa Low menyesali perbuatannya.

"Ini pertama kali dia melakukan kesalahan undang-undang dan ia akan menjadi kali yang terakhir," kata beliau.

Hakim Besar Daerah Ong Hian Sun membenarkan Low untuk bertemu dengan ibunya selepas menjatuhkan hukuman.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita