Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai keselamatan, pengurus projek dipenjara selepas pekerja maut di tapak binaan

Seorang pegawai keselamatan dan seorang pengurus projek dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (23 Sep) selepas seorang pekerja warga Bangladesh maut ekoran satu nahas binaan di Lapangan Terbang Changi lebih tiga tahun lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai keselamatan, pengurus projek dipenjara selepas pekerja maut di tapak binaan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Sep 2020 11:20PM Dikemas Kini : 24 Sep 2020 11:22PM

SINGAPURA: Seorang pegawai keselamatan dan seorang pengurus projek dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (23 Sep) selepas seorang pekerja warga Bangladesh maut ekoran satu nahas binaan di Lapangan Terbang Changi lebih tiga tahun lalu.

Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Tan Wee Meng dijatuhi hukuman penjara dua tahun manakala pengurus projek Lee Chung Ling dipenjara tiga bulan, menurut Kementerian Kesihatan (MOM) pada Khamis.

Kedua-dua lelaki itu mengaku bersalah pada 20 Ogos kerana tindakan cuai mereka yang membahayakan keselamatan para pekerja yang membina saluran kabel ketegangan tinggi di Airport Boulevard di Lapangan Terbang Changi.

Majikannya, Chan and Chan didenda S$150,000 pada 13 September 2018 kerana gagal mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerjanya.

Pada 22 Mac 2017 kira-kira pukul 10.50 pagi, pekerja Bangladesh Miah Salim, 43 tahun, berada di dalam lubang penggalian dan memasang rangka untuk pembinaan saluran kabel ketegangan tinggi.

Pada waktu kejadian itu, lima pekerja lain sedang bekerja dengan Encik Salim yang merupakan ketua kumpulan.

Encik Salim menggunakan tukul untuk menyesuaikan alat mendatar kayu - digunakan untuk menyokong dua plat keluli - apabila alat itu tergelincir. Ini menyebabkan salah satu plat keluli itu jatuh ke dalam dan terhentak dada Encik Salim, menurut dokumen mahkamah.

Beliau dibawa ke Hospital Besar Changi di mana beliau meninggal dunia sekitar 1.00 tengah hari akibat kecederaannya.

Sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, Tan gagal membantu Chan and Chan untuk mengenal pasti serta menilai risiko yang timbul daripada kaedah pembinaan rangka yang digunakan oleh para pekerja untuk membina saluran kabel ketegangan tinggi, menurut MOM.

Tan juga gagal menyarankan kepada majikan langkah wajar untuk mengurangkan risiko yang boleh dijangkakan ke atas para pekerja, tambah kementerian itu.

Lee gagal meneliti semula kaedah serta proses pekerjaan bagi pembinaan rangka saluran itu dan tidak memastikan majikan melantik penyelia bagi kegiatan membina acuan di tapak kerja.

Pengurus projek itu juga tidak meluluskan penilaian risiko dan prosedur pekerjaan selamat bagi penggunaan rangka modul logam di tempat kerja itu. Dia juga gagal untuk memastikan langkah kawalan dalam penilaian risiko dilaksanakan.

Menurut dokumen mahkamah, para pekerja menggunakan kaedah "tidak selamat dan tidak sah" untuk membina rangka dengan plat keluli, sesuatu yang gagal diperhatikan oleh Lee dan Tan.

Majikan Encik Salim, melalui Lee dan Tan, telah meluluskan penggunaan kedua-dua rangka kayu dan logam.

Para pekerja, yang tidak mengetahui prosedur untuk kaedah pembinaan rangka, mengikuti arahan Encik Salim untuk melakukan pekerjaan tersebut, menurut dokumen mahkamah. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan