Skip to main content

Singapura

Pegawai kargo atas kapal NewOcean 6 antara kes baru jangkitan tempatan di S'pura

Sebanyak 28 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Selasa (5 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai kargo atas kapal NewOcean 6 antara kes baru jangkitan tempatan di S'pura

Orang ramai menyeberang persimpangan jalan raya di kawasan Orchard Road pada 25 Sep 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 06 Jan 2021 12:01AM Dikemas Kini : 06 Jan 2021 12:02AM

SINGAPURA: Sebanyak 28 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Selasa (5 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dua kes merupakan jangkitan tempatan dalam masyarakat.

KES DI ATAS KAPAL NEWOCEAN 6

Salah seorang daripada mereka, merupakan lelaki rakyat Singapura berusia 55 tahun, yang merupkan kontak rapat kes yang dilaporkan sebelum ini, iaitu Kes 58812, kru dari sebuah kapal yang tiba dari Indonesia pada 17 Disember.

Pegawai kargo itu, menaiki kapal bernama NewOcean 6 dari 21 Dis hingga 23 Dis lalu dan antara 28 Dis dengan 2 Jan. Tempoh waktu antara 23 Dis dengan 28 Dis, lelaki itu berada di rumahnya di Tah Ching Road.

Ujian awal yang dijalankan ke atasnya iaitu yang terakhir pada 23 Dis - didapati negatif COVID-19.

Pada 31 Dis, beliau dikuarantin setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 58812, iaitu kru di kapal NewOcean 6.

Lelaki itu kemudian dibawa ke kemudahan kuarantin pemerintah pada 2 Jan dan diuji positif COVID-19 pada keesokan hari. Beliau kemudian dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

"Keputusan ujian serologinya didapati negatif, menunjukkan bahawa ia kemungkinan adalah jangkitan baru," menurut MOH.

Kesemua kru kapal NewOcean 6 yang lain dikuarantin sejak 31 Dis,kata MOH dan semua kontak rapat kes yang dikenal pasti, termasuk anggota keluarga dan rakan sekerja telah diasingkan dan dikuarantin.

Mereka akan diuji pada permulaan dan akhir tempoh kuarantin bagi mengesan kes tidak bergejala.

Lelaki berusia 55 tahun itu menyertai Kes 58812, lima kes baru disahkan dan dua kes sebelum ini untuk membentuk kelompok NewOcean 6.

Satu lagi kes jangkitan dalam masyarakat melibatkan seorang lelaki warga India berusia 49 tahun yang memegang pas lawatan jangka pendek.

Beliau tiba dari India pada 10 Dis untuk melawat isterinyanya yang merupakan warga Singapura, dan menjalani notis SHN di sebuah kemudahan khusus sehingga 24 Dis.

"Keputusan ujian COVID-19 yang diambil sebelum berangkat dari India pada 6 Dis disahkan negatif dan ujiannya pada 21 Dis semasa menjalani SHN juga didapati negatif,"menurut MOH.

Beliau tidak menunjukkan simptom tetapi kesnya dikesan semasa beliau mengambil ujian sebelum berangkat ke India pada 3 Dis. Keputusan ujiannya didapati positif pada keesokan hari dan beliau dibawa ke Hospital Mount Elizabeth.

Keputusan ujian serologinya adalah positif, menunjukkan bahawa ia kemungkinan adalah jangkitan lama.

KES IMPORT

Sebanyak 26 kes import dilaporkan hari ini, kesemuanya diletakkan di bawah notis SHN atau diasingkan sebaik tiba di sini, menurut MOH.

Dua adalah rakyat Singapura dan dua penduduk tetap yang pulang dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

Dua kes import merupakan pemegang pas kerja yang tiba dari Amiriah Arab Bersatu, dan baki 20 kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Filipina.

13 daripada mereka adalah pembantu rumah asing dan lima lelaki warga Indonesia yang merupakan kru kapal NewOcean 6.

Mereka menaiki kapal itu pada Mac atau September 2020 dan dikuarantin pada 31 Dis, dan dihantar ke kemudahan kuarantin pemerintah pada 2 Jan.

Mereka diuji positif COVID-19 pada 4 Jan. Sebelum itu, mereka tidak turun dari kapal.

Tiada kes baru ditemui di dormitori pekerja asing.

20 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan keseluruhan jumlah kes COVID-19 yang pulih di Singapura sebanyak 58,517.

60 kes masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih, dan satu dirawat di unit jagaan rapi.

Lagi 143 sedang menjalani pengasingan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita