Skip to main content

Singapura

Pegawai Kanan SPF Erna Adlina dianugerah Pedang Merit

Sejak dari Sekolah Menengah lagi, semangat untuk berbakti kepada masyarakat sudah terpahat dalam jiwa Erna Adlina Kamarul, 25 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Apr 2021 10:21PM Dikemas Kini : 23 Apr 2021 11:33PM

SINGAPURA: Sejak dari Sekolah Menengah lagi, semangat untuk berbakti kepada masyarakat sudah terpahat dalam jiwa Erna Adlina Kamarul, 25 tahun.

Penyertaannya dalam Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC) mengukuhkan lagi tekad beliau, didorong pula dengan kedua-dua bapa dan abangnya yang juga berkhidmat sebagai pegawai polis.

Related article image

(Gambar: Erna Adlina)

Kini, Pegawai Kanan itu mampu bangga kerana semangat perjuangannya yang tinggi diiktiraf, dan beliau dianugerahkan Pedang Merit, salah satu daripada dua pelatih yang diberi penghormatan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

Lebih manis lagi, beliau merupakan antara kadet terbaik daripada 57 Pegawai Kanan, meski menjalani latihan di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19.

Majlis pentauliahan diadakan secara berasingan sejak 13 April lalu di Akademi Home Team, yang terakhir pada hari ini (23 Apr).

"Bapa saya memang sudah lama berkecimpung dalam bidang polis sejak sebelum saya dilahirkan lagi," kata Pegawai Kanan itu.

"Dari kecil, beliau akan sering menceritakan tentang kisah-kisahnya semasa bekerja dan ini sedikit sebanyak memupuk minat dalam diri saya dan juga adik beradik saya," tambahnya.

CABARAN BERPISAH DENGAN KELUARGA

Sepanjang menjalani latihan, Erna Adlina, terpaksa berpisah daripada keluarganya, lima hari seminggu.

Related article image

Namun, pengalaman yang dilaluinya cukup menyedarkan siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) ini tentang tanggungjawab sangat besar yang dipikulnya dalam melindungi rakan seperjuangan dan negara.

Anugerah yang diterimanya dijadikan dorongan untuknya terus bekerja keras dan menyumbang kepada masyarakat.

"Saya berharap bahawa anugerah ini juga dapat memberikan motivasi kepada mereka di luar sana untuk memainkan peranan sebagai seorang yang berbakti kepada masyarakat," ujar Erna Adlina.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita